CERPEN: PANAHAN CINTA ILLAHI (Bahagian 1)

By on January 22, 2017

“Diyana Syauqia!”
Diyana Syauqia tergamam tatkala mendengar namanya diseru dengan begitu kuat. Kelihatan rakan sekelasnya yang juga merupakan rakan sebiliknya, Adiba Syakila tergesa-gesa mendapatkannya.

 

“Kenapa awak tergesa-gesa ni, Adiba? Ada apa-apa ke?” tanya Syauqia.
“Nah! Ada surat untuk awak. Tadi saya ke kantin. Tiba-tiba ada seorang lelaki datang dan meminta saya untuk berikan surat ini kepada awak.” Ujar Adiba sambil menghulurkan surat tersebut kepada Syauqia.

 

“Hai…ada peminat nampak.” sambungnya lagi sambil mengeyitkan mata kepada Syauqia.
Diyana Syauqia mengerutkan dahinya lalu berkata, “Mari kita masuk dewan kuliah cepat. 5 minit lagi Ustazah Badriatul akan masuk.”

 

Mereka pun bersegera ke dewan kuliah kerana takut akan didenda. Maklumlah, Ustazah Badriatul sangat berdisiplin orangnya. Pantang sekiranya ada pelajar yang lambat masuk ke kelas.Tepat jam 1 petang, kuliah Syariah & Undang-undang tamat. Semua pelajar berpusu-pusu pulang ke kolej kediaman masing-masing, manakala Diyana Syauqia menuju ke surau kerana sebentar lagi masuk waktu solat zuhur. Sedang dia berjalan, tiba-tiba seorang lelaki ajnabi menghampiri dan berjalan di sebelahnya.

 

“Assalamualaikum Syauqia. Jom saya belanja awak makan tengah hari.”
Diyana Syauqia segera menghentikan langkahnya kerana tidak selesa berjalan berdua-duaan bersama lelaki ajnabi.
“Maaf. Saya mahu ke surau.” Kata Syauqia dengan tegas.
“Okay, kalau macam tu, jomlah kita ke surau,” Lelaki yang bernama Mohamad itu tetap ingin berjalan berdua dengan Syauqiah.

 

“Maaf. Saya tidak selesa untuk berjalan dengan saudara. Boleh tinggalkan saya bersendirian?” Diyana Syauqia dengan pantas meninggalkan lelaki tersebut.
“Sombong! Jual mahal!,” Kedengaran lelaki itu mengkritik perlakuan Syauqia yang tidak melayannya.
“Ya Allah, lindungilah aku daripada gangguan-gangguan seperti ini,” Syauqia berdoa dalam hati.Usai menunaikan solat zuhur, Diyana Syauqia teringat akan sepucuk surat yang diterima daripada Adiba. Dikeluarkan surat itu dari begnya.

Assalamualaikum Syauqia. Sudah lama saya perhatikan awak. Sudilah kiranya kita mengulangkaji pelajaran bersama-sama. Saya perlukan bantuan awak untuk memahami topik yang kita belajar semalam. – Adnan
Syauqia merenyukkan surat itu sambil mengetap bibirnya.

 

“Bukannya tak boleh belajar bersama rakan Muslim yang lain. Ramai lagi lelaki Muslim yang boleh membantu. Ya Allah, sedarkanlah lelaki ini,” Syauqia bermonolog sambil berasa kesal dengan sikap segelintir pelajar lelaki di kolejnya itu. Tanpa berlengah, dia menuju ke kolej kediamannya.
Sejurus melihat Diyana Syauqia masuk ke bilik, cepat-cepat Adiba Syakila datang menghampiri.“Awak dah baca surat tu?” tanya Adiba.

Syauqia hanya mendiamkan diri.“Untungnya jadi awak ni. Dahlah cantik, baik, pandai, ramai peminat pulak tu. Jealousnya saya dengan awak. Tak susah awak nak cari calon suami. Berderet-deret lelaki menunggu awak, Syauqia. Awak patut bersyukur tau sebab dikurniakan ramai peminat. Tinggal awak nak pilih je yang mana satu awak mahu,” Adiba meneruskan percakapannya.Diana Syauqia yang dari tadi asyik menyusun buku di rak menoleh ke arah Adiba.

“Tiada gunanya jika mereka ingin mendapatkan kita dengan cara begitu. Bukan redha manusia yang kita cari. Yang perlu kita utamakan adalah keredhaan Allah. Saya tidak berkenan dengan cara mereka. Bagi saya, mereka langsung tidak menghormati saya sebagai seorang muslimah.” Syauqia menegaskan prinsipnya kepada Adiba.
Riak wajah Adiba kelihatan tidak puas hati dengan jawapan Syauqia.“Apa kurangnya mereka, Syauqia? Cuba awak lihat Adnan tu. Ketua Persatuan Mahasiswa Islam, selalu pergi ke surau, selalu jadi imam, bagi tazkirah. Dah ada ciri-ciri soleh tu. Apa lagi yang awak mahu? Eh, tak fahamlah saya dengan awak ni,” Adiba menyatakan ketidakpuashatiannya kepada Syauqia.

“Saya tak menafikan kebaikan yang dilakukannya, cuma saya tidak berkenan dengan caranya menghantar surat dan ajak study bersama. Itu bukan cara yang baik. Awak bukan tak pernah belajar kan Adiba tentang ikhtilat? Awak pun tahu kan…” ujar Syauqia.

