CERPEN: Belum Terlambat

By on January 8, 2017

“Aiman! Aiman! Woi Aimannn!” jerit Imran sekuat hati memanggil rakan sebiliknya yang terus keluar dan menghempas pintu rumah.

“Eh, budak ni. Ikutkan hati aku ni, memang dah lama aku sepak terajang. Stress aku duduk rumah ni!” rungut Imran sambil mencampakkan helaian kertas ke atas meja.

Ridwan yang sedang tidur lena di dalam bilik terjaga kerana terkejut mendengar pekikan suara bak halilintar membelah bumi. Cepat-cepat dia keluar dari bilik.

“Kau dah kenapa Imran? Jerit macam orang kena rasuk.”

“Aishhh. Aiman tu lah. Aku geram betullah dengan dia. Eh, kau tak perasan ke dia dah nampak lain sekarang. Dulu kalau kita nak ajak dia buat apa-apa, dia ikut je. Pergi karaoke,melepak, date dengan awek, main game. Dia okay je kan dulu? Kenapa, semenjak dua menjak ni dia nampak lain weh. Tak macam Aiman yang dulu,” Imran meluahkan perasaannya kepada Ridwan.

“Hmm, agaklah… Kadang-kadang menyampah gak, susah nak ajak gi mana-mana sekarang ni. Dah lah, aku nak sambung tidur. Aku ngantuk gila ni. Penat tahu tak? Kau tak payah nak jerit-jerit dah. Mengganggu!” Ridwan meluru masuk ke dalam biliknya.

Aiman melemparkan pandangannya ke arah kawasan pantai yang didatangi beberapa buah keluarga yang sedang berkelah. Cemburu melihat kegembiraan dan kebahagiaan yang dipertontonkan di hadapannya itu. Semangat Aiman jatuh merundum. Tiada lagi gelak tawa dan senyum riang dari seorang insan yang bernama Aiman. Hanya lesu dan suram. Sesekali air matanya berguguran. Rindu pada arwah bapanya yang baru sahaja meninggal dunia 5 hari yang lepas. Ibunya pula memang sudah lama meninggalkannya.
Memori lama menyinggah fikirannya. Dia teringat dirinya yang dulu merupakan seorang yang sangat panas baran. Dia selalu memarahi bapanya kerana tidak mampu menyediakan kemewahan untuknya. Dia berasa sakit hati dan cemburu melihat kawan-kawannya yang mampu memiliki barang-barang mewah, sedangkan dia hanya tinggal di sebuah rumah kayu yang terletak di hujung kampung. Ayahnya tempang, tidak mampu melakukan kerja-kerja berat. Duit pendapatan pun sekadar cukup untuk membayar yuran sekolah dan makanan harian di rumah. Banyak pengorbanan yang dilakukan oleh ayahnya untuk Aiman. Sungguhpun ayahnya mengalami kesukaran hidup, namun tiada sedikit pun rasa belas kasihan dan simpati dalam hati Aiman. Malah, dimarahi lagi ayahnya itu.

“Ayah tak payahlah nak bawa Aiman pergi sekolah guna motor ayah tu! Buruk! Buat malu Aiman je depan kawan-kawan nanti.”

“Pemalaslah ayah ni! Asyik baring je. Orang lain sakit juga, tapi boleh lagi buat kerja. Ayah ni tak boleh harap langsung!”

“Ayah boleh keluar tak dari bilik Aiman? Menyemaklah. Jangan ganggu Aiman. Aiman nak study ni. Keluar!”

Aiman teringat tengkingan-tengkingan yang pernah dilafazkan kepada orang tuanya, sehinggalah terjadinya kemuncak pergaduhan antara mereka.

“Aiman! Mana kamu dapat handphone canggih macam ni? Mana kamu dapat duit sebanyak ni?” Ayahnya melemparkan handphone dan sejumlah duit yang dijumpai di bawah bantal dalam bilik Aiman.

“Ayah! Kenapa berani ceroboh bilik Aiman? Ayah keluar sekarang!” segera Aiman mengarah kerana geram dengan tindakan ayahnya yang sudah tua itu.

“Kau mencuri ye Aiman? Kurang ajar!”

