Kempen “HD4U” Pacu Agenda Kecemerlangan Pelajar

By on September 27, 2012

Adelaide, 26 September 2012 – Bertempat di Payneham Library, 17 September yang lalu, Biro Kebajikan dan Akademik ISMA South Australia (BIJAK ISMA-SA) telah berjaya menganjurkan program Kembara Ilmu Ke-13 dengan bertemakan “HD for Ummah”. Kembara Ilmu ini merupakan program bersiri yang telah bermula sejak tahun 2010 lagi.

Program dimulakan dengan kata-kata aluan oleh pengacara program, disusuli dengan pengucapan umum (public speaking) yang disampaikan oleh saudara Izzat Roslan, pelajar tahun pertama University of Adelaide. Slot Speaker’s Corner atau pengucapan umum ini yang baru diperkenalkan pada Kembara Ilmu ke-12 yang lalu merupakan satu usaha BIJAK SA bertujuan untuk mengasah bakat dan keyakinan pelajar dalam menyampaikan ucapan di hadapan khalayak ramai dengan mudah dan berkesan. Melalui slot ini, saudara Izzat, dalam ucapannya menekankan para pelajar supaya bersungguh-sungguh demi mencapai kecemerlangan kerana para pelajar tidak akan mendapat sesuatu yang diinginkan seandainya tiada kesanggupan untuk melakukan sesuatu yang asing daripada kebiasaan.

KI-13 diteruskan dengan slot utama iaitu penyampaian dari speaker jemputan, Ustaz Azizee Hasan dengan tajuk “HD for Ummah”. Dalam pembentangannya, Ustaz Azizee banyak mengingatkan para pelajar akan kepentingan menjadi individu yang cemerlang demi ummah. Arus globalisasi dan pengaruh budaya negatif dari pihak Barat telah berjaya menusuk masuk di setiap sisi masyarakat dan telah berjaya meruntuhkan sebahagian jati diri individu Muslim. Sehubungan dengan itu, beliau berpesan kepada setiap pelajar agar menggunakan peluang yang ada untuk melengkapkan diri dengan kekuatan fizikal, rohani, emosi dan intelektual. Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

“…Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” [4:95]

Merujuk kepada ayat ini, beliau menekankan bahawa perlunya para pelajar mempunyai iltizam yang tinggi untuk menjadi cemerlang kerana setiap individu telah dicipta dalam bentuk yang sebaik-baiknya oleh Allah S.W.T dan mempunyai potensi yang hebat.

Slot “HD4U” disusuli dengan slot terbaru iaitu persembahan pelajar. Buat julung-julung kalinya, para hadirin dihiburkan dengan persembahan “pidato-sajak” yang di sampaikan oleh dua orang penuntut tahun ketiga jurusan undang-undang University of Adelaide dan satu penuntut tahun ketiga bidang farmasi University of South Australia. Seterusnya, BIJAK ISMA SA telah menyampaikan sumbangan kepada saudara Irfan bin Badrudin, mewakili serumah pelajar-pelajar di Adelaide yang telah mengalami musibah beberapa bulan yang lalu. Sumbangan berjumlah $650 ini disampaikan oleh Ketua ISMA SA, Dr. Rozanizam Zakaria diiringi oleh Ketua Biro BIJAK, saudara Mohd Fathi Kamil . Sumbangan ini merupakan hasil kutipan derma yang telah dibuat atas inisiatif Unit Kebajikan BIJAK SA dan diharap dapat mengurangkan bebanan mereka yang terlibat.

Sebagai penutup, pengacara majlis secara rasminya melancarkan kempen “HD4U” yang berlangsung mulai sekarang sehingga berakhirnya musim peperiksaan penghujung bulan November nanti. Kelas tutorial dan mentor-mentee juga akan kembali bagi membantu pelajar tahun pertama menghadapi peperiksaan. Diharap KI-13 kali ini dapat menyuntik semangat para pelajar dalam mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus kepada BIJAK SA.

Disediakan oleh,

Unit Media

BIJAK SA

Share

About Penerangan ISMA Australia