Mengkaji Kota Baghdad di bawah Pemerintahan Kerajaan Abbasiah – Bahagian 1

By on January 5, 2017

Kerajaan Abbasiah atau lebih dikenali sebagai Abbasid Caliphate oleh dunia luar merupakan kerajaan Islam yang ketiga selepas Khulafa Ar-Rashidin dan Kerajaan Umaiyyah. Fokus utama kajian ini adalah kepentingan Darul Hikmah atau Bayt al-Hikma kepada ummah pada waktu itu dan menjejaki lokasi Darul Hikmah. Ibu negara atau kawasan pusat bagi pengembangan ilmu adalah Baghdad yang juga merupakan tempat pemerintahan kerajaan Abbasiah. Bandar Baghdad menurut al-Jahiz merupakan bandar yang sangat indah dan terkenal dengan the round city of Baghdad. Ibu negara Kerajaan Abbasiah berubah-ubah mengikut pemerintah dan keadaan. Oleh itu, kajian ini merumus kepada latar masa 786-833 M. Skematik dan topografi kota Baghdad adalah seperti yang dilampirkan.

Darul Hikmah atau Bayt al-Hikma merupakan hasil buah fikiran khalifah Harun al-Rashid yang memerintah pada 786-809 M dan mencapai kemuncak sewaktu dibawah pemerintahan anaknya, khalifah al-Ma’mun yang memerintah pada 813-833 M. Namun, pelopor sebenar bagi perkembangan ilmu adalah khalifah Abbasiah yang kedua, al-Mansur yang sangat berminat dengan sains dan falsafah. Kesemua ini hanya mampu dicapai setelah ketiadaan ketegangan di antara negeri-negeri dibawah kerajaaan Abbasiah. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa pergeseran kecil di antara amir-amir. Selain daripada itu, ketiadaan ancaman luar bermaksud ilmuwan islam dapat mengembara keluar dari kawasan mereka untuk menimba ilmu. Di sini, penulis suka mengingatkan bahawa permulaan pembentukan kerajaan Abbasiah amat rumit kerana dipenuhi dengan perang saudara, campur tangan Assassins dari aliran Ismailism dan kemasukan pengaruh Turki.

Antara fungsi utama Darul Hikmah adalah menterjemah karya-karya yang terdiri dari aliran sains dan juga kemanusiaan. Karya-karya yang berasal dari bahasa Greek, Syriac, India dan Parsi ini diterjemah oleh pakar-pakar penterjemah seperti Thabit ibn Qurrah dan Hunayn ibn Ishaq kepada bahasa Arab dan dibawa balik ke Baghdad untuk dikumpulkan. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada yang mengembara ke Iran, India dan Constantinople demi mencari buku-buku yang berharga bagi proses penterjemahan, penyimpanan dan pembelajaran. Sekaligus, memberi gambaran bagaimana nilai ilmu kepada ilmuwan dan juga maysarakat empayar Abbasiah.

Ilmu-ilmu seperti sains dicedok dari tamadun seperti Yunani dan digunakan sebagai salah satu batu loncatan untuk membangunkan aliran sains dari perspektif islam yang sesuai dengan pemikiran seorang muslim. Bidang ini dan aliran pemikiran kemanusian, falsafah berkembang pesat sewaktu pemerintahan kerajaan Abbasiah dimana khalifah-khalifah sendiri turut serta dalam penyelidikan dan aktiviti merekod manuskrip-manuskrip ini. Mereka juga turut menterjemah karya-karya dari peradaban kuno seperti Assyria (Assyrians) dan Mesir (Egyptians).
Hasilnya, karya-karya seperti yang dikarangkan oleh ibn Sina (The Canon of Medicine) dan ibn al-Biruni (The Remaining Signs of Past Centuries) kelak menjadi rujukan bagi tamadun barat sewaktu mereka merangkak keluar dari Zaman Kegelapan. Dengan ekonomi kerajaan Abbasiah yang kukuh, aktiviti-aktiviti pengumpulan karya bergiat rancak. Hal ini disokong dengan aktiviti-aktiviti perdagangan yang berlangsung di perlabuhan-perlabuhan kawasan Afrika Utara yang dikawal oleh tentera laut Abbasiah. Gambaran kecil perdagangan Kerajaan Abbasiah pada waktu permulaan awal 750 M adalah berbentuk emas dari lombong-lombong Wadi al-Allaki berdekatan Aswan di Nubia.

