Kalimah Allah: Kenapa kita mesti peduli?

By on October 26, 2013

Isu kalimah Allah semakin hangat diperkatakan di sana sini. Setiap peribadi mempunyai pandangan dan pendapat tersendiri. Ada yang membenarkan penggunaan kalimah ini oleh kaum bukan Islam dan ada pula yang terus mengatakan ianya adalah hak milik mutlak kaum Muslimin sahaja.

Saya ingin menyatakan pendirian saya bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam. Saya bukanlah seorang uztaz, mahupun ada kelulusan pengajian tinggi dalam bidang agama Islam. Tetapi saya adalah umat Islam yang sensitif terhadap isu semasa dan rasa ianya menjadi tanggungjawab saya selaku seorang umat beragama Islam untuk menyatakan pendirian saya dalam hal ini. Saya juga menyeru seluruh umat Islam di Malaysia supaya bersatu mempertahankan hak eksklusif ini daripada disalah guna oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

 

Walaupun telah di jelaskan oleh tokoh agamawan bahawa hukum asal penggunaan kalimah Allah oleh kaum bukan Islam adalah harus, namun perlu kita lihat dalam konteks isu yang hangat diperkatakan dewasa ini di Malaysia, kenapa kaum bukan Islam begitu ingin menggunakan kalimah ini didalam Bible mereka?

 

Jangan kita salah tafsirkan hukum “harus” penggunaan kalimah Allah oleh kaum bukan Islam itu sebagai satu tiket bebas kepada kaum bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah dalam apa jua keadaan dan situasi sesuka mereka hatta menjatuhkan dan mencelarukan aqidah umat Islam. Lihat kepada kenapa dan dalam konteks apa kalimah Allah itu digunakan. Harus sekiranya ia digunakan dalam contoh, kaum bukan Islam memanggil nama “Abdullah” atau “Habibullah”, atau “Tuhan kepada Ahmad ialah Allah”. Dalam konteks ini, hukumnya adalah harus.

 

Tetapi ianya adalah terlarang sekiranya kaum bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam konteks penafsiran konsep ketuhanan didalam Bible yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, contohnya, “Kerana begitu besar kasih “Allah” (God) akan dunia ini, sehingga Ia telah mengkurniakan anak-Nya yang tunggal…” (rujuk Bible versi Indonesia, Yohanes 3 : 16). Konsep ini adalah salah kerana ianya amat bercanggah dengan kepercayaan umat Islam, dan termaktub dalam surah al Ikhlas, “Katakanlah, Allah itu Maha Esa (tunggal). Allah menjadi tumpuan setiap makhluk untuk memohon hajat. Allah tidak beranak, dan tidak pula diperanakkan. Dan tiada sesiapa pula yang serupa dengan-Nya” (al Ikhlas, 112 : 1 – 4).

 

Dalam penafsiran hukum “harus” dalam Islam, perlu kita lihat kepada maslahat (kebaikan) dan mudharat (keburukkan). Hukum “harus” adalah terlarang sekiranya ianya jatuh kepada kemudharatan lebih daripada kebaikan yang diperolehi. Contoh mudah untuk difahami, memasukkan gula kedalam makanan atau minuman adalah “harus” pada hukum syarak bagi menyedapkan makanan atau minuman tersebut. Ini bermaksud, anda boleh letak gula dalam minuman anda, tetapi kalau anda tak mahu letak gula dalam minuman anda, itu tidak menjadi masalah. Namun, meminum minuman yang terlalu manis kerana banyaknya guna boleh memudharatkan kesihatan dan mengundang penyakit, ini adalah terlarang walaupun ianya pada hukum asalnya adalah “harus”. Contoh lain, menaiki kereta untuk bergerak daripada satu tempat ke satu tempat yang lain adalah “harus”, tetapi memandu kereta dengan laju sehingga boleh menggugat nyawa pemandu, penumpang dan orang awam disekitar adalah memudharatkan dan amat merbahaya. Ini adalah terlarang, walaupun pada asasnya ianya adalah “harus”.

 

Allah adalah kata nama khas untuk Tuhan yang Esa. Tidak ada sekutu bagi Allah. Hanya Islam sahaja yang punyai aqidah sebegini, tidak seperti agama-agama yang lain. Oleh itu tidaklah layak agama-agama lain menggunakan nama Allah didalam agama mereka kerana Allah sendiri tidak meredhai agama-agama lain selain Islam.

 

“Sesungguhnya, deen (agama) disisi Allah ialah Islam” (Ali Imran, 3 : 18)

 

Dengan ini fahamlah kita bahawa, Allah sendiri tidak meredhai agama-agama lain, selain agama Islam. Oleh itu, logiklah sekiranya kita katakan bahawa agama-agama lain tidak layak menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada tuhan agama mereka.

 

Umat Islam perlu bersatu dalam isu ini. Mengikut bancian Malaysia 2010, umat Islam berjumlah 61.3 peratus, manakala Kristianiti hanya berjumlah 9.2 peratus sahaja. Dengan jumlah majoriti melebihi separuh jumlah populasi ini, perlulah agama-agama lain menghormati Islam sebagai agama dominan di Malaysia. Umat Islam tidak pernah menentang kebebasan beragama kepada kaum bukan Islam di Malaysia, malah kebebasan untuk membina tempat-tempat ibadah mereka di mana-mana sahaja mereka suka di atas tanah yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu.

 

Isu kalimah Allah ini ialah isu aqidah dan isu maruah. Kalau umat Islam yang punyai jumlah penduduk majoriti tidak bersatu dan mempertahankan aqidah dan maruah kita bersama, apa lagi yang kita ada untuk kita pertahankan dan siapa lagi yang kita boleh harapkan untuk mempertahankan aqidah dan maruah kita? Umat Islam punyai bilangan dan jumlah yang terkuat, alangkah sedihnya sekiranya pada isu sebesar dan sejelas ini tidak dapat kita bersatu sebulat suara, malah kita letakkan kepentingan-kepentingan duniawi yang lain untuk kita ketengahkan daripada kepentingan aqidah dan maruah kita bersama. Alangkah lemahnya iman didada mereka dan alangkah ruginya umat ini. Agama dan aqidah bukan barang bidaan, bukan juga ianya sesuatu yang boleh dipandang remeh. Kalau kita tidak pertahankan aqidah ini sekarang, umpama kita membiarkan kaum bukan Islam melaksanakan upacara ibadah mereka di dalam masjid-masjid kita dan tiada siapapun di kalangan umat Islam yang memperdulikan hal ini.

 

Dr Shaiful Aizad, MBBS (Australia)

Ketua ISMA Australia Cawangan NSW.

Share

About Penerangan ISMA Australia