“Yelah, saya tahu. Tapi, sekarang ni mana nak dapat lelaki yang macam awak nak tu. Entah wujud lagi ke tak. Awak ni pun, janganlah extreme and cerewet sangat. Dia hanya ajak study je, bukan buat apa pun.” Adiba berusaha mempertahankan pendapatnya.

 

“Kisah Saidatina Aishah pulang bersama dengan Safwan walhal mereka tidak bercakap apa pun, hanya isyarat tangan agar Saidatina Aishah naik ke belakang unta, itu pun menjadi fitnah terbesar, apatah lagi duduk berdua study bersama. Saya bukan extreme mahupun cerewet. Saya hanya berpegang kepada prinsip dan hukum hakam Islam. Tak mengapalah Adiba, saya yakin dengan janji Allah. Kepada Allah saya berserah,” Syauqia mengukir senyuman kepada Adiba.

 

“Okaylah, saya nak pergi study room. Ada assignment yang perlu saya siapkan.” Syauqia meminta diri.———“Dalam hidup ini, segala tindakan, gerak geri dan apa jua yang ingin kita lakukan, kita perlu ingat Allah. Fikirkan sama ada Allah suka atau Allah benci, Allah redha atau Allah murka. Baiklah, kita akhiri usrah kita dengan tasbih kaffarah dan surah al-Asr.” Naqibah Syauqia yang bernama Ustazah Sharifah mengakhiri tazkirahnya dengan nasihat agar mengingati Allah setiap masa.“Syauqia, saya ada sesuatu nak tanya awak,” Rakan usrah Syauqia yang bernama Fatimah mendekatinya.
“Ada apa Fatimah?” soal Syauqia.
“Pagi tadi saya terserempak dengan roommate awak, Adiba tu. Saya nampak dia jalan berdua dan makan bersama dengan Mohamad. Nampak mesra sangat,” luah Fatimah kepada Syauqia.
Diyana Syauqia lantas teringat lelaki yang bernama Mohamad yang sering mengganggunya itu.

“Tapi saya rasa Mohamad tu bukanlah serius pun dengan Adiba. Saya rasa dia rapat dengan Adiba pun sebab Adiba roommate awak. Saya rasa dia hanya menggunakan Adiba untuk dapatkan awak,” sambung Fatimah lagi.

“Eh okayla awak, saya nak cepat ni. Ada meeting persatuan. Nanti kita borak lagi ye Syauqia. Assalamualaikum.” Fatimah segera meninggalkan Syauqia.Petang itu, Diyana Syauqia pergi ke padang untuk beriadah. Terkejut apabila dia lihat dengan matanya sendiri sepasang lelaki dan perempuan sedang duduk di sebuah pondok berdekatan padang kolej. Ternyata yang dilihat itu ialah Adiba dan Mohamad. Sedih hatinya apabila melihat rakan sebiliknya itu sedang berdua-duaan di pondok itu. Syauqia membatalkan hasratnya untuk beriadah dan pulang semula ke kolej kediaman. Al-Quran dibukanya dan dibaca. Tanpa disedari, air matanya mengalir. Dia begitu sedih apabila rakan yang sangat disayanginya itu mula keluar dengan lelaki ajnabi. Barulah sekarang dia menyedari mengapa Adiba jarang meluangkan masa bersamanya. Setiap malam juga, Adiba sering bergayut.“Assalamualaikum. Hai Syauqia!” Adiba masuk ke dalam bilik lalu menyapa Diyana Syauqia yang sedang duduk atas katil. Syauqia segera mengesat air matanya.

“Waalaikumussalam Adiba. Cerianya awak hari ini. Awak ke mana tadi? Emm.. Adiba, malam ni jom kita study sama-sama.”“Ala Syauqia, malam ini tak bolehlah. Saya ada hal,” Adiba cuba mengelak.

“Kita dah jarang luang masa bersama. Semenjak dua menjak ni awak nampak busy sangat, Adiba.” Syauqia mula meluahkan perasaannya.

Adiba pula tekun menggosok bajunya.

“Adiba, tadi saya nampak awak dengan Mohamad di pondok.” Syauqia cuba berterus terang.
Adiba terkejut mendengar pengakuan Syauqia dan berasa sangat malu untuk memandang muka Syauqia.

“Saya tak buat apa-apa pun dengan Mohamad. Sekadar berkongsi masalah dan membantunya untuk menyelesaikan masalah. Itu sahaja.” Adiba terus menggosok bajunya tanpa memandang wajah Syauqia.

“Meluangkan masa dengannya sehingga awak tiada masa dengan saya dan kawan-kawan yang lain? Ponteng usrah, bangun subuh lambat sebab setiap malam awak bergayut, mutabaah amal pun terabai, awak menipu kami. Itu ke awak kata tiada apa-apa?” Syauqia cuba berkata dengan lembut agar tidak mengguris hati Adiba sementara memperlihatkan kepada Adiba akan perubahan-perubahan drastik yang berlaku dalam dirinya.

“Sudahlah Syauqia! Kalau awak dengki dan cemburu, mengaku sahajalah. Awak sebenarnya jealous kan tengok saya dan Mohamad. Dulu awak yang taknak dia kan, kenapa sekarang awak busy body pula?!” Adiba mula meninggikan suaranya lantas keluar dari bilik dan menolak Syauqia yang berdiri di pintu keluar.

“Allahu Rabbi…” Hanya perkataan ini yang mampu dilafazkan oleh Syauqia saat ini. Hatinya betul-betul terluka.Akan bersambung…

Share

About Penerangan ISMA Australia