Gugurnya Seorang Pejuang

By on September 8, 2011

Biro Media dan Penerangan ISMA Australia mengucapkan salam takziah kepada keluarga Noramfaizul Mohd Nor. Semoga amalnya diterima dan dijadikan contoh bagi para aktivis dalam media Islam dalam membawa mesej Islam kepada masyarakat.


Saya ingin turut serta merakamkan ucapan takziah kepada Puan Norazrina, anakanda Mohd Irfan dan anakanda Mohd Naufal serta ahli keluarga dan semua rakan media di atas pemergian jurukamera BernamaTV, allahyarham Noramfaizul Mohd Nor.

Allahyarham adalah seorang pengamal media yang begitu berdedikasi dengan kerjayanya. Beliau sentiasa bersama lensanya ke serata dunia bagi memaparkan keadaan semasa peta dunia umat Islam yang sedang terluka.

Beliau pernah menyertai misi  media ke Pakistan sebelum kemudiannya ke Gaza di Palestin. Sifat keprihatinan dan keperwiraan beliau sakaligus telah mengangkat kedudukan petugas media kepada satu tahap yang lebih tinggi di persada masyarakat kita di Malaysia mahupun di peringkat internasional.

Pemergiannya ke Somalia ini adalah misi yang sangat mulia  dan tidak seharusnya digunakan oleh mana-mana pihak bagi kepentingan politik. Bak kata-kata pepatah Arab ” رضا الناس غاية لا تدرك ” Kalau kita ingin memuaskan hati manusia maka ia adalah suatu matlamat yang tidak mungkin tercapai”. Justeru carilah redha Allah di dalam apa jua tindakan kita agar segalanya akan mendapat keberkatan daripadaNya.

Apa yang lebih penting ialah kita mengambil iktibar tentang peristiwa ini, memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dan meneruskan usaha untuk mengambil peduli dan terus menolong saudara seIslam di dunia sejagat.

Namun begitu sebagai seorang aktivis kemanusiaan, saya bersetuju dengan saranan daripada Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) supaya para petugas media juga dibekalkan dengan pakaian kalis peluru dan perlindungan insuran yang sewajarnya di samping perlu mematuhi SOP yang sepatutnya sebelum menyertai misi yang berisiko tinggi.

Negara Malaysia yang kaya dengan para sukarelawan dan NGO kemanusiaan ini perlu mengadakan siri bengkel dan sesi perkongsian di kalangan NGO, para aktivis serta sukarelawan bagi menyempurnakan misi yang besar samada di dalam mahupun di luar negara. Sudah sampai masanya NGO yang pebagai ini melakukan koordinasi dan smart partnership supaya hasil yang optima tercapai melalui usaha yang terancang. Sampai bila kita perlu menghantar 5-10 badan NGO yang berbeza ke destinasi yang sama ?

Di kesempatan yang sama, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para aktivis dan para sukarelawan yang telah berkorban serta rakyat Malaysia yang begitu prihatin terhadap permasahan yang dihadapi oleh umat Islam dan kemanusiaan sejagat.

Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. Kita mendoakan agar roh Allahyarham Noramfaizul dicucuri rahmat dan mendapat keampunan Allah swt. Semoga hero media yang gugur ini dianugerahkan syahid dan dikurniakan syurga Firdaus bersama para syuhada’, para solehin dan siddiqin. Al-Fatihah.

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Ali-’Imran: 185)

Semoga Allah memperteguhkan lagi hati-hati kita demi agamaNya dan memberikan ganjaran yang terbaik kepada pendokong dan penyokong di jalan kebaikan secara keseluruhannya.

Dipetik dari laman Dr Zainur Rashid Zainuddin

Share

About Penerangan ISMA Australia