Lovestruck: Mengekalkan syariat Islam dalam perhubungan dan fitrah perasaan manusia dalam kalangan mahasiswa

By on September 21, 2016

Melbourne, 17 September 2016 – Naluri perasaan serta pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam kalangan mahasiswa Muslim merupakan sesuatu perkara yang membimbangkan sekiranya tidak mengikut panduan syarak.

Jaringan ‘networking’ antara jantina merupakan satu perkara yang sinonim dengan pendidikan di negara Barat membuatkan mahasiswa Muslim terikut-ikut dengan budaya pendidikan yang dikira sesuai dengan perubahan masa.

Program Lovestruck in Melbourne telah membincangkan dengan mendalam tentang permasalahan ini.
“Perhubungan lelaki dan perempuan atau ikhtilat secara hukum asalnya adalah haram. Tetapi Islam adalah agama yang memudahkan penganutnya. Ikhtilat dibenarkan mengikut situasi-situasi tertentu seperti darurah, hajat (keperluan), permasalahan syar’ie, dan kebiasaan adat setempat. Sebagai contoh, sebagai pelajar disini kita tidak boleh mengelak untuk menghadiri perbincangan berkumpulan yang bercampur antara lelaki dan perempuan. Perkara yang kita perlu sentiasa ingatkan diri kita adalah batasan yang telah ditetapkan syarak. Kita tidak boleh bersentuhan, duduk dengan jarak yang rapat dan sentiasa menjaga pandangan kita untuk mengelakkan fitnah.” Kata Ustaz Shahier Sa’min salah seorang panel dalam Talkshow.

“Perasaan cinta itu fitrah dan kita perlu mengawal perasaan itu serta mendorongnya ke arah yang baik. Penyaluran perasaan cinta mengikut syarak adalah perkara yang sangat penting dalam menentukan ke mana arah tuju untuk kita bawa perasaan itu. Adakah nafsu semata, atau kerana Allah dan berakhir dengan perkahwinan.” Ujar Dr Nabilah dalam menyentuh tentang isu dilemma cinta dalam kalangan mahasiswa. Mencari orang tengah yang dipercayai dan berkreabiliti seperti pasangan yang sudah berkahwin dalam membantu urusan hati sangat penting bagi mengelakkan diri kita bergelumbang hanya dengan nafsu dan angan-angan semata.

Lovestruck in Melbourne 16 telah diadakan di Drill Hall, Multicultural Hub ini telah dihadiri peserta seramai 57 orang termasuk wakil daripada badan pelajar Melayu di Melbourne seperti KUAM dan EHSAN.

file_000-5

Siti Khairun Nisa Tajudin

Penolong Pengarah,

Lovestruck in Melbourne 16

Share

About Penerangan ISMA Australia