Tragedi Berdarah Melbourne: Platform Penyebaran Kebencian

By on January 23, 2017

Tragedi berdarah 20 Januari 2017 yang lalu perlu dilihat sebagai satu teguran lembut untuk kita semua dari Yang Maha Esa. Menjadi satu peringatan buat kita semua bahawa ajal maut, limpahan rezeki, jodoh pernikahan, segalanya di tangan Allah. Kematian akan menyinggahi kita mengikut percaturan yang telah ditetapkan, tanpa awal sesaat dan lambat sesaat. Umur yang muda bukanlah satu tiket perlepasan yang boleh diterima oleh Malaikat Izrail.

Tragedi Jumaat lalu mengorbankan 5 orang termasuk bayi lelaki berumur 3 bulan dan kanak-kanak berumur 10 tahun. Lebih daripada 30 orang awam mengalami kecederaan. Insiden ini bermula apabila suspek dalam lingkungan 26 tahun bertindak di luar kawalan di hadapan Stesen Kereta Api Flinders St dan Dataran Persekutuan (Federation Square) dan kemudian bertindak untuk memandu ke arah pejalan kaki di kawasan Burke St Mall.

Insiden ini tidak dinisbahkan atas motif terorisme dan bersangkut paut dengan komuniti Islam mengikut ulasan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Victoria. Namun, masih terdapat desas-desus berkenaan perkaitan suspek dengan Islamic terrorism dan komuniti Muslim secara general. Dapat di ukur daripada tragedi ini bahawa mentaliti sesetengah individu masyarakat di Melbourne, secara amnya, masih dihantui dan diselubungi dengan kebencian terhadap komuniti Islam apabila terdapat beberapa individu yang menegaskan bahawa suspek melaungkan kalimah ‘Allahu Akbar’ semasa amukan ini.

Islamophobia sudah menjadi kebiasaan umum masyarakat dunia hari ini apabila setiap pembunuhan, insiden pengeboman dan tragedi berdarah di seluruh dunia akan cuba dikaitkan dengan Islam. Maka tidak hairanlah sekiranya tragedi ini akan diperkaitkan dengan Islam oleh agen-agen penyebar kebencian. Namun perlu untuk ditekankan, tidak ada kaitan terorisme Islamis dengan insiden terkutuk ini apabila suspek tidak ada kaitan secara langsung mahupun tidak langsung dengan Islam.

Untuk keluarga mangsa, salam takziah diucapkan. Tindakan suspek yang bagaikan hilang akal fikiran dikutuk sekeras-kerasnya dan tidak boleh diambil ringan. Untuk kita semua, ambillah ibrah dan peringatan kehidupan dari insiden ini. Kematian tidak berbau. Sentiasalah mempersiapkan diri untuk bertemu dengan Allah Jalla wa Ala.

Untuk diri ini terutamanya, beribadahlah sekuat tenaga semampu mungkin seolah-olah akan mati esok, dan bekerjalah untuk dunia seolah-olah akan hidup selamanya. Dipanjangkan doa untuk kita semua, semoga mendapat husnul khatimah dan dijauhkan daripada su’ul khatimah. Teruslah menjadi agen penyubur keamanan dan Islam yang sebenarnya.

 

Wallahu’alam

 

Share

About Penerangan ISMA Australia