Membedah Latar Masyarakat Empayar Islam pada 1000 M-1300 M

By on December 25, 2016

Penulisan ringkas ini memberi fokus kepada permasalahan yang dihadapi oleh ummah sewaktu tahun 1000 – 1300 A.D. (Tahun Masihi) lebih spesifik yang berlaku di sekelilling Salahuddin Al-Ayyubi. Tambahan lagi, penulisan ini merupakan catatan-catatan ringkas dari kajian yang lebih mendalam dan bersesuaian bagi perkongsian kepada masyarakat umum.

“Everything that we have today, ..they have it back then…”

Frasa di atas merumuskan permasalahan ummah yang ada pada zaman sekarang berlaku pada zaman Salahuddin Al-Ayyubi. Dari korupsi pemerintah hinggalah ke perpecahan ummah di rantau Arab. Gambaran kestabilan adalah jauh sekali dari realiti yang dihadapi ummah pada waktu itu. Dan di sini, kita menyaksikan penyiksaan yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam di seluruh dunia pada zaman ini. Syria, Gaza, dan banyak lagi.

Gambar pertama merujuk kepada peta empayar Islam sewaktu 1000 A.D. Perpecahan berlaku dalam Ummat Islam sendiri di mana berlaku perebutan kuasa dan wilayah di antara kerajaan Fatimids dibawah pengaruh Syiah dan kerajaan Abassiah dibawah pengaruh Sunni. Menurut sejarawan Ali ibn Al-Athir, sultan dan khalifah sendiri tidak mampu mencapai satu kata sepakat dalam kebanyakan situasi. Tidak cukup dengan itu, kemunculan crusaders atau tentera salib yang memulakan peperangan salib mengancam kestabilan empayar Islam.

Secara ringkasnya, tentera salib ini wujud apabila Pope Urban II mengarahkan penaklukan tanah suci atau Holy Land pada tahun 1095. Tentera Salib yang majoritinya dari Perancis diberi nama Franks oleh orang Islam memulakan penaklukan mereka melalui beberapa siri-siri pertarungan dengan tentera Islam. Frasa tentera Islam di sini merujuk kepada tentera-tentera yang berkhidmat dibawah amir-amir negeri mereka seperti tentera di bawah pimpinan Nur al-Din di Damascus. Menariknya, Tentera Salib mampu dikumpulkan walaupun terdapat pergelutan kuasa dalam negara-negara Eropah. Sebagai contoh, raja Perancis, Louis VII mengambil peluang dari panggilan untuk berperang dari Pope Eugenius III bagi meluaskan pengaruhnya. Situasi berbeza bagi Jerman dibawah Empayar Rom (Holy Roman Empire) apabila pemerintahnya, Conrad III yang berusaha untuk menyatukan wilayah-wilayah jajahannya yang kini terletak diantara Jerman dan Austria.

Posisi Ummah Ketika Itu

Pemimpin-pemimpin empayar Islam yang berpecah kini lebih rela menjalinkan hubungan dengan Tentera Salib berbanding sesama mereka kerana beranggapan lebih baik bersama-sama dengan kuasa luar bagi menjatuhkan negeri jiran. Maka, mereka akan membayar cukai dan menyerahkan tanah kepada Tentera Salib, sesuatu yang dianggap memalukan oleh Salahuddin Al-Ayyubi. Situasi ini bukankah sama seperti apa yang berlaku di Tanah Melayu sewaktu pembesar-pembesar cuba untuk menguatkan pengaruh dengan bantuan British?

Latar masyarakat ini akan memberi fokus terhadap masyarakat majmuk termasuk golongan ilmuwan dan barisan pemerintah. Melalui politik yang disalah guna, berlakunya perpecahan di antara rakyat dan para pemerintah yang lalai serta lebih mementingkan harta. Mereka dilihat tidak cekap untuk melaksanakan tugas-tugas pengurusan dan bertindak mengenakan cukai-cukai yang tinggi. Ini memberi gambaran yang jelas bagaimana situasi tampuk pemerintahan dalam empayar Islam. Penyair yang tidak dikenali pernah berkata dengan nada hiba kepada sultan, “Adakah anda tidak mempunyai tanggungjawab terhadap Allah dan Islam?”. Kemanakah tanggungjawab umat Islam? Kebanyakan masyarakat hanya menunggu. Mereka menunggu kehadiran seseorang dari dalam empayar Islam itu sendiri untuk menyatukan Islam. Tapi adakah anda hanya ingin menunggu untuk seseorang tiba untuk menyatukan Islam?

Bagi golongan Ilmuwan pula, zaman ini merupakan zaman di mana ilmu menggambarkan nilai seseorang. Mereka memiliki intelektual yang tinggi serta hati yang sentiasa memegang al-Quran dan Sunnah. Al-Ya’qubi, penulis biografi Salahuddin Al-Ayyubi menggambarkan satu lorong di Damascus yang memiliki ratusan kedai buku. Ilmu adalah kunci kejayaan. Itulah yang difaham

i umat Islam pada waktu itu. Madrasah-madrasah dibuka dan menarik ribuan pelajar dari serata empayar Islam untuk belajar. Ibn Jubayr berkata, “pintu-pintu di Timur telah terbuka dan masuklah wahai golongan muda dan ambillah peluang bagi menuntut ilmu agar anda tidak menyesal apabila masa berlalu…”. Di sini jelas menggambarkan bagaimana masyarakat Islam pada zaman itu menggenggam ilmu sebagaimana mereka menggenggam pedang mereka. Mereka tahu dan sedar, tanpa ilmu, maka tiadalah kemajuan dalam bidang-bidang seperti sains dan perubatan. Suatu kemajuan yang dikecapi dengan mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T.

Kesimpulan

Apakah yang penulis ingin sampaikan melalui kajian ini? Salahuddin Al-Ayyubi berperang dengan golongan-golongan yang cuba memecah-belahkan Islam lebih lama dari dengan Tentera Salib kerana beliau tahu nilai kesatuan itu. Kita bagaimana? Penulis ingin mengajak orang Islam untuk mengangkat agama dan bersatu kerana hari umat Islam itu kuat, adalah apabila mereka dengan Iman yang tinggi bersatu dibawah panji Islam. Penulis juga menyeru umat Islam untuk menuntut Ilmu walau dimana kita berada kerana nilai ilmu itu dipandang sangat tinggi. Dalam kajian di atas, penulis banyak meninggalkan pengajaran-pengajaran yang mampu mengubah cara kita melihat ummah pada hari ini. Namun, penerimaan tersebut bergantung kepada cara dan pemahaman individu.

Rujukan Buku
1. Carole Hillenbrand, The Crusades: Islamic Perspective, pg 70
2. John Man, Saladin The Life, The Legend and The Islamic Empire
3. Lyons and Jackson, Saladin, Chapter 1 & 3

Irfan K Alias
Ketua Biro Penerangan ISMA New South Wales

Share

About Penerangan ISMA Australia