Sebarkan Aura Positifmu!

By on January 1, 2017

Minggu ini tiada internship. Sebab cuti Krismas. Cuti seminggu. Maka, saya bersetuju untuk bekerja dengan majikan saya, untuk kemas rumah dia dan babysit anak-anaknya. Majikan saya ni seorang doktor dan dia bekerja dari 9 am sehingga 5 pm. Jadi saya perlu berada di rumahnya dari jam 8.30 am sehingga 4 pm. Antara kerja yang saya lakukan termasuklah sidai baju, lipat baju, dusting, wiping, mengemas bedrooms, kadang-kadang tukar cadar, buang sampah, memasak dan of course lah jaga anak-anak dia, entertain, bawa pergi ke taman, dan sebagainya. Pernah tengok mak kalian uruskan rumah? Haa….macam tu la lebih kurangnya. Everything in the house adalah tanggungjawabmakmak’ sementara ‘bapak-bapak’ bekerja di luar. Jadi, kena la uruskan setiap satu hal di dalam rumah tu.

Tapi apa yang membezakan kerja saya kali ini berbanding sebelum-sebelum ini ialah memang saya perlu uruskan rumah tu, lagaknya seperti seorang isteri dan ibu, dengan bantuan dan atas arahan employer saya. Tambahan lagi, isterinya memang tiada. Dia bapa tunggal. Ini pengalaman pertama saya bekerja seperti ini. Sungguhpun dia bapa tunggal, saya respect sikapnya yang sangat responsible. Dia akan memastikan rumahnya sentiasa dalam keadaan bersih dan kemas supaya anak-anak selesa duduk di rumah. Dia memastikan kebajikan anak-anaknya terjaga. Sungguhpun sudah tiada isteri, tapi kehidupannya tidak nampak terabai langsung. Dia mampu menguruskannya!

Berbalik kepada cerita saya tadi…

Ini pengalaman pertama saya handle rumah secara keseluruhannya. Dari hal kemas rumah sehinggalah hal anak-anaknya terutama yang si bongsu itu. Maklumlah, kecil lagi, bongsu pulak tu.. Dan anak-anak kecil of course lah suka bermain kan. Dah nama pun budak-budak. Dalam masa sehari, entah berapa kali saya rasa saya lap meja kat dapur tu, entah berapa kali saya masuk bilik yang sama, kemas barang permainan dan simpan semula dalam bekas, entah berapa kali juga saya betulkan bed sheet dan quilt di dalam bedrooms. Mana tidaknya, sudah lap meja kat dapur tu, tiba-tiba anak-anaknya datang bawa susu, air atau makanan dan diletakkan di atas meja, buat sepah sikit, lalu meninggalkan kesan di atas meja tu. Jadi kena la lap semula. Sudah masukkan toys ke dalam bekas, tiba-tiba anaknya yang kecil itu main lagi, sepah lagi. Jadi lepas dia main tu kenalah kemas semula. Dah kemas, few minutes or hours later, dia main lagi. Kena kemas lagi. Sudah tegangkan cadar dan quilt di semua bilik, bila masuk bilik-bilik tu sekali lagi, kedut-kedut balik cadar tu. Entah berapa kali saya lakukan benda yang sama, but truly, saya sangat terhibur. Tersenyum saya melihat gelagat mereka ini. Saya tidak mahu merungut, juga tidak mahu marah, juga tidak mahu geram. Saya mengambil pendekatan untuk relax, senyum, tenang dan terhibur dengan mereka. Tapi kenapa saya memilih untuk react sebegini?

Saya ingin mengambil satu contoh kisah yang pernah diceritakan oleh Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman dalam bukunya yang bertajuk Berfikir Gaya Alfateh. Cuba bandingkan antara dua keadaan ini.

Peristiwa pertama:

Kita sedang mengambil sarapan pagi bersama keluarga. Tiba-tiba, anak perempuan kita berusia 6 tahun menumpahkan kopi ke atas baju kemeja kita. Kita sememangnya tidak mampu mengawal apa yang baru sahaja terjadi. Tapi apa yang berlaku kemudiannya, ditentukan sendiri oleh cara reaksi kita. Kita mungkin marah. Dengan suara keras kita memarahi anak kerana menumpahkan kopi hitam pekat ke kemeja rasmi kita. Kemudian, anak menangis teresak-esak. Selepas memarahinya, kita pula pergi mengkritik isteri kita kerana meletakkan cawan kopi terlalu hampir dengan tepi meja. Akhirnya perang mulut berlaku. Kemudian anda pergi menukar pakaian. Selepas menukarnya, kita kembali dan mendapati anak kita terus menangis dan tidak mampu menghabiskan sarapannya. Anak kita ketinggalan bas sekolah kerana lewat menghabiskan sarapannya. Isteri kita pula bergegas ke pejabatnya kerana masanya juga terlewat. Kita meluru ke kereta dan membawa anak ke sekolah. Disebabkan lewat, kita memandu 140km sejam dan melebihi had laju. Selepas 15 minit terlewat dan menerima surat saman polis RM150, kita pun tiba di sekolah. Anak kita terus meluru ke kelas tanpa sempat mengucup tangan kita. Selepas tiba di pejabat 20 minit lewat, baru kita sedari kita tertinggal beg pejabat. Hari kita pada hari itu bermula dengan malang. Nampaknya, keadaan di pejabat juga akan terus menjadi lebih buruk. Kita hanya mampu mengharapkan supaya dapat balik ke rumah segera. Setibanya di rumah, kita mendapati hubungan kita dengan isteri dan anak sedikit terjejas dan renggang. Mengapa ini semua terjadi? Jawapannya, kerana reaksi yang kita lakukan hanya beberapa minit sahaja pagi tadi.

