Y.O.U Camp 17: Duduk Sebentar, Kita Beriman Sejenak

By on April 21, 2017

Suka untuk aku berkongsi sedikit pengalaman kecil aku dalam suasana tarbiah beberapa hari lepas di Youth of Ummah Camp (Y.O.U Camp). Penulisan ini lebih kepada satu peringatan buat diri agar terus tsabat, dan perkongsian buat semua agar apa yang baik, boleh di ambil dan dipraktikkan.

Seorang akhi (aku namakan dia Akhi A) berkongsi kepada ikhwah seusai program i-Fitness (Challenge Valley) yang aku kira, sangat memenatkan namun berbaloi untuk pembinaan ukhuwah. Serius best, lagi best daripada berukhuwah melalui permainan online, PC Gaming dan lain-lain. Kami semua penat. Mana tak nya, lari naik turun bukit, berhayun dan memanjat segala bende alah yang ada di situ.

Akhi A dikerumuni beberapa ikhwah lain. Aku asalnya ingatkan mereka sedang berbual kosong. Namun sedang aku lalu di sebelah perkumpulan kecil mereka, sayup terdengar aku kata-kata mutiara keluar daripada mulut akhi A. Tersentap hati mendengar.

“Ikhwah kena sedar, dalam mencari tarbiah sebenarnya tiada alasan yang mampu memberikan kita ruang untuk melarikan diri. Kalau kata kita nak lari sebab masalah family, ana dulu pun ada masalah family. Kalau nak berikan alasan sebab diri tak bersedia untuk ke jalan dakwah dan tarbiah, sediakanlah diri tu untuk ke neraka.”

“Tarbiah bukan main-main syeikh. Kalau nak sweet-sweet, semua tu Allah bagi kat syurga nanti. Kenapa nak kejar syurga dunia yang sementara….”

Aku yang asalnya berniat untuk lalu sahaja, terduduk dan terpana dengan kata-kata akhi A. Hati aku bertambah semangat. Aku semakin mahukan tarbiah. Aku mahu menjadi seorang pelapis kepada pembina kejayaan ummah. Aku ingin menjadi seorang contributor dan bukan sebagai spectator kepada pembangunan ummah dan daulah Islamiyyah.

Maka teringatlah aku kenapa pentingnya pertemuan-pertemuan ilmiah seperti ini biarpun seketika. Aku terimbau dalam usrahku dulu semasa membedah Al-Muntalaq penulisan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid:

Mu’az Ibn Jabal mengingatkan sahabatnya; “Marilah kita duduk untuk beriman sejenak.”

Semoga kita semua terus tsabat di jalan dakwah dan tarbiah.
Wallahu’alam.

Nik F Haikal
University of Melbourne

 

Share

About Penerangan ISMA Australia