Cuba Tanya Diri, APA YANG KITA CINTA?

By on January 4, 2017

Atas kerana jihad dan dakwah, Abdurrahman bin Auf langsung tidak segan mengeluarkan hartanya untuk Islam sehinggakan beliau pernah menyerahkan dua ratus uqiyah emas semasa Perang Tabuk. Lalu Umar Al-Khattab berbisik kepada Rasulullah, “Sepertinya Abdurrahman berdosa kerana tidak meninggalkan wang belanja sedikit pun untuk keluarganya”. Rasulullah pun bertanya kepada Abdurrahman, “Apakah kau meninggalkan wang belanja untuk keluargamu?” Jawab Abdurrahman, “Ya, mereka kutinggalkan lebih banyak dan lebih baik daripada yang kusumbangkan”. “Berapa?” Tanya Rasulullah. Maka Abdurrahman menjawab “Sebanyak rezeki, kebaikan, dan pahala yang dijanjikan Allah.”

Atas kerana jihad dan dakwah, kisah teladan dari dua orang Nabi anak beranak yang sanggup berkorban apa sahajawalaupun dengan nyawa kerana kasih sayang dan patuh terhadap perintahNya dirakamkan oleh Allah SWT. Itulah Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Atas kerana jihad dan dakwah, Saidatina Khadijah mengorbankan harta benda dan keselesaan hidupnya untuk bersama-sama baginda Rasulullah s.a.w. dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT.

Atas kerana jihad dan dakwah, Asma’ dengan penuh keletihan sarat mengandung sanggup mendaki bukit untuk menghantar bekalan dalam keadaan para pemuda Quraisy tangkas memburu Rasulullah s.a.w dan bapanya Abu Bakar yang sedang bersembunyi dalam peristiwa hijrah.

Atas kerana jihad dakwah, Mus’ab bin Umayr teguh meninggalkan semua kesenangan yang ada pada dirinya termasuklah keluarga dan harta sedangkan beliau merupakan anak kesayangan ibunya dan merupakan seorang pemuda yang sangat kaya. Dalam Asad al-Ghabah, Imam Ibnul Atsir mengatakan, “Mus’ab adalah seorang pemuda yang tampan dan rapi penampilannya. Kedua orang tuanya sangat menyayanginya. Ibunya adalah seorang wanita yang sangat kaya. Sandal Mus’ab adalah sandal al-Hadrami, pakaiannya merupakan pakaian yang terbaik, dan dia adalah orang Mekah yang paling harum sehingga semerbak aroma minyak wanginya meninggalkan jejak di jalan yang beliau lewati.” (al-Jabiri, 2014:19).

Cuba tanya diri, “Adakah kita mampu untuk menjadi seperti Abdurrahman bin Auf yang sanggup mengorbankan harta sebanyak itu dan dengan penuh bertawakkal kita menjawab kita meninggalkan sebanyak rezeki, kebaikan dan pahala yang dijanjikan Allah untuk keluarga kita?”

Cuba tanya diri, “Adakah kita sanggup menyembelih anak kita tatkala diperintahkan oleh Allah SWT seperti yang ingin dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. kepada Nabi Ismail a.s?”

Cuba tanya diri, “Sudikah kita untuk menjadi seperti Saidatina Khadijah r.a. yang setia bersama dengan pasangannya yang hidup matinya kerana dakwah di mana kita tahu baginda Rasulullah s.a.w bukanlah diciptakan untuk sentiasa berada dekat dengan isterinya sepanjang masa?

Cuba tanya diri, “Adakah kita dapat mencontohi peribadi Asma’ yang tabah dan kuat mentalnya serta dengan sepenuh kudratnya mendaki bukit dalam keadaan seperti itu?”

Cuba tanya diri, “Tegarkah kita untuk berprinsip seperti Mus’ab bin Umayr meninggalkan segala jenis bentuk kesenangan dunia semata-mata untuk akhirat?”

Secara asasnya, jika kita perhatikan dengan teliti dan cermat, pejuang Islam ini akan sanggup mengorbankan apa sahaja demi perjuangan Islam. Pejuang Islam sifatnya akan sanggup menjual dunia untuk membeli akhirat, hatta mereka berdepan dengan cabaran dan ujian yang sangat genting.

“Anta ma’a man ahbabta”
Kita bersama dengan apa yang kita cintai.

