Tarbiah Isra Mi’raj: 8 Ciri-Ciri Pemimpin Terunggul

By on April 24, 2017

Peristiwa Isra Mi’raj sering kali dikupas oleh para asatizah tiap tahun. Peristiwa ini merupakan salah satu mukjizat terbesar dan agung buat baginda Nabi Muhammad S.A.W. Seharusnya kita perlu memaksimumkan ilmu pengetahuan dan amalan praktikaliti berkaitan dengan peristiwa ini.

Secara umumnya, peristiwa Isra Mi’raj ialah perjalanan Nabi Muhammad S.A.W pada malam hari dari Masjid al-Haram (Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin) dan perjalanan “naik” ke Sidratul Muntaha untuk menghadap Allah S.W.T pada 27 Rejab mengikut pandangan jumhur ulama.

 

Dititipkan oleh Allah Jalla wa ‘Ala dalam surah Al-Isra ayat 1 berkenaan dengan Isra Baginda;

 

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ   (١)

 

Ertinya: Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

Dan seterusnya dalam surah An-Najm ayat 13-18 berkenaan dengan Mi’raj;

 

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى (١٣) عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى (١٤) عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى (١٥) إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى (١٦) مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى (١٧) لَقَدْ رَأَى مِنْ آيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى (١٨)

 

Ertinya: Dan sesungguhnya, dia (Muhammad) telah melihatnya (Jibril) (dalam rupa yang asli) pada waktu yang lain (13) iaitu di Sidratul Muntaha (14) Di dekatnya ada syurga tempat tinggal (15) (Muhammad melihat Jibril) ketika di Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya (16) Penglihatannya (Muhammad) tidak menyimpang dari yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya (17) Sungguh, dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Tuhannya yang paling besar(18)

 

Saban tahun, para asatizah akan mengupas (selalunya) berkaitan dengan tujuan Isra Mi’raj diberikan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W. Umumnya, mereka akan menyentuh berkenaan dengan Isra Mi’raj adalah satu bukti kekuasaan dan kebesaran Allah S.W.T, sebagai uijan keimanan kepada mereka yang baru memeluk Islam ketika itu dan sebagai satu wasilah untuk Allah S.W.T menggembirakan hati Rasulullah S.A.W setelah kehilangan dua insan yang senantiasa menjadi tulang belakang kekuatan Baginda iaitu Abu Thalib dan Khadijah RA.

 

Namun, kurang sekali kupasan Isra Mi’raj ini berkaitan dengan perincian peristiwa ini kepada 2 tujuan lain yang peri pentingnya tidak terhingga, iaitu;

 

  1. Lil-tatsbit – proses pemantapan dan pengukuhan posisi kenabian dan kerasulan Baginda, dan
  2. Listi’dalil Quwah – proses pemantapan kekuatan jasmaniah, rohaniah dan ‘aqliah Nabi Muhammad S.A.W dalam menempuhi cabaran mendatang.

 

Proses pemantapan dan pengukuhan ini mampu kita lihat ketika Nabi Muhammad S.A.W melewati setiap tingkat langit dan bertemu dengan beberapa Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul sebelum Baginda. Pertemuan yang telah Allah S.W.T rancangkan ini bukanlah sesuatu yang tidak bermakna, kerana tiada yang sia-sia daripada perancangan Allah. Daripada kisah pertemuan inilah, mampu kita ekstrak bahawa setiap ciri-ciri yang terdapat pada setiap Nabi dan Rasul utusan Allah S.W.T ini mempunyai kepentingan bagi kita memantapkan diri untuk menjadi pemimpin dan sebagai satu ukuran penting buat kita dalam membuat pemilihan pemimpin.

 

Dalam satu hadis, riwayat Imam Bukhari dalam kitab sahihnya Babul Mi’raj: dalam satu periwayatan daripada Hadibah Ibn Khalid, daripada Hammam bin Yaya, daripada Qatadah katanya daripada Anas bin Malik dari Malik bin Sha’sha’ah katanya Nabi Muhammad S.A.W bersabda, (hadis tersebut diringkaskan, rujukan hadis penuh akan diberikan dalam rujukan penulisan)1:

 

Rasulullah S.A.W telah dipertemukan dengan beberapa Nabi dan Rasul di tingkat-tingkat langit yang tertentu, iaitu:

