Tarbiyyah Allah kepada Hamba-Nya Melebihi Pemikiran Manusia

By on December 5, 2016

Manusia pastinya senantiasa meminta dan berdoa kepada Yang Maha Pencipta untuk segala kesenangan, dunia mahupun akhirat. Akan sentiasa meminta akan kebaikan. Akan sentiasa merayu kepada keperluan seharian. Aku juga tak lari daripada menjadi seperti ini. Saban hari aku akan merayu-rayu agar aku disenangkan dalam segala urusan, agar aku tidak dihalangi dalam segala permintaan dan banyak lagi.

 

Namun, peristiwa yang berlaku pada dua minggu lepas mengajar aku banyak perkara, terutamanya dalam meminta daripada Allah. Aku mengikuti program Summer Gathering 2016 di Sydney anjuran ISMA Australia. Bergerak dari Melbourne, aku menaiki kereta bersama-sama dengan pemuda-pemuda hebat harapan ummah.

 

Dipendekkan cerita, sewaktu kami dalam kereta api menuju ke kem perkhemahan, kami (aku dan Abang Amir) cuba untuk menyewa kereta untuk pulang ke Melbourne nanti. Cubaan pertama, page website tersebut menyatakan ‘error’, lalu kami mencuba buat kali kedua. Masih mendapat paparan skrin yang sama. Kami cuba lagi buat kali ketiga, keempat, kelima, keenam, dan ketujuh, kami masih mendapat balasan yang sama. Untuk menyedapkan hati, kami berpendapat bahawa website tersebut ‘down for maintenance’.

 

Kemudian, apabila kami memeriksa baki akaun bank masing-masing, kami dapati syarikat kereta sewa tersebut telah mencaj sejumlah wang sewaktu kami mengisi borang ‘online’ untuk menyewa kereta tersebut. Terkejut, terus kami hubungi syarikat berkenaan. Menambahkan lagi kejutan kepada kami, didapati tiada langsung bukti penyewaan yang kami lakukan. Pelik dan hairan dengan keadaan tersebut, kami meminta agar duit kami dipulangkan, namun disuruh pula kami untuk menghantarkan email bukti transaksi tersebut kepada mereka dan banyaklah lagi kerenah mereka yang hanya menangguh-nangguhkan pemberian semula duit kami.

 

Ujian kami tidak berhenti di situ sahaja. Akibat penolakan duit yang agak banyak, muncul pula masalah lain. Kemudian, kami diuji dengan masalah untuk menyewa kereta untuk pulang ke Melbourne pula. Selesai dengan program, kami ke lapangan terbang Sydney untuk menyelesaikan masalah duit tadi dan juga untuk membuat sewaan kereta yang baru. Menjadi dugaan bagi kami, kedua-dua masalah tadi tetap tidak selesai. Malah, aku dan Abang Amir tersadai tanpa hala tuju dan tujuan kehidupan di lapangan terbang selama hampir 3 jam. Peritnya perasaan kami pada masa itu hanya Allah sahaja yang tahu.

 

Dipendekkan cerita, kami akhirnya mendapat kereta sewa pada hari Ahad dua hari selepas program. Kami telah selamat tiba di Melbourne dengan aman dan jayanya. Aku muhasabahkan diri atas kejadian yang menimpa kami.

 

Untuk dijadikan sebagai satu pengajaran, aku kongsikan apa yang aku dapat:

1. Kesalahan terbesar aku semasa menerima ujian-ujian di atas, aku lupa siapa sebenarnya yang mengawal kehidupan dan alam semesta, lalu aku lupa untuk meminta kepada-Nya. Aku lupa buat sejenak, bahawa bukan kepada manusia yang perlu aku meminta. Aku meminta-minta kepada manusia agar diselesaikan permasalahan ini segera. Bukan kepada manusia patut aku merayu agar permasalahan aku selesai, tapi Allah. Aku lupa. Atas kealpaan aku ini, Allah memberikan berikan lagi ujian-ujian hingga aku kembali kepada-Nya.

 

2. Aku meminta kepada Allah agar diberikan jalan yang lurus. Aku meminta kepada Allah agar aku thabat di dalam jalan dakwah dan tarbiyyah ini. Aku merayu agar Allah menguatkan hati aku yang kian lama semakin ‘memati’. Lalu Allah berikan aku ujian agar aku tahu jalan manakah yang lurus. Allah berikan ujian-ujian agar hati aku ini senantiasa mengingati-Nya dan tidak mati. Allah berikan peringatan kepadaku agar kembali kepada-Nya dan bukan manusia.

 

3. Aku merasakan bahawa tiada pentarbiyyahan yang paling efektif selain daripada tarbiyyah Allah. Dengan rentetan peristiwa dan ujian yang aku alami, aku sedar bahawa Allah itu dekat denganku. Namun aku yang lari daripada-Nya. Maka, untuk menyedarkan diriku yang semakin lama semakin jauh, Dia memperingatkan aku, agar aku tidak lari daripada-Nya.

 

4. Paling utama, aku sedar bahawa Allah sangat sayangkan hamba-hamba Nya sentiasa dan pada setiap masa. Kasih sayang Allah tiada batasnya. Disebabkan kasih sayang itulah, Allah memberikan ujian kepadaku. Ehhh kenapa? Macam pelik je? Sebenarnya tidak. Kalau diperhatikan, aku memohon agar Allah kekalkan aku dalam jalan yang sedang aku lalui ini agar aku mampu mengikuti apa yang Rasulullah SAW lakukan dahulu. Maka diberikanlah kepadaku ujian-ujian ini. Aku teringat satu ayat yang dikongsikan dalam usrah aku dengan naqibku (murabbi hebat aka Abam Hensem) iaitu Ayat 2-3, Surah Al-Ankabuut. Dalam kedua-dua ayat ini, mafhumnya ialah adakah manusia akan menyangka bahawa mereka akan dibiarkan tidak diuji dan hanya berkatakan mereka beriman, dan Allah juga telah menguji orang-orang terdahulu, untuk mengetahui siapakah sebenarnya yang beriman dan siapa yang berdusta.

 

Allah berfirman dalam Surah Al-Ankabuut,ayat 69;
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Sesungguhnya, berusahalah menjadi hamba-Nya yang terbaik, kerana Allah akan sentiasa disisi, membantu dengan apa yang perlu, memberikan bantuan dalam setiap kesusahan.

 

Nik Faris Haikal

Ketua Biro Penerangan ISMA Victoria 16/17

University of Melbourne

 

Share

About Penerangan ISMA Australia