Sepantas kilat pipi Aiman ditampar.
Berdesing telinga Aiman apabila mendapat tamparan yang cukup kuat dari ayahnya. Dengan penuh rasa marah, dia menolak ayahnya lalu ayahnya jatuh ke atas lantai. Sejak peristiwa itu, Aiman lari dari rumah. Dia meninggalkan ayahnya seorang diri di kampung. Membawa dirinya entah ke mana sehinggalah akhirnya dia terserempak dengan Imran dan Ridwan yang akhirnya menjadi rakan serumahnya. Bermula dengan perkenalan inilah, Aiman mula terjebak dengan gejala-gejala sosial yang lebih kronik akibat kesempitan hidup yang dilalui olehnya. Dia belajar untuk meragut, mencuri barang-barang di kedai, menceroboh dewan makan di salah sebuah asrama dan mula belajar mengedar ganja kepada pelajar-pelajar di asrama tersebut. Hasil kemewahan yang diperolehi itulah membuatkan dia mampu berjoli bersama-sama rakan-rakannya. Sesekali pernah sahaja terlintas di benak fikirannya akan dosa-dosa yang dilakukannya. Dia sedar perbuatan itu dosa tetapi tidak mampu bangkit untuk melawan nafsunya serta mengubah dirinya. Ada juga dia teringat pada bapanya yang ditinggalkan di kampung. Namun, keegoan yang mengawal dirinya membantutkan keinginannya untuk balik semula ke kampung. Sejak terjebak dalam kegiatan-kegiatan ini juga, sudah lama dia tidak solat dan membaca al-Quran. Hilang segala moral dan akhlak yang pernah diajar oleh kedua-dua ibu bapanya dulu. Sehinggalah suatu hari Aiman terserempak dengan orang kampungnya di sebuah stesen bas berdekatan rumahnya.

“Assalamualaikum. Ini Aiman, anak Pak Mat kan? Ya Allah, mana kamu menghilang selama ini? Ramai orang kampung mencari kamu. Ayah kamu sudah meninggal dunia. Dia kemalangan.”

Aiman terkejut. Dia malu kerana menyedari dirinya yang tidak bertanggungjawab, terus melarikan diri daripada orang kampungnya itu. Sejak dia mendapat pengkhabaran ini, Aiman mula menyendiri dan sering terperap di dalam bilik. Menyesal sungguh. Menyesal atas kelakuannya terhadap arwah bapanya. Sungguh tidak diduga, rupanya saat dia keluar dari rumah, itu merupakan kali terakhir dia melihat arwah bapanya. Dia merasakan hidupnya sudah tidak bermakna. Dia terlambat untuk meminta ampun daripada bapanya. Hidupnya dirasakan sesak. Teramat sesak. Dia merasakan seperti tidak mempunyai apa-apa lagi dalam hidup ini. Dia mula untuk berhenti melakukan kegiatan-kegiatan yang dilakukannya. Tetapi, dia sering diejek oleh rakan-rakan serumahnya. Dia mula diperlekehkan kerana tidak mahu ikut bersama menyertai rakan-rakannya. Sedang asyik Aiman perhatikan insan-insan yang tampak bahagia di pantai itu, tiba-tiba dia disapa.

“Assalamualaikum. Sorry kalau abang ganggu dik. Tapi, dari tadi abang perhatikan, adik nampak macam ada masalah. Adik okay?”

Aiman memandang seorang lelaki berkopiah di sebelahnya yang kelihatan seperti umur 20-an. Aiman diam membisu.

“Kalau begitu, tidak mengapalah. Tetapi kalau adik ada masalah, abang sudi bantu. Ini nombor telefon,” lelaki itu menghulurkan kertas yang ditulis nombor telefonnya.

“Okayla, azan maghrib dah berkumandang. Abang gerak dulu ya.” sambungnya lagi sambil memulakan langkah ke masjid.

“Bang!” Jeritan Aiman menghentikan langkah lelaki itu seketika.

“Saya nak ikut. Boleh?” pinta Aiman kepada lelaki itu.

Lelaki tersebut tersenyum sambil mengangguk.

Selesai menunaikan solat maghrib secara berjemaah, Aiman duduk seketika. Dalam hatinya, dia bersyukur kerana masih mampu untuk mengingati bacaan-bacaan dalam solat walaupun setelah sekian lama dia meninggalkan kewajipan ini. Dia memerhatikan Abang Asyraf yang sedang khusyuk berdoa.

“Bestnya dapat jadi macam Abang Asyraf. Nampak tenang dan bahagia, seperti tiada masalah langsung. Tidak seperti aku ni.” Aiman bermonolog, memikirkan nasib hidupnya. Sesekali dia memerhatikan sekeliling masjid itu. Tanpa disedari, Abang Asyraf sudah pun berada di sebelahnya.

“Asyik termenung je Aiman ni. Fikir apa?” tanya Abang Asyraf.
“Entahlah bang, banyak masalah. Jealous tengok orang macam abang – baik, nampak macam tiada masalah langsung. Tenang dan bahagia je saya tengok abang.” Aiman mula meluahkan perasaannya. Abang Asyraf tersenyum mendengar kata-kata Aiman.

