Vape: Pemuda, Pendakwah dan Perubahan

By on November 4, 2015

Bacalah dengan nama TuhanMu yang telah menciptakanmu sebaik-baik kejadian.

Vape.

14676112803_299338a8bb_b

Dari sudut pandang mereka yang menghisap vape:
Kata mereka, hisap vape sebagai langkah untuk mereka berhenti merokok.

Dari sudut pandang beberapa orang yang menggelarkan diri mereka sebagai pendakwah:

Mereka takut untuk menyatakan yang vape itu salah kerana risau apabila kita terlalu bertegas, mereka yang hisap vape ini langsung tidak mahu dengar nasihat kita. Malah, ada yang menyokong dan menggalakkan pemuda diluar sana untuk terus menghisap vape.

Dari sudut pandang beberapa menteri:

Keputusan untuk tidak mengharamkan vape ini adalah kerana memahami aspirasi anak-anak muda.

Mari kita baca, hayati dan cuba fahami apa yang saya mahu katakan selepas ini dengan hati yang terbuka:

 

Wahai pemuda sekalian,

Pertama sekali, ada banyak lagi cara lain yang boleh digunakan untuk kamu berhenti merokok. Malah sudah terbukti orang yang pernah merokok berhenti merokok tanpa perlukan vape pun.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah menyatakan bahawa penggunaan rokok elektronik atau vape hukumnya haram kerana ia tetap memudaratkan kesihatan, menggalakkan pembaziran dan meniru budaya bukan Islam yang merosakkan. Vape juga mengandungi nikotin sama seperti rokok sebenar dimana ia adalah satu unsur penting yang menyebabkan pengguna ketagihan, dan ketagihan seterusnya akan menyebabkan pembaziran. Maka, alasan kamu untuk vape sebagai langkah untuk berhenti merokok tiada asas sama sekali kerana kamu masih akan ketagihan.

Saya juga pernah berjumpa dengan perokok tegar yang berusaha untuk berhenti merokok sehingga badan menggigil-gigil kerana tidak tahan. Saya faham sangat betapa susahnya untuk kamu berhenti merokok/vape. Tapi, percayalah bahawa sekiranya kamu mempunyai keinginan yang sangat kuat untuk berhenti merokok/vape, Allah yang menciptakan kamu sebaik-baik kejadian itu pasti membantu kamu. Allah pasti memudahkan perjalanan kamu untuk berubah. Adakah kamu tidak yakin dengan pertolongan Allah?

Saya kongsikan satu kaedah untuk kamu untuk berhenti merokok/vape. Saya faham sangat dalam situasi berperang dengan nafsu, kamu perlukan sistem sokongan. Maka, carilah kawan-kawan kamu yang boleh membantu kamu untuk berhenti merokok/vape ini. Kamu kata kamu mahu berhenti merokok/vape, tetapi kenapa kamu masih bersama dengan geng-geng merokok/vape kamu, keluar malam bersama mereka dan menghadiri pesta vape itu!

Duhai pemuda, kamu harapan ummah. Bagaimana mahu melahirkan pemuda yang membela agama, bangsa dan negara sekiranya kamu terus begini, lalai dan berada di alam fantasi ciptaan kamu. Bangkitlah, bangunlah dan bersegeralah bertaubat serta pintalah pertolongan daripada Allah. Mari kita sama-sama menjadi pemuda yang bermanfaat untuk orang lain.

 

Wahai manusia yang digelar pendakwah,

Setelah saya melalui beberapa siri tarbiyyah dan dakwah, baru saya sedar bahawa dalam kita nak berdakwah dalam apa keadaan sekalipun secara tegas mahupun lembut dan sebagainya, perkara yang kita nak dakwahi itu wajib mengikut neraca Al-Quran dan sunnah. Dakwah itu pun bertujuan untuk membawa mereka kembali kepada Tuhan. Maka apabila kita membenarkan dan menyokong mereka untuk hisap vape, itu bukan membawa mereka kepada Allah, tapi itu mengundang kebencian Allah. Dakwah bagaimana yang kita mahu pegang?

Janganlah menjadikan perjuangan kita untuk mendaulatkan Islam itu sia-sia. Jadilah pendakwah yang proaktif. Sebab itu kita harus ada prinsip yang menerima semua perkara yg mengikut acuan Islam dan menolak perkara yang bertentangan dengan Islam. Maka, kita kena jelas dan tahu beza yang mana baik dan mana yang buruk mengikut landasan syarak.

