Istiqamah Dakwah, Keluarga Muslim Memacu Perjuangan

By on January 20, 2017

MELBOURNE, Januari – Bumi Wurundjeri kehilangan dua orang aktivis dakwah yang menjadi tulang belakang kepada ISMA Australia Victoria (ISMA-Vic). Aiman bin Badrulhisham dan isteri, saudari Siti Khairun Nisa binti Tajudin bersama mujahidah kecil Nur Afaa binti Aiman pulang ke tanah air selepas dua tahun menuntut ilmu dan mencorakkan dakwah ISMA-Vic.

Aiman merupakan lepasan Universiti Deakin di Geelong dalam lulusan Sarjana Arkitek. Selain disibukkan dengan pengajian di universiti, Aiman juga bergiat aktif dalam aktivisme pelajar di Victoria. Beliau merupakan Ketua Media ISMA-Vic sesi 2015/2016. Pasangan beliau iaitu saudari Khairun Nisa merupakan Penolong Ketua Biro Tarbiyah ISMA-Vic sesi 2015/2016. Mereka baru sahaja dikurniakan cahaya mata pertama sebulan sebelum kepulangan ke tanah air.

Mereka boleh diiktiraf sebagai pasangan dakwah contoh di Australia. Sepanjang keberadaan Aiman di Australia telah melakukan perkara luar biasa dengan melakukan empat perkerjaan. Iaitu belajar, berdakwah, bekerja sambilan dan menjadi ketua keluarga. Begitu juga Khairun Nisa yang banyak menghabiskan masa dalam dunia dakwah meskipun sedang sarat mengandung. Ditambah lagi jarak rumah mereka hampir sejam berkereta dari medan dakwah di Melbourne. Namun itu tidak dijadikan alasan untuk duduk diam bersenang di rumah. Kesungguhan mereka ini sudah tentu sukar dilaksanakan oleh orang biasa melainkan orang yang memahami perlu untuk kita sedar bagi menyelamatkan umat Islam yang hanyut dalam penyakit dunia.

Antara pesanan mereka ialah sebagai pelajar kita mempunyai banyak masa lapang dan rugi sekiranya dihabiskan dengan menonton perkara lara dan sibuk berseronok tanpa berfikir keadaan ummat. Masa belajar ialah peluang menimba ilmu dan menyibukkan diri dalam aktivisme pelajar bagi melengkapan diri. Ikhwah dan akhwat juga perlu untuk terus istiqamah dalam medan dakwah. Jadikan halangan sebagai pemangkin untuk terus perbanyakkan usaha

Selain daripada itu mereka turut menekankan kepentingan pembinaan keluarga muslim yang menjadi faktor penyumbang terbesar kepada dakwah. Hal ini kerana keluarga muslim bukan sahaja menjadi sokongan antara satu sama lain tapi turut menjadi contoh kepada masyarakat umum dan membina suasana yang soleh dalam masyarakat walaupun jauh di bumi sekular.

ISMA-Vic mengucapkan terima kasih atas jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh saudara Aiman dan saudari Khairun Nisa. Semoga Allah mempermudahkan perjalanan kehidupan di Malaysia dan menganjari syurga Firdaus.

Share

About Penerangan ISMA Australia