Relevankah pemeriksaan kesihatan di usia muda?

By on January 31, 2012

Ramai daripada kita yang tertanya, perlukah saya menjalani pemeriksaan kesihatan, adapun saya masih muda dan tidak punyai apa-apa penyakit? Pemeriksaan kesihatan tidak hanya kepada mereka yang tua ataupun mereka yang sakit sahaja. Adalah menjadi satu pandangan yang salah sekiranya kita menganggap bahawa golongan muda tidak “disentuh” atau “immune” kepada penyakit.

                Dunia hari ini mendapati bahawa kebanyakkan penyakit-penyakit yang dahulunya adalah dikenali sebagai penyakit generasi tua, dimana sekarang ini telah banyak didapati dikalangan generasi muda. Sememangnya tidaklah menjadi satu kehairanan kepada fenomena ini apabila melihat kepada cara hidup dan pemakanan kita sendiri. Sebagai contoh, Type 2 Diabetes Mellitus atau lebih kita kenali sebagai “kencing manis” dalam istilah kita, suatu masa dahulu dipercayai adalah penyakit generasi tua, tetapi sejak kebelakangan ini penyakit ini sudah menjadi satu wabak buat generasi muda mahupun generasi kanak-kanak dan remaja. Perubahan zaman dan corak kehidupan terutamanya kepada generasi muda dewasa ini menyaksikan peningkatan jumlah mereka yang dikenal-pasti (diagnosed) menghidap penyakit ini. Selain itu, Hypertension atau penyakit darah tinggi dikalangan generasi muda tidak kurang jumlahnya berbanding jumlah penghidap Type 2 Diabetes Mellitus.  Fenomena ini tidak lain hanya menambahkan lagi jumlah kematian akibat sakit jantung (heart attack/Myocardial Infarction) ataupun angin ahmar (stroke) sebelum mencecah usia 40 tahun!

                Semua ini adalah berpunca daripada kehidupan dan pemakanan kita yang tidak terjaga. Makanan yang punyai banyak kandungan gula, garam dan lemak, dan kehidupan yang pasif, adalah antara faktor-faktor menyebab peningkatan statistik kepada penyakit-penyakit kepada generasi muda. Selain itu, masih lagi ada penyakit-penyakit lain yang boleh terkena pada generasi muda seperti leukemia, pelbagai kanser, lelah (asthma) dan sebagainya.

                Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kesihatan diri sendiri. Mulakan dengan memilih makanan yang sihat dan senaman yang mencukupi. Tidak cukup hanya dengan ini, kita perlulah juga mendapatkan pemeriksaan kesihatan lengkap daripada doktor secara berkala. Adalah dinasihatkan bagi mereka yang berusia lebih daripada 25 tahun supaya mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang lengkap seelok-eloknya setiap setahun sekali, dan bagi mereka yang telah mencecah usia 35 tahun keatas seelok-eloknya setiap enam bulan sekali. Tidaklah ianya mengambil masa yang lama untuk melakukan pemeriksaan kesihatan ini. Tidaklah sampai sejam, mahupun tidaklah ianya sampai setengah jam pun untuk menyiapkan pemeriksaan kesihatan penuh dan juga pemeriksaan darah, tetapi manfaatnya adalah pada jangka masa yang panjang. Manfaatnya tidaklah hanya kesihatan anda terjaga, tetapi sekiranya sesuatu penyakit dikenal-pasti, tindakan dan rawatan awal boleh diambil bagi mengelakkan daripada menjadi lebih teruk atau merebak.

                Sesungguhnya kesihatan itu adalah satu anugerah. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga anugerah ini. Tidaklah perlu kita menunggu umur kian senja untuk kita mula bertindak menjaga kesihatan kita dan melakukan pemeriksaan lengkap, mulakan sekarang sekiranya anda belum melakukannya. Sayangilah diri anda, kerana diri anda amat berharga bukan sahaja untuk anda, tetapi untuk keluarga dan masyarakat disekeliling anda.

                Pemeriksaan kesihatan lengkap termasuk pemeriksaan keatas –

  1. Tekanan darah (blood pressure)
  2. Sistem jantung dan saluran darah (cardiovascular)
  3. Sistem paru-paru dan pernafasan (respiratory)
  4. Sistem penghadaman dan abdomen (gastrointestinal)
  5. Pemeriksaan payu dara – untuk wanita
  6. Kandungan gula darah (Fasting blood glucose) – test darah
  7. Kandungan lemak darah (Fasting blood lipid profile) – test darah
  8. Kandungan hemoglobin dalam darah – test darah
  9. Fungsi hati (liver function test) – test darah
  10. Fungsi buah pinggang (renal function test) – test darah
  11. Kandungan electrolides – test darah
  12. Status vaccination – i.e. hepatitis B & C
  13. xray paru-paru (berkemungkinan)

Senarai diatas hanyalah cadangan sahaja, berkemungkinan anda tidak memerlukan kesemuanya, berkemungkinan juga anda perlukan beberapa lagi tambahan kepada senarai diatas, bergantung kepada saranan daripada doktor anda.

Disediakah oleh:

Dr Shaiful Aizad Shafie, MBBS (Monash, Australia)

ISMA Australia

Share

About Penerangan ISMA Australia