Saya sendiri juga pernah merasa takut untuk bertegas dalam menegur sebab risau nanti mereka yang ditegur ini tidak mahu dengar cakap kita. Kalaulah sekarang saya masih ada cara fikir seperti itu, saya rasa saya pun akan berkata ”Tidak mengapalah mereka hisap vape sebab ini permulaan untuk berhenti merokok”. Jadi di sini saya mahu menekankan betapa pentingnya untuk kita ada prinsip yang mantap dan bersama-sama dengan golongan yang mengikut neraca Al-Quran dan Sunnah agar kita tidak termasuk dalam golongan yang terpedaya. Ini kerana boleh jadi kita mengatakan yang kita ikut Al-Quran dan Sunnah, tetapi hakikatnya tak pun.

Pernahkah kita terfikir mengapa kita tidak berjaya untuk mengikut Al-Quran dan Sunnah secara sahihnya apabila keluar isu-isu seperti ini? Sebab kita tidak mempunyai prinsip yang kuat untuk menerima kebenaran dan menolak perkara yang bertentangan dengan Islam. Kita tidak tahu membezakan yang mana baik dan buruk. Maka, pendirian kita sebagai seorang pendakwah menjadi rapuh!

Ya benar, sebagai seorang pendakwah, kita kena berhikmah, namun apa yang salah tetap salah. Kita tidak boleh menegakkan benang yang basah. Menjadi kewajipan kita untuk memberitahu mereka yang vape itu salah dan berikanlah mereka fakta-fakta yang sahih berkenaan mudarat vape ini. Beritahulah mereka juga bahawa mereka perlu merendahkan ego mereka untuk menerima kebenaran ini. Tugas ini memang susah kerana mereka akan cuba juga untuk mempertahankan kesalahan mereka. Maka, kita yang sedar inilah harus keluar dan menyatakan perkara ini salah dan pergi kehadapan untuk menyatakan aspirasi anak muda yang sebenarnya bagaimana.

Dalam dunia ini ada dua perkara sahaja, sama ada kita mahu ikut kebenaran wahyu ataupun nafsu al-hawaa’. Ramai orang mampu mengajak kepada kebaikan tetapi tidak ramai orang yang mampu mencegah kemungkaran. Ayuhlah kita sebagai pendakwah membawa mereka mengikut acuan Al-Quran yang sebenarnya. Mereka tidak mahu dengar, itu perkara biasa tapi sekurang-kurangnya kita sudah menyatakan kebenaran kepada mereka dan kita boleh jawab dihadapan Allah di akhirat nanti. Dan yang paling penting, doakan mereka juga kerana doa itu senjata mukmin yang paling ampuh.

Dan suka juga untuk saya mengajak kita semua supaya amalkan solat istikharah. Moga-moga dengan amalan ini, perjalanan hidup kita terpandu dan setiap pilihan yang kita nak buat pun terpandu. Terpandu agar kita benar-benar menerima yang haq sahaja dan menolak yang batil. Dengan dunia yang penuh cabaran sekarang ini, kita harus ada prinsip yang kuat dan sangat jelas. Kita wajib menerima Islam yang syumul sahaja dan kita juga wajib menolak dan menentang segala kemungkaran.

Duhai para pendakwah sekalian, serulah mereka dengan kebenaran!

Akhir sekali buat para pemimpin negara yang saya hormati sekalian,

Kami pemuda mempunyai impian yang besar, cita-cita yang tinggi, matlamat yang gah. Kami mahu menjadi pemuda yang hebat persis Muhammad al-fateh. Kami mahu menjadi pejuang Islam yang berjiwa besar, persis Salahuddin al-ayyubi. Kami mahu menjadi tentera-tentera Allah yang berani berjuang sehinggalah kedaulatan Islam tertegak di muka bumi ini!

Cita-cita kami besar, harapan kami tinggi. Tetapi, dengan tindakan pemimpin-pemimpin yang menyalahertikan aspirasi anak muda ini membuatkan adakalanya perjalanan kami tersekat. Kasihanilah pemuda-pemuda yang sedang lalai dalam duniawi ini. Mereka amat diperlukan untuk membela agama, bangsa dan negara. Berhentilah daripada menyakiti jiwa dan raga mereka.

 

Marilah kita semua kembali kepada fitrah, manusia yang dijadikan Allah dengan sebaik-baik kejadian.

 

Wallahualam bisawwab.

 

Anis Amelia Isa
Aktivis ISMA-Australia
Flinders University, South Australia

Share

About Penerangan ISMA Australia

  • farhanaqilah1aqil@gmail.com

    Terbaiklah! Keep it up ukhti! In syaa allah, same menjadi pemuda pemudi berjiwa singa