Harapan buat Si Daie Statik

By on November 3, 2014

Daie ialah sekumpulan manusia yang hidup mereka hanya berfikir tentang bagaimana hendak mengembalikan manusia kepada cara hidup yang diredhai Allah. Gelaran Daie bukan hanya pada mereka yang mampu berdiri di pentas berucap di khalayak ramai. Bukan juga mereka yang hanya memakai jubah dan berperwatakan seorang ustaz. Akan tetapi peranan seorang daie itu jauh lebih luas dari kacamata sempit pandangan umum yang mengehadkan definisi seorang daie.

Aktivis ISMA Australia

Aktivis ISMA Australia

Kita semua adalah Daie. Oleh sebab itu, kita punya peranan yang wajib ditunaikan. Menjadi salah satu peranan penting seorang Daie untuk menyedarkan masyarakat akan bahaya ancaman-ancaman luar yang wujud sekarang ini di sekeliling kita agar kita tahu siapa musuh sebenar kita. Liberalisme, Humanisme, dan Sekularisme sebagai contoh. Semuanya musuh yang harus kita perhatikan pergerakan mereka agar terpandu dan tidak terseleweng ke arah mana kita menyeru manusia. Ya, ancaman ini benar-benar wujud dan kita harus sedar di samping menyedarkan yang lain. Namun tugas ini bukan mudah. Bukan mudah untuk menyedarkan masyarakat yang majoritinya sudah punya cara fikir yang tersendiri. Oleh itu, kita harus punya kekuatan untuk menyedarkan masyarakat yang ramai ini. Kita harus mengumpulkan mereka yang berkualiti di luar sana untuk bersama-sama menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Harus disatukan daie-daie ini agar misi mengejutkan kembali ummat yang sedang tidur ini tercapai. Misi ini harus bermula segera!

Dalam misi kita mencari daie berpotensi yang bersembunyi di luar sana, ada satu perkara yang perlu kita fahami. Mengumpulkan daie seramai mungkin adalah satu perkara yang penting. Kerana itulah caranya untuk kita mendapatkan kekuatan demi menentang agenda-agenda jahat musuh di luar sana. Akan tetapi, tugas membina dan membangunkan potensi seseorang daie itu adalah jauh lebih penting. Ramai di antara kita yang terlalu fokus untuk mengumpulkan daie, namun gagal untuk membina mereka dengan baik. Dengan itu, maka terhasilah golongan yang kita namakan ‘Daie Statik’. Daie yang telah lama melalui proses da’wah dan tarbiyyah tapi tidak mampu bergerak dan meluncur dengan lebih laju dalam perjuangan. Daie yang sering diketepikan bila mana terdapat pertembungan antara mereka dan daie yang lebih hebat.

Mengapa ini boleh terjadi? Apakah punca lambakan Daie Statik yang wujud sekarang ini? Seringkali kita menyalahkan bahawa mereka ini tidak punya keinginan yang kuat dalam jiwa mereka untuk terus maju ke hadapan dalam usaha memperbaiki diri mereka. Tidak benar-benar fokus dalam da’wah dan tarbiyyah. Tidak itu dan tidak ini. Namun, satu perkara yang kita lupa untuk tanyakan pada diri kita. Apa yang telah kita lakukan sehingga mereka boleh tergolong dalam golongan Daie Statik ini? Salah satu perkara yang tidak boleh kita nafikan adalah berkaitan ukhuwwah antara kita dan mereka.

“Tingkatan ukhuwwah yang paling rendah adalah berlapang dada dan tingkatan ukhuwwah yang paling tinggi adalah ithar (mengutamakan yang lain)”.

 [Hasan Al-Banna]

JKN ISMA South Australia 2013/2014

JKN ISMA South Australia 2013/2014

Mengapa Al-Banna meletakkan ukhuwwah sebagai salah satu daripada 9 Tatasusila Amal Jamaie kalau ianya sekadar hanya untuk kita ketahui umur dan tempat tinggal seseorang itu sahaja? Mengapa Al-Banna menggariskan ukhuwwah sebagai satu rukun di dalam Rukun Baiah kalau ianya hanya untuk kita berkenalan mengenai nama dan latar belakang pendidikan seseorang sahaja. Mengapa ukhuwwah disebut di dalam Quran jikalau ianya tidak signifikan untuk difahami dan diselami?

Soalan yang diajukan di atas ini melambangkan betapa pentingnya ukhuwwah dalam perjuangan seorang manusia bergelar Daie. Mana mungkin datangnya thiqoh (percaya) tanpa ukhuwwah yang benar-benar tulus dan seterusnya melahirkan taat.

Sebahagian besar antara kita memandang perkara ini dengan sebelah mata sahaja. Bagi mereka, ukhuwwah hanya berlaku semasa proses membawa seseorang itu terjun ke jalan da’wah dan tarbiyyah sahaja. Selepas itu, tiada lagi layanan istimewa dan tiada lagi tuntutan hak-hak ukhuwwah yang perlu ditunaikan. Akibatnya, seorang daie akan merasa tiada lagi sokongan daripada para daie yang lain dan hilanglah keyakinan dirinya.

Aktivis Akhowat ISMA South Australia

Aktivis Akhowat ISMA South Australia

Lama atau baru di jalan da’wah dan tarbiyyah ini, sama sahaja. Hak-hak ukhuwwah masih lagi perlu ditunaikan tanpa mengira usia tarbiyyah seseorang. Ziarah, bertanya khabar dan senyuman mesra tidak harus lekang dan hilang. Sokongan yang tidak berbelah bahagi dan sangkaan yang baik harus terus disalurkan kepada mana-mana jua Daie Statik ini dalam apa jua keadaan. Luangkanlah juga sedikit masa untuk bersembang dan mendengar apa yang terbuku di hati mereka. Mungkin ini akan menjadi asbab untuk mereka kembali bergerak aktif dalam dunia da’wah dan tarbiyyah. Beri mereka ruang dan masa untuk kembali. Yakinlah pada mereka.

Percayalah! Kehilangan seorang daie yang telah lama bersama dalam perjuangan ini tidak setara walaupun dia diganti dengan kehadiran 10 orang daie baru. Hargailah daie disekeliling kita! Jangan sehingga kita menjadi asbab untuk mereka futur (tertinggal) daripada gerabak da’wah ini.

Harapan masih ada buat Daie Statik ini untuk bangun dan buktikan bahawa ada sesuatu yang mampu disumbangkan kepada ummat yang sedang tenat ini. Mereka perlu lebih berani mencabar potensi diri. Ubah diri untuk menjadi Daie Dinamik.  Mereka perlu lakukan tugas mereka,  dan kita juga harus lakukan tugas kita.  Jagalah ukhuwwah sesama kita. Elakkan dari bersangka buruk dan teruskan mengutamakan kepentingan orang lain. InsyaAllah, moga Allah redha akan perjuangan ini dan mereka yang berada di atas jalan ini.

 

Farhan Salmi

Ketua ISMA South Australia.

Share

About Penerangan ISMA Australia