Kenapa ibu dan abah pilih kasih?

By on February 28, 2014

“Okay insyaAllah. Ibu doakan la yang terbaik untuk kak ngah. Okay, nanti kak ngah call lagi. Assalamualaikum Ibu.”

Usai tugasku di Emergency Department tadi aku mencuri sedikit masa untuk menelefon ibu jauh di Kelantan untuk bertanya khabar. Sudah hampir dua minggu tidak bertanya khabar dek kesibukan di hospital. Ditempatkan di salah sebuah hospital jauh di pedalaman Australia menyebabkan aku rasa keseorangan, lantas mengadu nasibku kepada ibu, mohon didoakan keselamatan dan diberi kekuatan. Tapi ibu tidak banyak bicara, hanya sekadar menyampaikan sedikit kata-kata nasihat yang menghiburkan dan selebihnya meletakkan seluruh kepercayaan kepadaku. Katanya aku sudah besar dan pandai berdikari, dan dia percaya tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Hampa. Aku teringin merengek bagai anak kecil, mengadu kesusahan dibalas dengan pujukan. Tapi ibu sentiasa membalas dengan jawapan yang memaksa aku supaya lebih cepat matang dan berdikari.

Teringat sejak zaman persekolahan. Ibu melayan kami adik-beradik dengan cara berbeza. Kami tujuh beradik dan aku anak kedua dalam keluarga. Sejak mula menuntut di asrama penuh di Johor semasa di Tingkatan 1, aku sudah mula berjauhan dengan keluarga. Bila melihat rakan-rakan merengek-rengek di telefon awam memujuk ibu dan ayah datang melawat, aku turut serta berlakon untuk meminta ibu dan abah datang ke Johor. Gagal. Cuba lagi. Gagal berkali-kali. Tapi bila adikku tinggal di asrama di Kuala Lumpur, sekali panggilan sahaja ibu dan abah pasti akan berkunjung segera. Begitu juga dalam hal-hal pelajaran. Ibu dan abah sentiasa meletakkan harapan yang tinggi pada pencapaian akademik anak-anak. Mereka akan jelas kecewa jika ada di antara kami yang pulang dengan keputusan class ranking dua angka. Tetapi kadang kala, mereka tetap memberi hadiah istimewa kepada adik beradik yang lain yang memperoleh keputusan peperiksaan yang tidaklah sehebat mana pada fikiranku. Dari segi didikan pula, mereka ternyata lebih tegas dengan hukuman untuk sebahagian daripada kami, manakala lebih berlembut dengan sebahagian yang lain.

Pernah terlintas pada fikiran kecilku bahawa ibu dan abah pilih kasih. Satu hari aku memberanikan diri bertanyakan kepada ibu ketika kami duduk bersendirian menonton televisyen. Mempersoalkan perbezaan layanan ibu terhadap kami adik beradik. Ibu tidak cepat melatah. Kulihat ibu berfikir sejenak sebelum memulakan bicara. Aku pasti ibu mempunyai jawapan yang kukuh terhadap semua persoalanku. Bekerja sebagai seorang kaunselor di salah sebuah sekolah menengah di daerah tempat tinggal kami, ibu pasti sudah masak dengan perangai dan persoalan anak-anak muda seusiaku. Lantas ibu memberiku satu analogi. Analogi sepatu. Seperti sepatu yang kita pakai, tiap kaki memiliki ukurannya. Memaksa seseorang yang mempunyai saiz kaki yang besar memakai sepatu yang bersaiz kecil bakal menyakiti. Begitulah sebaliknya. Agak aneh jika kita memaksa kaki yang bersaiz kecil untuk memakai sepatu besar. Pasti tidak selesa dan sukar untuk sampai ke destinasi.

“Kak ngah bukan kak long. Dan kak long bukan adik,” ujar ibu.
“Sedangkan layanan Allah terhadap hambanya pun berbeza-beza. Sebab tu Allah jadikan zakat tu satu perintah pada yang kaya, supaya yang miskin boleh menerima. Anak ibu berbeza dan masing-masing jadi unik sebab ada karakter yang tersendiri. Manusia dijadikan Allah tak sama. Semua anak ibu ada keunikan tersendiri, lemah atau kurang dari satu segi, tapi hebat dan bijak dalam aspek tertentu,” tambahnya lagi.

Ibu terus merungkai persoalanku satu persatu. Diceritakan satu persatu sebab di sebalik setiap tindakannya selama ini. Kata ibu, setiap anak-anak mempunyai ukuran yang tak serupa. Maka janganlah mengukur orang lain dengan baju kita sendiri. Fahamilah dalam tiap-tiap peribadi. Ibu menjelaskan lagi, sekiranya beliau melayani kerenah anak-anak dengan cara yang sama, hal itu pasti menzalimi sebahagian yang lain. Tambah ibu, adil itu bermaksud meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya. Dan bersikap adil bukan hanya kepada anak-anak. Harus bersikap adil kepada diri sendiri, kepada adik beradik mahupun sahabat handai. Aku tersenyum bangga. Bangga mendapat jawapan yang pasti. Jawapan yang memuaskan hati. Bukannya aku tidak sedar akan jawapan yang sebegitu mudah. Bahkan pernah ada masa-masa yang aku dilebihi berbanding yang lain. Sengaja mahu menagih kebenaran.

Manusia sesungguhnya dijadikan berbeza-beza. Setiap satu dianugerahkan dengan kelebihan yang berbeza dan diuji dengan kelemahan yang tersendiri. Teringat dalam salah satu usrah yang pernah aku hadiri, naqibahku menyentuh soal kecemerlangan generasi Salaf yang kita patut teladani. Kita dituntut untuk berperilaku sebagaimana salafus soleh tapi harus juga mengukur kemampuan diri sendiri. Kita ingin manjadi seperti Abu Bakar yang menyumbangkan seluruh hartanya fisabilillah pada suatu ketika, dan hanya meninggalkan Allah dan Rasul untuk keluarganya. Tapi kita tidak sedar perbezaan antara kita dan sahabat Nabi s.a.w itu. Abu Bakar merupakan seorang niagawan yang terkenal jujur dan amanah serta memiliki jaringan dagangan yang luas. Abu Bakar tak pernah terputus sumber rezekinya . Walau kehabisan wang sekalipun, berduyun-duyun orang berebut menyerahkan modal kepadanya untuk dikelola. Bandingkan dengan diri kita. Beza. Justeru, ukurlah baju di badan sendiri.

Allah Maha Adil. Allah tidak menyamakan semua peribadi manusia dan memberi kurnia dan kemampuan yang berbeza di antara kita. Andaikata disamakannya kita dalam pembahagian itu nescaya setiap orang tidak memerlukan saudaranya yang lain. Bila sedar setiap manusia ada cacat cela, sudah tentu kita tidak akan mencemuh atau mencari-cari kesalahan orang lain. Kita, adakalanya menghulurkan bantuan, adakalanya memerlukan bantuan. Maka bersyukurlah dengan anugerah, dan perbaiki kelemahan yang ada.

Share

About Penerangan ISMA Australia