Perkembangan terkini pelajar-pelajar Malaysia di Mesir

By on February 2, 2011

Kebangkitan rakyat Mesir menentang kezaliman, menuntut kebebasan serta reformasi yang menyeluruh ke atas sistem pemerintahan negara itu telah mencetuskan situasi yang tegang di sana. ISMAWeb akan membawakan perkembangan mutakhir keadaan di bumi Anbiya’ itu khususnya yang melibatkan rakyat dan pelajar Malaysia dari semasa ke semasa.

Menurut laporan terkini, ahli-ahli ISMA Mesir dan pelajar-pelajar lain samada siswa mahupun siswi berada dalam keadaan selamat. Mereka dihimpunkan di beberapa tempat utama, sebahagiannya berhimpun di pejabat ISMA Mesir, dan sebahagian lagi berhimpun di Rumah Anak Negeri yang terdekat.

Perkembangan ini dilaporkan oleh Ustaz Ahmad Ala’uddin Kamal daripada Sekratariat Luar Negara ISMA yang berhubung secara langsung dengan Ustaz Suhaib Ar-rumy bin Selamat, Pengerusi ISMA Mesir, pada pukul 7.50 pagi (waktu Malaysia) tadi.

Encik Zaim Shaari, ahli jawatankuasa ISMA Pusat, turut membawakan berita yang sama hasil daripada perhubungannya dengan pihak keselamatan di Kedutaan Malaysia di Mesir pada pukul 3.00 pagi (waktu Malaysia) tadi. Rakyat Malaysia akan mula dipindahkan ke Jeddah pada hari ini terutamanya golongan perempuan dan kanak-kanak, tambah beliau.

Beliau turut melaporkan bahawa keadaan di Mesir kini semakin meruncing di mana rakyat negara itu khususnya para demonstrator menuntut agar Presiden Mubarak melepaskan kuasa selewat-lewatnya Jumaat ini. Sekiranya permintaan ini tidak diendahkan, mereka akan terus meningkatkan tekanan.

Menurut laporan yang diperolehi daripada Ustaz Suhaib, mereka menepati tempoh berkurung yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebagai langkah berjaga-jaga. Mereka berkurung di dalam rumah bermula jam 4 petang sehingga jam 8 pagi, kerana tidak mahu terlibat di dalam kekalutan yang berlaku di luar rumah. Mereka sentiasa berada di dalam keadaan bersedia menerima arahan dari pihak Kedutaan Malaysia di Mesir terhadap segala kemungkinan yang mungkin berlaku.

Semua ahli ISMA Mesir dan pelajar-pelajar Malaysia yang lain berada di dalam keadaan baik dan sihat, tidak ada yang cedera atau terjadi perkara yang membimbangkan. Bekalan makanan adalah mencukupi, namun catuan makanan terpaksa dibuat memandangkan harga barangan mentah naik mendadak di pasaran.

Sebahagian dari pelajar membuat jadual secara bergilir-gilir untuk berkawal dan berehat di rumah dan tempat perlindungan masing masing untuk memastikan keadaan selamat dan terkawal. Namun sehingga kini masih belum terjadi perkara yang mencemaskan dan membimbangkan.

ISMA Mesir sentiasa mengarahkan dan menasihati ahli-ahlinya khususnya dan seluruh mahasiswa Al-Azhar amnya supaya sentiasa berhati-hati jika keluar dari rumah, mematuhi arahan berkurung dan jangan terlibat dengan sebarang provokasi yang berlaku.

ISMA Mesir juga menyeru seluruh ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai di Malaysia yang mempunyai waris dan ahli keluarga di Mesir, supaya tidak terlalu bimbang keadaan mereka dan sentiasa mendoakan keselematan mereka di samping mendoakan apa yang berlaku ketika ini akan berakhir dengan baik.

Sumber: Laman web ISMA Pusat

Share

About Penerangan ISMA Australia