Sejak zaman Rasulullah lagi, masjid merupakan tempat tumpuan utama masyarakat. Dari perbincangan agama hinggalah ke majlis perbincangan taktik ketenteraan, masjid digunakan sepenuhnya oleh masyarakat Islam. Sewaktu pemerintahan khalifah al-Ma’mun, perpustakaan dibina bersebelahan dan dalam beberapa kes, bersambungan dengan masjid. Selain itu, puluhan perpustakaan milik persendirian dan kerajaan didirikan seperti Dar al-‘Ilm, Dar al-Hadith , Bayt al-Kutub dan Khizanah al-Hikma. Pada zaman kemuncaknya, di Baghdad sahaja, dianggarkan terdapat 36 perpustakaan besar yang menyimpan karya-karya agung dan ini termasuk Darul Hikmah.
Sejarawan terkenal, al-Ya’qubi menceritakan bahawa Baghdad merupakan pusat dunia dan ibu negara bagi pemerintahan empayar Islam. Menurutnya lagi, Baghdad juga merupakan pusat bagi saintis, ahli astronomi, penyajak, ahli matematik, sejarawan, dan ahli falsafah. Menariknya, sebuah balai cerap (observatory) dibina bagi ahli astronomi mengkaji pergerakan bulan dan matahari. Hasil kajian mereka digunakan dalam menentukan kalendar Islam dan juga bagi pembinaan bangunan. Malang sekali, tiada rekod dijumpai penulis yang dapat mengenal pasti di manakah lokasi awal Darul Hikmah atas beberapa faktor. Namun, terdapat beberapa petunjuk yang mampu mendedahkan lokasi sebenar Darul Hikmah. Pada awalnya, Darul Hikmah merupakan satu pergerakan penterjemahan sebelum mereka membina sebuah pusat pengumpulan ilmu. Pada pendapat penulis, Darul Hikmah ini dapat setaraf jika tidak melebihi Royal Society di United Kingdom.

Lokasi-lokasi awal Darul Hikmah semasa di bawah Pemerintahan Harun al-Rasyid menurut dapatan kajian penulis. (Merujuk kepada peta Kota Baghdad dari buku karangan Le Strange)

1) Berdekatan As-Shammasiyar (Samsiya, Eastern Baghdad berdekatan Rusafah), di timur Baghdad. Ini kerana terdapat rekod yang menunjukan kompleks Darul Hikmah bersambung dengan balai cerap di As-Shammasiyya. Kedudukannya yang strategik dan berdekatan dengan sungai Tigris memudahkan kemasukan karya-karya dari jalan laut.

2) Di dalam Istana Khalifah (Kediaman Harun al-Rashid dan diberi nama The Palace of Golden Gate, terletak di dalam The Round City of Baghdad). Memandangkan kompleks istana khalifah digunakan bagi kerja-kerja terjemahan dan pemprosesan karya, terdapat kemungkinan yang Darul Hikmah terletak di dalam kawasan istana Khalifah. Ini kerana karya-karya yang berharga akan disimpan dan berada dibawah seliaan penterjemah yang dilantik oleh Khalifah. Penulis yakin, berdasarkan bukti-bukti pemetaan lama kota Baghdad, ini adalah tapak awal bagi Darul Hikmah. Namun, ini hanya pendapat penulis.

3) The Round City of Baghdad. Kota penuh simetri ini adalah idea khalifah al-Mansur dikelilingi dengan tembok setinggi 30 meter dan menjadi kediaman rasmi bagi khalifah. Ditengah-tengah kota ini terdapat masjid yang dapat dilihat dari sekitar Baghdad. Terdapat beberapa buah perpustakaan yang bersambung dengan masjid ini dan salah satu darinya adalah Darul Hikmah.

Natijahnya, segala peninggalan asal kota Baghdad dan Darul Hikmah telah lenyap dari muka bumi. Namun, masih terdapat lagi bangunan dibaik pulih seperti Istana Abbasid. Penulis berpendapat, banyak lagi peninggalan-peninggalan kerajaan Abbasiah yang mampu dikaji jika perang Teluk tidak memusnahkannya. Walau banyak peninggalan kota Baghdad sekalipun ia tidak dapat menggambarkan betapa hebatnya empayar Islam sewaktu itu dibawah pemerintahan kerajaan Abbasiah.

Perkembangan ilmu dan peradaban Islam berada di kemuncak. Empayar Islam telah masuk ke zaman keemasan.
Dan kemudian, bencana datang…(Bersambung)

Rujukan Kajian (Buku):

1) J.J. Saunders, A History of Medieval Islam (2002)
2) Ibn al-Athiir, al-Kamil fi’l-Tarikh, (Terjemahan oleh D.S. Richard)
3) Le Strange, Baghdad during The Abbasid Caliphate (1901)
4) Monique Bernards, Abbasid Studies IV (2010 revisited)
5) Beberapa ulasan Kota Baghdad dari al-Ya’qubi

Irfan K Alias
University of New South Wales

Share

About Penerangan ISMA Australia