  1. Nabi Adam A.S di langit pertama,
  2. Nabi Yahya A.S dan Nabi Isa A.S di langit ke dua,
  3. Nabi Yusuf A.S di langit ke tiga,
  4. Nabi Idris A.S di langit ke empat,
  5. Nabi Harun A.S di langit ke lima,
  6. Nabi Musa A.S di langit ke enam,
  7. Nabi Ibrahim A.S di langit ke tujuh,

dan setiap pertemuan ini membawa makna yang besar buat Nabi Muhammad S.A.W. Sebagai satu refleksi, pertemuan terancang ini sebenarnya memberikan kayu ukur buat kita untuk membina peribadi pemimpin terunggul dan sebagai satu checklist wajib yang perlu ditanda secara keseluruhannya untuk memilih pemimpin berwibawa2.

 

Ciri pertama ialah mengenali sejarah dan asal usul diri sendiri. Pertemuan Nabi Muhammad S.A.W dengan Nabi Adam A.S bagaikan pertemuan seorang anak dan bapa yang telah lama terpisah, akhirnya bertemu kembali. Kepentingan mengenali sejarah tidak boleh di pandang enteng, bahkan Allah S.W.T berfirman bahawa kisah-kisah sejarah terdahulu para anbiya’ terdapat pengajaran bagi mereka yang mempunyai akal yang sihat3. Pemimpin yang mengetahui sejarah dan asal-usul sendiri mampu memastikan peristiwa hitam terdahulu tidak berulang. Justeru, pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya dipilih tanpa dilihat ilmu mereka berkenaan sejarah diri, keagamaan dan kenegaraan.

 

Ciri kedua ialah bijak menyusun strategi peperangan menghadapi musuh yang kuat. Nabi Yahya A.S pernah menentang dan mengalahkan Raja Romawi  yang hebat. Ilmu peperangan merupakan satu ilmu yang penting buat pemerintah negara secara umumnya. Kekuatan negara dalam menghadapi musuh banyak bergantung kepada peneraju kepimpinan yang mempunyai ilmu peperangan yang hebat dan mampu menyumbang kepada kejayaan untuk menjaga keamanan negara daripada ancaman musuh.

 

Seterusnya, Rasulullah S.A.W mempelajari ilmu berkenaan dengan pengendalian situasi pengkhianatan rakyat yang batil terhadap pemerintah daripada situasi Nabi Isa A.S yang dikhianati umatnya sendiri. Persediaan diri seorang pemimpin yang benar dalam menghadapi dugaan pengkhianatan rakyat diperlukan melihatkan kepada situasi bahawa akan adanya manusia yang tidak akan suka kepada al-Haq (kebenaran). Janji Allah dalam Al-Quran bahawa kebenaran akan sentiasa menang terhadap kebatilan4 namun, kita seharusnya mempunyai strategi untuk melawan kebatilan ini. Pemimpin perlu sedar bahawa kebatilan yang terstruktur dan terorganisasi mampu mematahkan kebenaran yang tidak tersusun-atur.

 

Kemudian, seorang pemimpin seharusnya mempunyai ilmu kewangan yang hebat. Pengurusan kewangan negara bukanlah satu perkara yang ringan. Nabi Yusuf A.S terserlah kehebatannya dalam menguruskan harta dan kewangan negara lalu menyebabkan rakyat mampu terus hidup aman biarpun di ancam kemarau yang sangat teruk. Begitu juga sepatutnya pemimpin negara hari ini, perlunya mempunyai ciri seorang yang amanah dan berilmu dalam mengelola kewangan dan harta negara agar bilamana di ancam dengan mushibah yang teruk, rakyat masih mampu meneruskan kehidupan tanpa terjejas teruk.

 

Di langit ke empat, Rasulullah S.A.W bertemu dengan Nabi Idris A.S, yang terkenal dengan seorang cendekiawan yang sangat hebat ilmunya. Pemimpin yang mempunyai akal intelektual yang tinggi merupakan aspek yang sangat penting dan perlu menjadi satu garis batasan yang besar antara mereka yang berhak memimpin dan yang perlu dipimpin. Golongan cerdik pandai mampu memberikan visi dan misi yang jelas terhadap keberadaan negara di masa hadapan seterusnya, menggerakkan negara menjadi negara maju.