“Aiman… Manusia mana yang tiada masalah. Semua orang ada masalah dan ujian hidup masing-masing. Dunia ni kan memang tempat Allah uji. Tapi, satu perkara yang Aiman perlu ingat. Seberat mana pun ujian yang Allah beri, itu tandanya Allah sayang pada kita. Allah rindu nak dengar rintihan kita sebab kita dah lama sangat menjauhkan diri dariNya. Allah nak beritahu yang Dia sangat menyayangi kita. Dan semua masalah yang ada di dunia ini ada solusinya. Tinggal kita je untuk mencari jalan penyelesaian tersebut. Yang Aiman nampak semua orang bahagia tu, bukan sebab mereka tiada masalah. Tapi mereka yakin dengan Allah yang Maha Memberi Pertolongan. Kita kan ada Allah. Bila kita tahu dan yakin yang kita ada Allah, kita akan berani untuk berdepan dengan masalah itu, bukan dengan cara berputus asa mahupun melarikan diri,” Abang Asyraf menasihati Aiman sambil memegang bahu Aiman.

“Tapi bang…. Saya dah tiada mak ayah. Saya tak sempat pun nak minta maaf daripada bapa saya. Banyak dosa yang saya dah buat. Semuanya sudah terlambat. Masih ada ruang lagi ke Tuhan untuk terima saya?” Aiman mula menangis.

“Inna lillahi wa inna ilaihi ra’jiun” Abang Asyraf mula bertanyakan kisah kehidupan Aiman dan keluarga, lalu Aiman pun menceritakan segala-galanya.

“Beginilah, pada pendapat Abang, masih belum terlambat untuk Aiman menebus kesalahan Aiman. Pintu taubat masih terbuka luas buat hamba-hambaNya yang ingin bertaubat. Aiman, sejurus seseorang itu meninggal dunia, ada tiga perkara yang akan dibawa ke kubur. Pertama, sedekah. Kedua, ilmu yang bermanfaat dan yang ketiga, doa anak-anak soleh. Aiman bantulah arwah bapa Aiman dengan berusaha menjadi muslim yang baik serta anak yang soleh. Kembalilah kepada Allah, dekatkan dirimu dengan Tuhan, jalan terus, lari laju-laju tanpa menghiraukan apa jua halangan yang datang. Mana tahu suatu hari nanti semasa Aiman lari laju-laju menuju kepada Tuhan, tiba-tiba Aiman terjatuh. Terjatuh di syurga,” Abang Asyraf tersenyum – Aiman pula terharu mendengar nasihat serta dorongan yang diberikan kepadanya untuk berubah.

“Abang yakin arwah bapa Aiman sangat baik dan penyayang orangnya. Arwah pasti sudah mengampunkan kesilapan anaknya. Tentang rakan-rakan serumah Aiman itu, mungkin Aiman boleh bawa Abang Asyraf datang ke rumah Aiman. Teringin juga Abang nak kenal dengan Imran dan Ridwan. Dengan izin Allah, mereka pun boleh sedar dan kembali kepada Allah, seperti Aiman. Kita cuba dulu, nak?” Abang Asyraf menyatakan kesudiannya untuk membantu Aiman.

“Abang, Aiman nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab sudi bantu Aiman. Aiman tekad untuk berubah. Aiman harap Abang Asyraf akan terus bantu dan sokong Aiman sepanjang Aiman ingin berubah ni. Aiman takut kalau, Aiman nak cuba berseorangan. Aiman perlukan support system yang baik, yang boleh bantu Aiman untuk dekatkan lagi diri kepada Allah. Aiman ada dua nak minta tolong lagi daripada Abang Asyraf.” Ujar Aiman kepada lelaki yang baru sahaja dikenalinya beberapa jam yang lepas.
“Apa dia?” tanya Abang Asyraf meminta kepastian.

“Boleh tolong bawa Aiman balik kampung tak? Rindu. Aiman nak ambil barang-barang arwah ayah. Aiman terlalu rindu. Dengan, boleh ke, kalau Abang Asyraf carikan sekolah agama untuk Aiman? Masih belum terlambat lagikan untuk Aiman nak belajar agama, nak jadi orang soleh macam abang? Aiman nak jadi macam Abang Asyraf!”

“MasyaAllah, Allahuakbar. Boleh sangat tu Aiman!” Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Aiman dan Abang Asyraf.

Anis Amelia Isa
Ketua Beliawanis ISMA South Australia
Share

About Penerangan ISMA Australia