Cuba tanya diri, apa yang kita cinta?
Kerana,
Apa yang kita cintai akan menentukan apa yang akan terjadi pada kita di hari kebangkitan nanti.

Anas bin Malik ra mengisahkan, “Ada seseorang yang bertanya kepada Nabi saw tentang hari kiamat, “Bilakah kiamat datang?” Nabi saw menjawab, “Apa yang telah engkau persiapkan untuk menghadapinya?” Orang itu menjawab, “Wahai Rasulullah, aku belum mempersiapkan solat dan puasa yang banyak, hanya saja aku mencintai Allah dan Rasul-Nya saw” Maka Rasulullah saw bersabda, “Seseorang (di hari kiamat) akan bersama orang yang dicintainya, dan engkau akan bersama dengan yang engkau cintai.” Anas pun berkata, “Kami tidak lebih bahagia daripada mendengarkan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, ‘Engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’” Anas kembali berkata, “Aku mencintai Nabi saw, Abu Bakar dan Umar, maka aku berharap akan bersama mereka (di harikiamat), dengan cintaku ini kepada mereka, meskipun aku sendiri belum (boleh) beramal sebanyak amalan mereka.”

MasyaAllah, kita akan bersama dengan apa yang kita cintai di akhirat nanti!
Mari kita perbetulkan diri dan muhasabah.. Betul ke kita sayang sungguh pada Rasulullah s.a.w? Betul ke kita cinta sungguh pada Allah SWT? Pastikah kita bahawa hati kita tidak terikat dengan kesenangan dan kenikmatan dunia ini? Allahu….“Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamudan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barangsiapa yang membuat demikian maka mereka itulahorang-orang yang rugi.”
(63:9)

“Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaanterhadap apa-apa yang diingini(syahwat), yakni wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. itulah kesenagan hidup di dunia. dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik(jannah). (3:14)

Dalam kita mengecapi nikmat dunia seperti keluarga dan harta, berpada-padalah dalam mencintai nikmat-nikmat ini. Boleh jadi nikmat-nikmat ini akan menarik dan menghumban kita ke dalam api neraka. Ketahuilah bahawa kenikmatan ini boleh menyebabkan kita terjerumus ke lembah neraka apabila nikmat-nikmat yang diperolehi ini membawa kita jauh dari Tuhan.

“Dan ingatlah orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu pada hari dibakar emas perak dan harta benda itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka sambil dikatakan kepada mereka, “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah azab dari apa yang kamu simpan itu.” (9:34-35)

Al-Quran telah sedia menceritakan bagaimana dahsyatnya azab itu sehinggakan harta yang kita miliki ini boleh menjadi bahan bakar di akhirat kelak. Justeru, berpada-padalah dalam kita mencintai keluarga dan harta yang kita miliki. Jangan sampai cinta ini mengatasi cinta kita kepada Allah SWT dan Rasulullah s.a.w. Jangan sampai nikmat dunia ini menyebabkan kita mengabaikan tujuan utama manusia diciptakan iaitu menjadi abid(hamba) dan khalifah di muka bumi ini. Sebarkanlah Islam, serulah manusia kepada kebenaran, utamakanlah Allah dalam setiap hal, bawalah keluarga dan harta itu kepada Allah. Segala apa yang kita peroleh hari ini, pastikan kita menggunakannya dengan betul berpandukan AL-Quran dan Sunnah serta bermatlamatkan Allah SWT dan Islam. InsyaAllah, kita akan selamat dunia dan akhirat. Tetapi apabila kita bermatlamatkan sesuatu perkara yang bersifat sementara dan akan lenyap, maka sekadar itu sahajalah kita akan dapat dan belum tentu kita akan selamat di akhirat sana. Allah itu sifatnya kekal. Islam itu sifatnya baik dan sempurna. Jadi, apabila matlamat kita jelas iaitu Allah semata-mata, umpamanya seluruh dan seisi dunia ini kita yang punya dan kita tidak akan kecewa serta kita akan selamat dunia dan akhirat. Inilah cinta yang sebenar.

Bila kita dapat Allah, kita akan dapat segala-galanya. Segala-galanya.

Anis Amelia Isa
Ketua Beliawanis, ISMA South Australia
Share

About Penerangan ISMA Australia