Kayuhan Merdeka Pemangkin Semangat Patriotisme

By on August 15, 2016

14 Ogos, Brisbane-  Sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 tidak lama lagi, pelbagai aktiviti giat dijalankan melibatkan agensi, kelab-kelab dan organisasi-organisasi pelajar Malaysia (MSO) bagi menyemarakkan semangat rasa cinta dan sayang pada tanah air.

Tidak ketinggalan ISMA Australia cawangan Queensland, selaku salah satu organisasi pelajar di Queensland, Australia turut menganjurkan aktiviti yang bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotisme, malah menyemai semangat kesukanan dalam diri setiap peserta.

Kayuhan beramai ramai sejauh 32 kilometer ini telah dianjurkan oleh biro sukan ISMA QLD, I-fitness dengan kerjasama Home Bike Mechanic. Aktiviti ini berlangsung selama 3 jam dari pukul 7 pagi hingga 10 pagi. Peserta memulakan kayuhan di Guyatt Park, kemudian melalui kawasan-kawasan menarik seperti Brisbane Botanical Garden, Riverside, QUT, New Farm, Story Bridge, South Bank dan berakhir di Guyatt Park semula.

Aktiviti ini dimulakan dengan taklimat ringkas tentang keselamatan  semasa kayuhan dan terdapat 5 ‘pit stop’ sepanjang kayuhan untuk bergambar dan memberi ruang kepada peserta untuk berehat. Program ini diakhiri dengan tazkirah yang diberikan oleh Timbalan Pengerusi ISMA Australia, saudara Izzat Roslan merangkap Ketua I-fitness Australia.

“Setiap kayuhan kita sebentar tadi jika kita niatkan kerana ibadah kepada Allah insyaAllah setiap roda yang berputar ada pahalanya di sisi Allah. Oleh itu, hendaklah kita hidup dalam Islam kerana tidak susah untuk menjadi hamba Allah yang sejati. Setiap perkara dan perbuatan boleh menjadi ibadah jika ia berlandaskan niat dan syarak yang betul.” Kata Izzat Roslan.

Moga semangat cinta akan negara dan kesukanan ini akan sentiasa tertanam dalam diri peserta kerana selaku pelajar Malaysia di luar negara, kedua-dua semangat ini amat penting bagi memastikan kestabilan hidup yang seimbang.

IMG_4195

Share

About Penerangan ISMA Australia