Ujian Kecergasan Sisters Melahirkan Mukminah yang Kuat

By on April 15, 2014

DSC_0321 DSC_0322

Melbourne, 12 April 2014 – ISMA Victoria telah menganjurkan ujian kecergasan di Royal Park bermula jam 10 pagi sehingga 12 tengahari. Objektif program ini dianjurkan adalah untuk mengukur tahap kecergasan ahli wanita ISMA Victoria disamping menjadi pemangkin kepada peserta untuk lebih menjaga kesihatan tubuh badan.

Sebelum memulakan ujian, para peserta terlebih dahulu mendengar taklimat daripada jurulatih ujian iaitu Dr. Nurul Fathen Nadia. Beliau menerangkan tujuan program ini dan ujian yang bakal diadakan iatu ujian fleksibiliti, multilevel sit-up, push-up, larian 2.4 km dan pengiraan BMI. Beliau turut berpesan kepada para peserta untuk menjadi muslimah yang serba boleh dalam semua aspek seperti mempunyai kefahaman Islam, cemerlang akademik, memiliki pelbagai kemahiran dan juga mempunyai tubuh badan yang sihat.

DSC_0321Satu hadith Rasulullah s.a.w. yang boleh dikongsi ialah:

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah. Masing-masing ada mempunyai kebaikan. Bersungguh-sungguhlah mengerjakan suatu yang berguna (di dunia dan di akhirat), hendaklah selalu meminta pertolongan daripada Allah dan jangan berasa lemah yakni putus harapan atau merasa hampa. Jika engkau ditimpa sesuatu janganlah berkata, “Andainya aku berbuat demikian tentu akan menjadi begini dan begitu.” Akan tetapi katakanlah, “Ini adalah takdir Allah s.w.t. dan Allah sekehendaknya.” Sesungguhnya perkataan “andainya” (lau) hanya membuka jalan bagi syaitan untuk berbuat sesuatu.”

(Hadith riwayat Muslim)

Melalui hadith ini, kita dapat lihat bahawa Allah s.w.t. sangat menyukai mukmin yang kuat. Megikut huraian hadith ini, ‘kuat’ ialah kuat jiwa dan tubuh badan, memiliki keazaman yang kuat untuk melaksanakan ibadat termasuk amar ma’ruf nahi mungkar. Oleh itu, marilah kita berlumba-lumba menjadi salah seorang yang dikasihi Allah s.w.t.

Dalam ujian kecergasan ini, semua peserta telah menamatkan kelima-lima ujian dengan jayanya dan diharap agar dapat terus istiqamah dan bersedia untuk ujian kecergasan pada masa akan datang.

 

Share

About Penerangan ISMA Australia