Klinik Bola Keranjang ISMA: Latih dalam Bersunnah

By on May 29, 2012

Adelaide, 20 Mei – Klinik Bola Keranjang bersiri anjuran Biro Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan (SuReBud) ISMA South Australia telah dianjurkan buat pertama kalinya pada tahun 2012. Program yang telah berlangsung dengan jayanya pada 18 Mei 2012 yang lalu, juga merupakan sebahagian daripada siri program ‘Riadah Mingguan Brothers’.

Klinik bola keranjang ini diadakan untuk member peluang kepada peserta kawasan sekitar Adelaide untuk belajar bermain bola keranjang serta menguasai asas – asas permainan tersebut. Program ini juga bertujuan untuk meraikan golongan kecil yang meminati sukan ini, tetapi tiada peluang untuk mempelajarinya secara praktikal. Selain itu, objektif program ini ialah untuk menyuntik kesedaran bahawa apa jua jenis sukan yang diamalkan ialah satu sunnah amalan Rasulullah dan menjadikan para peserta sebagai atlet yang terbaik sebagaimana Rasulullah pada zaman hayat Baginda.

Program bermula pada jam 8.30 malam di mana peserta berkumpul di Enfield Community Centre (ECC) untuk membuat sedikit warm – up sebelum klinik bermula. Klinik ini bermula pada pukul 8.30 malam sehingga 10.30 malam. Program ini dimulakan dengan slot penerangan tentang sunnah yang diberi nama “Rasulullah dan Sukan” oleh saudara Izzat Roslan. Slot ini menerangan kepada peserta bahawa setiap manusia, terutamanya umat Islam perlu tahu bahawa setiap aktiviti sukan dan riadhah ialah satu sunnah dan apabila sukan diamalkan sebagai sunnah, bukan sahaja menyihatkan fizikal, tapi juga menyihatkan ruhiyyah seseorang Muslim agar lebih mudah untuk taat dan berkhidmat untuk Allah sebagaimana hadis Rasulullah, “Mukmin yang kuat itu lebih dikasihi oleh Allah berbanding Mukmin yang lemah.”
Kemudian klinik diteruskan dengan latihan untuk menggelecek ataupun dribble bola keranjang. Antara nama – nama latihan yang telah diajar ialah ‘Tap’, ‘Around the World’, ‘Scissors’, ‘One-hand Dribble’ dan ‘Two-hand Dribble’. Latihan ini bertujuan untuk membiasakan para peserta dengan cara ‘dribble’ yang betul agar dapat mengawal dengan lebih baik. Pada mulanya para peserta berasa sukar, namun dengan kesungguhan dan sokongan moral daripada para peserta yang lain, latihan dapat dijalankan dengan baik dan memenuhi kriteria yang sepatutnya dalam melaksanakan latihan tersebut.

Klinik tersebut berjaya menarik sebilangan peserta, terutamanya para pelajar University of Adelaide dan University of South Australia yang berminat untuk mendalami permainan bola keranjang. Klinik Bola Keranjang ini akan hadir kembali dalam siri 2 dengan latihan yang berbeza untuk pemantapan asas para peserta dalam permainan bola keranjang.

 

Disediakan oleh:

Wartawan Biro Sukan, Rekreasi & Kebudayaan

ISMA Australia (South Australia)

Share

About Penerangan ISMA Australia