‘Susah Sebelum Senang’

By on October 25, 2016

14650099_1798490513702354_8224734041515443344_n

Ramai kenalan saya dalam kalangan students universiti yang nampak saya sekarang kata, “sekarang doktor takpe la, banyak duit, gaji besar, dah hidup senang.. kami students, scholarship sikit, rumah mahal, tak cukup duit..” dan banyak lagi. Saya hanya mampu tersenyum…

Biasanya, memang saya tak banyak cerita pasal kerja saya, berapa gaji saya.. saya tak suka sangat cerita pasal duit. Bagi saya duit bukan pembeza antara darjat & taraf manusia. Kita berkawan biar ikhlas dan biar semua sama taraf. Tak ada sesiapa yang lebih hebat, melainkan kualiti iman sahaja.

Kepada adik-adik, sebelum saya sampai kepada siapa saya sekarang, banyak kesusahan yang terpaksa saya lalui. Hidup sebagai student memang susah. Saya dulu pun terpaksa menahan keinginan pada banyak benda yang saya idamkan. Makan luar memang boleh dikira dengan jari beberapa kali sahaja dalam beberapa bulan.

Sejak daripada tingkatan 1, saya memang dah biasa hidup tak bergantung pada ibu bapa saya. Saya tak nak menyusahkan mereka sebab saya tahu mereka juga perlukan duit untuk kegunaan mereka dan adik-adik saya. Saya membiasakan diri untuk hidup sekadarnya, orang kata sekadar ‘cukup makan’.

Bila masuk universiti, saya dah terbiasa dengan hidup ala kadar ni. Walaupun banyak benda yang saya suka & berminat nak beli seperti phone baru, laptop power, hard disk besar dan banyak lagi gajet-gajet lain, tapi ni bukan prioriti bagi saya. Saya memang betul-betul disiplin dengan diri. Hidup memang susah, tapi apa lagi yang mampu saya buat. Kita boleh komplen sana-sini, tapi saya pilih untuk hidup dengan apa yang ada ditangan. Hidup dalam realiti, bukan dalam angan-angan. Ramai yang mengejar angan-angan sehingga terlupa realiti.

Kejayaan datang bersama dengan pelbagai kesusahan. Lagi besar kejayaan yang kita nak, lagi penuh kesusahan yang kita terpaksa lalui. Kita nampak orang itu hidup senang lenang sekarang, ada semuanya, tapi kita tak nampak yang dahulunya dia tak ada apa-apapun, melainkan hanya keinginan yang tinggi sahaja.

Kejayaan dan kesenangan hanya akan datang dengan kesungguhan, kepayahan dan keperitan. Jangan takut untuk bersusah payah. Pada setiap keperitan dan kepayahan, dihujungnya ada kejayaan yang menanti. Lagi besar kesusahan itu, lagi besar kejayaan menanti. Tiada jalan mudah untuk dapat kejayaan dan kesenangan. Kalaupun ada, kejayaan itu hanyalah cibisan, bukan kejayaan sebenarnya yang jiwa kita mahukan.

Penting juga untuk kita ada role-model. Lihat disekeliling siapakah yang boleh kita contohi. Minta tips daripadanya bagaimana dia telah mencapai kejayaan. Orang bertanya tak sesat jalan. Kadang-kadang tu ada jalan pintas (short-cut).

Akhirnya, sempena musim exams ini, nasihat saya kepada para students disini, jangan mudah berputus asa. Jangan ingat kejayaan akan datang dengan mudah dan cepat. Hukum alam: usaha sedikit = hasil sedikit.. usaha besar = hasil besar. Masih belum terlambat untuk memulakan langkah. Semoga berjaya. Semoga dibantu Allah.

Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.

Dr Shaiful Aizad Shafie
Ketua Biro Tarbiah ISMA New South Wales
Rehabilitation Registrar, Eastern Suburbs Private Hospital

Share

About Penerangan ISMA Australia