Y.O.U Camp: Pencetus Kebangkitan Pemuda – Pengerusi ISMA Australia

By on April 21, 2017

MELBOURNE, 17 April – Bumi tarbiah Victoria menjadi saksi semangat kebangkitan para mahasiswa di program Youth of Ummah Camp 2017 (Y.O.U Camp 17) dalam menyelesaikan masalah umat yang kian merosakkan dan dirosakkan dengan pelbagai cabaran dunia tanpa sempadan sekarang. Program ini juga menjadi satu bukti kukuh bahawa ISMA Australia sentiasa berwawasan dan komited dalam mencurahkan tenaga untuk memastikan pembinaan jati diri individu Muslim berwibawa tercapai.

ISMA Australia meletakkan objektif yang besar melalui Y.O.U Camp 17 ini, iaitu harapan yang tinggi agar pemuda pemudi bakal pemimpin negara yang berada di Bumi Kanggaru ini sedar akan ancaman yang dihadapi oleh generasi muda hari ini. Kesedaran yang cuba ditanamkan dalam diri mereka ini bukan sekadar kesedaran tahap rendah akan tetapi kesedaran yang mampu memacu mereka semua untuk menjadi penyumbang utama sebagai agen penggerak perubahan masa depan. Y.O.U Camp 17 diserikan lagi dengan kehadiran tetamu undangan khas yang diterbangkan dari Malaysia iaitu Ketua Pemuda ISMA Malaysia, Ir Hj. Muhammad Lukman Al Hakim dan CEO Tarbiah Sentap, Ustaz Adnin Roslan.

Selain daripada pengisian yang diberikan oleh kedua-dua panel jemputan, Y.O.U Camp 17 juga menjadi satu platform untuk para peserta untuk merapatkan dan mengukuhkan  ikatan ukhuwah merentasi negeri masing-masing memandangkan peserta Y.O.U Camp 17 bukan hanya terdiri daripada mereka dari Victoria. i-Fitness Australia turut mengambil kesempatan dalam program Y.O.U Camp 17 ini untuk mengadakan aktiviti merentas halangan yang bukan hanya mampu meningkatkan ketahanan fizikal para peserta, malah memastikan perhubungan sosial yang utuh berlaku sesama para peserta.

Peri pentingnya program ini tidak mampu diekspresikan sepenuhnya melalui kata-kata. Memetik ucapan penutupan oleh Pengarah Y.O.U Camp 17, Amiruddin Aziz, “Sekiranya bukan kita (para pemuda) hari ini yang berubah untuk mengubah masyarakat, kepada siapa lagi harapan kita untuk memastikan generasi anak-cucu kita nanti tidak rosak. Galaslah tanggungjawab melawan ancaman penyubur kebobrokkan umat agar esok hari, umat kita subur dengan individu Muslim sejati.”

Ucapan ini didokong oleh kata-kata daripada Pengerusi ISMA Australia, Anuar Azemi, “Pembinaan jati diri Muslim perlu bermula dengan diri kita sendiri. Pengorbanan besar perlu dibuat oleh kita semua agar kemusnahan umat esok tidak berlaku.”

Y.O.U Camp 17 turut dimeriahkan dengan penampilan khas daripada kumpulan pemuda hebat, Tarbiah Sentap, yang turut hadir mengikuti Ustaz Adnin. Y.O.U Camp 17 dipandang sebagai satu program nasional yang sangat berjaya melihatkan kepada penyertaan peserta yang hadir daripada Malaysia, New South Wales, Brisbane, South Australia dan Victoria mencecah 150 orang. Keberjayaan program ini bukan sekadar diukur daripada jumlah penyertaan semata-mata, malah berdasarkan komen-komen positif yang diterima daripada para peserta. Sesetengah daripada mereka merupakan peserta yang pernah menyertai program-program ISMA Australia, yang mampu diambil sebagai ukuran bahawa ISMA Australia telah dan mampu menawan hati para mahasiswa dalam mengorak langkah menyuburkan generasi pembina ummah.

Sungguh, usaha ISMA Australia tidak akan berhenti sekadar ini. Komitmen yang tinggi akan terus diberikan sehingga wujudnya kembali pemuda pemudi seperti Salahuddin Al-Ayubi dan Saidatina Aisyah RA.

Share

About Penerangan ISMA Australia