Tahukah Anda?

By on October 10, 2011


Mengapa baru-baru ini ramai orang di sekeliling anda (mungkin anda sendiri):

  •     Bersin atau batuk yang mungkin mengeluarkan kahak
  •     Hidung berair dan tersumbat
  •     Sakit tekak
  •     Sakit kepala
  •     dan/atau panas badan?

Australia terletak di hemisfera bawah dan negara ini mengalami musim sejuk antara Mei hingga September. Pada musim ini, kadar jangkitan pernafasan adalah lebih tinggi berbanding musim-musim lain walaupun jangkitan ini boleh berlaku pada bila-bila masa. Maka, tidak hairanlah ramai orang di sini mendapat jangkitan. Dan anda baru sahaja melepasi musim tersebut!

Organisma apakah yang menjangkiti pesakit?

Biasanya jangkitan pernafasan disebabkan oleh virus, namun ia juga boleh disebabkan bakteria dan organisma lain. Kebanyakan jangkitan pernafasan tidak membahayakan, tetapi tidak dinafikan adanya kes-kes tertentu yang boleh membawa kematian.

 

Bagaimana jangkitan pernafasan merebak?

Jangkitan pernafasan merebak melalui titisan-titisan cecair dalam udara yang dihasilkan melalui bersin atau batuk oleh pembawa jangkitan. Ia boleh merebak dengan mudah sekiranya si pembawa jangkitan dan orang di sekitarnya tidak mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti memakai topeng / penutup mulut, kerap membasuh tangan setelah menggunakan peralatan awam, tidak hadir ke majlis keramaian jika keadaan tidak membenarkannya, pengambilan vaksin dan sebagainya.

Siapa lebih mudah untuk mendapat jangkitan?

Secara umumnya, pekerja di kemudahan kesihatan seperti hospital dan klinik, pekerja di tempat-tempat keramaian seperti pasar, perokok, orang yang kurang daya tahan badannya seperti pesakit yang dijangkiti HIV atau pesakit yang menjalani pemindahan organ, dan penggunaan steroid dalam jangka masa lama.

 

Rawatan

            Rawatan jangkitan pernafasan bergantung kepada simtom-simtom dan organisma yang tertentu. Oleh kerana jangkitan ini biasanya disebabkan oleh virus dan simtomnya tidak begitu teruk, rawatan seperti antibiotik tidak diperlukan. Pesakit dinasihatkan supaya berehat secukupnya, kerap meminum air dan mengambil ubat penahan sakit seperti panadol apabila perlu. Simtom-simtom akan berkurangan dan hilang selepas 7-10 hari.

            Dalam kes-kes tertentu, antibiotik atau antiviral digunakan seperti:

a)      Sakit tekak yang disebabkan bakteria Streptococcus, yang boleh membawa kepada rheumatic heart disease (kerosakan struktur jantung).

b)      Jangkitan telinga tengah (acute otitis media) yang boleh menyebabkan pekak.

c)      Jangkitan paru-paru (pneumonia)

d)     Influenza yang disebabkan RNA virus (ada simtom-simtom yang teruk dan berpanjangan melebihi 2 minggu seperti sakit mata, demam, keletihan, dan sakit otot)

Situasi yang biasa kita dengar:-

Ahmad merupakan seorang pelajar akhir jurusan bioteknologi di Universityof Melbourne yang sedang bertungkus lumus menyiapkan projek tahun akhirnya. Cuti musim sejuknya banyak diisi dengan perbincangan dengan ahli kumpulan. Dia sedar bahawa salah seorang daripada ahli kumpulannya kerap batuk dan bersin sehari dua ini. Namun, mereka menganggap batuk adalah benda biasa dan tidak perlu dirisaukan. Maka, mereka teruskan pertemuan dan perbincangan seperti yang telah dirancang. Tiga hari kemudiannya Ahmad dan beberapa orang ahli kumpulannya mula menunjukkan tanda-tanda dijangkiti. Ahmad mula batuk dan mengeluarkan kahak hijau, agak pening, susah bernafas dan kadang-kadang sakit dada. Xray dadanya menunjukkan paru-parunya dijangkiti. Sample kahak dan darahnya diambil untuk menentukan jenis bakteria yang menjangkitinya. Dia dirawat dengan antibiotik oleh doktor.

Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti?

1)      Sentiasa cuci tangan dengan bersih. Biasanya premis-premis di sini menyediakan langkah-langkah membasuh tangan dengan efektif di dinding-dinding sinki dan tandas awam.

2)      Sentiasa bersenam supaya badan segar dan cergas.

3)      Elakkan diri daripada menghabiskan masa di tempat-tempat orang ramai berkumpul dan tertutup.

4)      Lindungi rongga pernafasan anda sekiranya ada orang di sekeliling anda mempunyai simtom-simtom jangkitan pernafasan.

5)      Bina daya tahan badan anda dengan vaksin yang terbaru.

6)      Jika anda mula memiliki tanda-tanda dijangkiti, segeralah berjumpa doktor.

Jika anda mempunyai kemusykilan, bolehlah melayari laman-laman web rujukan di bawah, atau mana-mana laman web yang dipercayai.

Biro Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan ISMA Victoria

Rujukan

1)      http://www.nps.org.au

2)      http://www.medicinenet.com

3)      Wikipedia

Share

About Penerangan ISMA Australia