Bilakah Masanya???

By on December 21, 2016

Cerita umat Islam ditindas dan dibakar hidup-hidup oleh penganut Buddhist di Rohingya masih lagi belum reda, kini kisah umat Islam di Aleppo pula di kepung dan dibunuh beramai-ramai oleh regim jahat Assad/Syiah. Kisah umat Islam di Palestin yang di bunuh setiap hari oleh penjajah Yahudi masih juga tiada penyelesaiannya.

Yang berbeza mungkin pada peta geografi, tetapi kisahnya sama sahaja. Dimana sahaja umat Islam berada, mereka dibunuh sesuka hati. Pembunuh-pembunuh umat Islam ini pada zahirnya tiada kesamaan pun pada mereka; Buddhist, Syiah dan Yahudi, tetapi yang pasti mereka amat sangat benci kepada Islam. Kebencian ini telah mencapai ke kemuncaknya, sehingga kemanusiaan sudah tiada lagi nilainya.

Kepada umat Islam selainnya, sekarang bukan masa untuk menunding jari menyalahkan sesiapa. Kemestian untuk kita memperbaiki diri telah mencapai tahap daruratnya. Memperbaiki diri bererti memperbaiki umat yang lemah ini. Kita kena sedar bahawa diri kita adalah unit-unit dan batu bata kepada umat ini. Carilah jalan untuk perbaiki diri. Perbaiki kualiti iman anda. Perbaiki kualiti ibadah anda. Perbaiki hubungan anda dengan Allah. Kalau anda rasa anda masih lemah, jangan terus berselimut di atas katil yang empuk dan jangan terus seronok di atas sofa melayan cerita-cerita korea, drama-drama, anime dan sebagainya. Masa terbuang untuk kelekaan akan terus menjadikan umat ini terus berada dalam lemah.

Bukan Yahudi, Syiah dan Buddhist yang membunuh saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Iraq dan Rohingya, tapi kitalah yang sebenarnya yang telah “merestui” mereka dibunuh oleh musuh-musuh Islam ini. Kita yang terus menerus bersengketa, bergaduh, berbalah sesama kita. Yang leka, terus menerus seronok dalam kelekaan. Yang lalai, terus seronok didalam kelalaian. Apa lagi kekuatan yang kita ada? Kalau ada berbilion-bilion pun angka-angka “0 = kosong”, jawapannya tetap KOSONG.

Sedarlah. Masa yang kita ada sudah tidak banyak. Memanglah Islam pasti akan menang. Tapi apa usaha kita kearah mencapai kemenangan ini kalau kita hanya sibuk dengan agenda remeh diri sendiri dan geng-geng kita sahaja. Buka mata luas-luas, lihat keluar tempurung di atas kepala.

Kalau ada yang dah ada kesedaran, tapi anda tak tahu nak mula dimana atau tak tahu nak buat apa, bertanyalah kepada sesiapa yang anda rasa boleh bantu anda. Jangan hanya tertunggu-tunggu untuk ada seseorang yang akan ajak anda atau datang bantu anda kalau anda sendiri yang tak mulakan. Kalau anda mahu kebaikan untuk diri anda, anda yang sepatutnya kena mulakan dahulu. Anda tunggu sorang-sorang, anda yang rugi. Dan jangan salahkan orang lain kalau anda tertinggal gerabak. Anda perlu ambil tanggungjawab dan anda bertanggungjawab ke atas diri anda sendiri.

Bagi yang dah mula untuk memperbaiki diri, jangan berhenti di sini. Setiap aspek diri perlu diperbaiki dan diperkuatkan. Bukan aqidah sahaja. Akhlak, ibadah, ilmu, hafazan, qualiti bacaan Quran, semua ini perlu diperbaiki dan banyak lagi. Tak ada manusia yang perfect (kecuali Rasululah saw). Jangan pernah rasa diri anda perfect sehingga anda rasa anda tiada lagi ruang untuk penambahbaikan. Pada masa yang sama, ajaklah rakan-rakan, ahli keluarga dan jiran tetangga atau sesiapa sahaja yang anda kenal untuk bersama-sama anda memperbaiki diri. Umat ini akan kuat kalau semuanya kuat. Kalau anda seorang sahaja yang kuat, umat ini masih lemah. Permulaannya mesti pada diri sendiri dahulu. Kalau nak mulakan pada diri sendiri pun masih malas, jangan harap nasib umat ini akan berubah di atas tangan kita.

Bagi yang masih malas-malas lagi, anda fikir-fikirkanlah, sampai bila anda ingin tunggu untuk anda berubah. Adakah anda ingin tunggu sehingga seluruh umat Islam diatas muka bumi ini dibunuh dengan kejamnya dan anda adalah muslim yang terakhir, baru anda akan bertindak. Ketika ini, masa dan usaha anda sudah tidak bererti dan diperlukan lagi.

Pada masa dan ketika ini, ketika umat didalam fitnah yang besar, ketika umat umpama ‘makanan yang kerumuni’, ketika inilah umat perlukan kita. Tiada lagi alasan untuk kita beri. Tiada lagi masa yang boleh kita baziri dengan permainan keanak-anakan. Masa bagi umat ini adalah kritikal. Setiap minit kita membazirkan masa kita dengan perkara yang tak ada faedah dan kebaikan untuk umat ini, seratus umat Islam dibunuh.

Saya menulis panjang ini kerana saya dah tak sanggup melihat dan mendengar nyawa-nyawa umat Islam dibunuh, diperkosa dan diperlakukan sebegini. Setiap hari ada sahaja umat Islam yang dibunuh secara tidak adil. Adakah kita nak harapkan kuasa-kuasa besar? Adakah kita nak harapkan negara-negara yang berkepentingan? Adakah kita nak harapkan pemimpin-pemimpin dunia yang pengecut? Siapa lagi yang boleh kita harapkan kalau bukan pada diri sendiri dan rakan-rakan yang boleh kita percayai. Islam pasti akan menang kembali, dan saya harapkan ianya akan menang dengan usaha tangan kita.
Ketika jiwa kita berputus asa dengan manusia, jangan kita lupa bahawa Allah sentiasa bersama dan Dia Maha Berkuasa dan Maha Mendengar.
Dr Shaiful Aizad Shafie
Rehabilitation Registrar,
Eastern Suburbs Private Hospital, Sydney
Share

About Penerangan ISMA Australia