AGM ISMA Vic: Peribadi Muslim Sejati Jaminan Kejayaan Duniawi Ukhrawi

By on October 17, 2016

 

20161008-dsc_7043

VICTORIA, 8 Oktober – ISMA Australia Cawangan Victoria berjaya membuktikan bahawa pembinaan peribadi Muslim yang unggul mampu menjamin kejayaan, sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Dalam KARISMA 2016 di Adelaide yang lalu, Jawatankuasa Negeri (JKN) ISMA Victoria mendapat anugerah JKN terbaik antara negeri-negeri di Australia seterusnya membuktikan peri pentingnya pembinaan asas peribadi Muslim unggul yang ditekankan oleh ahli-ahli ISMA Victoria selama ini. Mantan Ketua JKN Victoria, Saudara Zulhairi Mamat berkata dalam ucapan perasmiannya, “ISMA meletakkan pembangunan tamadun Islam terhadap pembinaan peribadi dan individu Muslim yang unggul sebagaimana bukti dalam sejarah lampau, kita lihat terbinanya kegemilangan Islam pada zaman Abasiyyah akibat daripada pembinaan diri yang kukuh dari zaman para sahabat, tabi’ dan tabi’ tabi’in.”

Kekuatan barisan penggerak ISMA Victoria seterusnya dinyatakan sekali lagi oleh Ketua JKN Victoria Sesi 16/17, Saudara Ahmad Azfar Muhamaddiah, apabila beliau menyentuh perkara berkaitan pembinaan jatidiri yang kukuh “Kita perlulah mementingkan dan menanam dua perkara untuk meneruskan diri dalam jalan dakwah dan tarbiyyah ini, iaitu aset pengalaman dan tidak bersifat materialistik. Ingatlah bahawa jalan dakwah dan tarbiyyah ini adalan jalan bernafas panjang.”

Selain daripada Mesyuarat Agung Tahunan, AGM Vic 2016 ini juga disertai oleh Aman Palestin (AP) Victoria untuk sama-sama memeriahkan majlis. Majlis kali ini menyaksikan ahli-ahli ISMA dan Aman Palestin Victoria yang hebat dan gah dalam bidang masing-masing ditampilkan semasa sesi penyampaian anugerah. Anugerah Tokoh JKN dirangkul oleh Saudara Aiman bin Badrulhisham dan Saudari Farhana Aqilah binti Aqiludeen manakala Anugerah Mahasiswa/i Harapan dimenangi oleh Saudara Nik Faris Haikal Badrul Hisham dan Saudari Alia Nurfarahain binti Mohd Rujhan. Mewakili AP, Anugerah Sukarelawan Terbaik dinobatkan kepada Saudara Rizan Faiz bin Rosman dan Saudari Dk Nurul Aqeelah Pg Hj Abu Bakar. Seterusnya, Anugerah AJK Terbaik AP jatuh kepada Saudara Muhammad Syafiq Danial bin Dany dan Saudari Ili Natasya binti Marzaimi.

Mesyuarat Agung dan Majlis Apresiasi yang telah dihadiri oleh 50 orang ahli ISMA dan AP di Victoria ini menekankan kepentingan ummah pada hari ini, khususnya syabab dan fatayat untuk kembali kepada pembinaan asas dalam Islam agar dengan keperibadian dan kefahaman yang jitu dan sahih, mampu melakar kembali kejayaan Islam menawan dua per tiga dunia, malah biar lebih lagi. Sesungguhnya inilah tarbiyyah sebenar, di mana tarbiyyah bukan sekadar usrah, bukti seronoknya bersama ISMA.

 

NIK F HAIKAL BADRUL HISHAM

Ketua Biro Penerangan ISMA Cawangan Victoria

Share

About Penerangan ISMA Australia