 

Tingkat seterusnya, Baginda S.A.W bertemu dengan Nabi Harun A.S, seorang utusan Allah yang dikurniakan kepetahan berkata-kata dan kemampuan berkomunikasi yang baik. Seorang pemimpin seharusnya perlu mempunyai kemahiran menyampaikan maklumat dengan jelas dan lurus agar informasi yang ingin disampaikan tidak disalah-faham oleh masyarakat. Kemahiran komunikasi bukanlah diukur daripada kepetahan bercakap semata-mata, malah merangkumi kemampuan seorang pemimpin yang menjadi delegasi utama dan tertinggi sesebuah negara dalam perundingan dan perjanjian.

 

Daripada Nabi Musa A.S pula, Nabi Muhammad S.A.W mempelajari ilmu dan mengambil iktibar daripada kisah Nabi Musa A.S dalam menghadapi penguasa tirani, iaitu Firaun. Pengetahuan dalam strategi dakwah di negeri yang penuh dengan kezaliman sebenarnya bukanlah perkara yang kecil. Dalam erti kata yang lain, seorang pemimpin harus berani melawan kebatilan yang muncul daripada pemimpin atasan dan barisan kepimpinan yang lain. Namun, melawan bukanlah dengan membabi buta akan tetapi dengan penyusunan strategi yang jelas dan tersusun.

Dan yang terakhir dan terpenting, ciri seorang pemimpin yang berkaliber sebenarnya seorang yang mempunyai kefahaman tauhid yang tinggi dan mendalam. Pertemuan Rasulullah S.A.W dan Nabi Ibrahim A.S melambangkan seorang bapa yang benar-benar soleh dan beriman (Nabi Ibrahim A.S) mampu membentuk dan melahirkan generasi yang benar-benar soleh dan beriman (Nabi Muhammad S.A.W). Perlambangan ini penting untuk menunjukkan bahawa pembinaan negara yang mempunyai rakyat yang taat kepada Allah Jalla wa ‘Ala hanya mampu dilahirkan oleh pemimpin yang mempunyai ikatan rohani dan tautan akidah yang benar-benar mantap dengan Pencipta Yang Esa. Tanpa seorang pemimpin mukmin, akan hancurlah keberadaan sesebuah negara dalam memastikan hidupnya syiar Islam di negara tersebut. Ciri terakhir inilah yang menjadi garis batasan yang terpenting dan utama buat umat Islam untuk memilih pemimpin mereka.

 

Ekoran daripada itu, nasihat penulis buat seluruh umat Islam di luar sana, sedarlah! Seorang pemimpin yang tidak mempunyai 8 ciri-ciri pemimpin berwibawa ini, tidak akan mampu membina sebuah negara yang izzah dengan Islam. Mereka tidak akan mampu menegakkan syiar Islam dan amanat Allah S.W.T. Pemimpin yang tidak cukup 8 ciri-ciri ini mampu menarik kita ke lembah kehinaan dan merosakkan anak bangsa seterusnya menambah kehinaan terhadap Islam.

 

Sebagai satu peringatan, 8 ciri-ciri terpenting seorang pemimpin ialah:

  1. Mengenali sejarah dan asal-usul
  2. Bijak mengatur strategi peperangan
  3. Hebat menyusun strategi situasi kebangkitan kebatilan
  4. Berilmu pengetahun dalam pengendalian kewangan dan harta negara
  5. Seorang cendekiawan dan intelektual
  6. Berkemahiran tinggi dalam berkomunikasi
  7. Bijak dan berani melawan kezaliman
  8. Tauhid yang mantap

dan ketahuilah, andainya tidak lengkap satu, maka tidak cukuplah kesediaan seseorang dalam menjadi pemimpin.

 

Peristiwa Isra Mi’raj ini dijadikan oleh Allah S.W.T sebagai satu jalan tarbiah buat umat Islam hari ini. Kutiplah setiap hikmah yang ada daripadanya walaupun sedikit. Semoga kita bijak memilih pemimpin yang mampu meneraju negara dan ummah ke arah mendekati Allah.

 

Wallahu’alam.

 

Rujukan utama:

1- Syeikh Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi, Menyingkap Misteri Isra Mi’raj, hal. 25

2- Dr. Muhammad Soebari, Pelajaran dari Isra Mi’raj, hal. 49

3- Surah Yusuf, ayat 111

4- Surah Al-Isra, ayat 81

 

Nik F Haikal
Ketua Penerangan ISMA Victoria

Share

About Penerangan ISMA Australia