Sekarang, mari kita saksikan bagaimana benarnya kata-kata pepatah, permulaan sering kali menentukan pengakhiran. Mengapa kita memilih memulakan hari dengan begitu buruk? Kita tidak dapat mengawal apa yang dilakukan oleh anak dan air kopi itu. Namun reaksi kita yang tidak sampai 5 saat itu menyebabkan seluruh hari kita sangat malang. Berikut adalah apa yang sepatutnya berlaku kepada kita.

Kopi tumpah ke baju kita. Anak kita mula menangis teresak-esak ketakutan. Dengan penuh kasih sayang kita berkata, “Tidak mengapa, sayang. Kamu hanya perlu berhati-hati pada masa akan datang”. Kita mengelap tumpahan itu dengan tuala dan kemudian pergi menukar baju dengan tenang. Kemudian kita mengambil beg pejabat, turun ke bawah semula, lantas mendapati anak kita kembali tenang dan selamat menaiki bas sekolahnya. Isteri kita juga pergi ke pejabat pada masanya tanpa menyedari kita sudah menyalin baju lain. Kita pula tiba 10 minit lebih awal di pejabat dan menyapa dengan penuh keceriaan staf di pejabat.

Dua senario berbeza. Keduanya bermula dengan kemalangan yang sama. Tapi, kesudahan yang berbeza. Mengapa? Ini kerana reaksi kita adalah penentunya!

 

Maka, atas prinsip reaksi positif yang saya pegang inilah, saya react sebegitu.

Bukan sahaja untuk diaplikasikan kepada anak-anak apabila kita berkeluarga, tapi saya bercerita ini atas tujuan ingin mengajak kepada semua agar sebarkan aura positif itu bermula sekarang. Bermula dari kita! Bermula di rumah! Bermula di rumah kongsi bersama kawan-kawan!

Setiap hari kita akan menghadapi pelbagai karenah manusia serta pelbagai ujian dan dugaan yang Allah akan beri pada kita. Andai kata kita memberi respon yang negatif disebabkan emosi dan keegoan kita yang menebal itu, kita hanya merugikan diri sendiri dan mengeruhkan lagi keadaan.

“Sungguh menghairankan perihal orang Mukmin itu. Sesungguhnya seluruh perkara untuknya adalah baik untuknya. Dan hal itu tidak dimiliki oleh siapa pun kecuali orang Mukmin. Jika diberi nikmat, dia bersyukur. Dan apabila ditimpa mudarat, dia bersabar. Maka, itu menjadi baik untuknya”.

“Aku berada di atas sangkaan para hambaKu. Sekiranya mereka bersangka baik padaKu, maka akan ditunaikan (sangkaan itu). Jikalau mereka bersangka buruk, maka turut akan ditunaikan sangkaan itu”.

Justeru, mengapa kita perlu bersikap negatif. Sekiranya seseorang berkata sesuatu yang negatif pada kita ataupun ada dugaan berat yang menimpa kita, jangan cepat melatah dan panas baran. Jangan biarkan aura negatif atau emosi yang tidak baik itu menguasai diri kita. Cubalah kita menjadi orang yang tenang. Tatkala ada dua pihak yang sedang bertengkar pun, jadilah kita orang yang menenangkan antara dua pihak. Tatkala kita disakiti pun, jadilah orang yang tenang. Wujudkan aura positif itu agar disekeliling kita dipengaruhi dengan benda-benda yang positif dan baik. Setiap masalah itu ada solusinya. Dan kita orang Mukmin, kita ada Allah. Allah lah sebaik-baik penolong.

Jika di saat ini, berhadapan dengan keluarga atau rakan yang terdekat pun kita tidak mampu react secara positif, bagaimana kelak nanti kita berkeluarga dan dalam masa yang sama kita mempunyai tanggungjawab sebagai seorang anak, suami/isteri, ayah/ibu, kerjaya, pelajar dan sebagainya. Bagaimana pula nanti kita nak berhadapan dengan masyarakat yang berskala lebih besar?

Sebarkan aura positifmu, anda akan menjadi manusia paling bahagia!

 

Anis Amelia Isa

Flinders University

 

 

Share

About Penerangan ISMA Australia