Aktivis ISMA Australia berbakti di Darul Insyirah

By on January 20, 2017

BANGI, 14 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Rombongan Kembara Musim Panas 2017 anjuran ISMA Australia hari ini mengerjakan khidmat masyarakat di Pusat Jagaan & Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah, Bangi. Rombongan tersebut telah diketuai oleh ketua program Kembara Musim Panas 2017, Syafiq Mazli.

Aktiviti khidmat masyarakat di Darul Insyirah ini dimulakan dengan sesi taklimat serta penerangan mengenai Darul Insyirah dan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU).

Seterusnya, para peserta terlibat dengan kerja-kerja gotong royong seperti membersihkan kebun herba, membersihkan tingkap-tingkap dan halaman rumah Darul Insyirah. Tidak lupa pula sesi beramah mesra bersama bonda-bonda (para penghuni) Darul Insyirah yang memberikan kegembiraan dan keceriaan kepada mereka selain melatih diri para peserta untuk lebih cinta pada umat.

Program diakhiri dengan sesi fotografi serta penyerahan sumbangan dan cenderahati kepada pihak Darul Insyirah. Pihak ISMA Australia telah menyerahkan jumlah sumbangan sebanyak RM 480 termasuk sumbangan barang-barang keperluan dapur dan barang keperluan asasi yang lain.

Pihak Darul Insyirah sangat memerlukan bentuk bantuan dan sumbangan untuk membangunkan dan mengembangkan pusat jagaan tersebut.  Tambahan pula, Darul Insyirah dalam perancangan untuk membina kompleks Darul Insyirah yang memerlukan dana yang banyak.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank: 5628 3463 1731 (PERTUBUHAN KEBAJIKAN DARUL INSYIRAH).

Share

About Penerangan ISMA Australia