ANZAC Day: Secebis Kemenangan di Sebalik Kekalahan

By on April 24, 2017

Secebis Kemenangan Di sebalik Kekalahan

          Tarikh 25 April merupakan tarikh keramat bagi seluruh rakyat Australia dan New Zealand. Tarikh ini lebih dikenali ANZAC Day bagi rakyat Australia merupakan hari yang signifikan dengan semangat juang tentera Australia dan New Zealand yang terserlah semasa kempen Gallipoli sewaktu perang dunia pertama (WWI). ANZAC membawa maksud Australia and New Zealand Army Corp atau Kor Tentera Australia dan New Zealand. Pada pandangan pengkaji sejarah perang, hari ANZAC ini merupakan hari di mana tentera bersekutu (Allied Forces) dimalukan di tanah Turki yang dahulunya dibawah pimpinan Empayar Uthmaniyyah.

Ringkasan Peperangan Gallipoli, Turki

          Tentera Australia dan New Zealand termasuk beberapa kontijen dari negara Komanwel (Commonwealth) membentuk Briged ke-3 seramai 4000 tentera darat memulakan serangan mereka dari laut ke arah kawasan yang dikenali sebagai Dardanelles. Serangan ini merupakan serangan permulaan bertujuan membina kekuatan Tentera Bersekutu sebelum mereka bergerak untuk menawan Dardanelles dan kemudian Istanbul. Perjalanan tentera diselangi dengan tembakan meriam-meriam dari kapal-kapal Tentera Bersekutu ke arah pantai Turki. Melihatkan dari segi geografi, Dardanelles merupakan pertahanan darat semulajadi yang memisahkan laut Marmara dan Istanbul (Constantinople). Dardanelles merupakan kawasan yang terdiri daripada bukit-bukit berbatu yang merupakan tempat ideal bagi askar Turki membina kubu mereka. Kubu ini cukup dilengkapi dengan meriam-meriam yang mampu menghancurkan kapal perang yang cuba menghampiri kawasan pesisir pantai Gallipoli.

          Terhidu serangan hendap oleh Tentera Bersekutu, tentera Turki bersedia dengan serangan balas. Askar Turki menyerang dengan bedilan meriam di kubu-kubu, serangan mesingan dan letupan ke arah Tentera Bersekutu yang cuba menyerang mereka dari arah pantai ke kawasan bukit. Dalam buku 25 April 1915-The Inevitable Tragedy oleh Denis Winter, askar Australia menggambarkan serangan Turki umpama pertunjukan bunga api yang besar.

Mengapa Turki

          Perang dunia pertama merupakan konflik kompleks. Tentera Berikat terdiri daripada Jerman,  Empayar Austria-Hungary dan Turki Uthmaniyyah manakala Tentera Bersekutu terdiri daripada Britain, Rusia, Perancis dan Amerika. Ini merupakan pemain-pemain utama dalam peperangan ini. Disebabkan pada 1915 Jerman masih tidak dapat dikalahkan, Tentera Bersekutu berpendapat, jika mereka dapat memerangkap Jerman dan Austria-Hungary, mereka akan menang. Jerman dan Austria-Hungary sudah pun dikepung pada bahagian Barat (Britain dan Perancis) dan bahagian Timur (Rusia). Yang tinggal hanyalah bahagian Selatan yang merupakan kawasan Turki Uthmaniyyah.

          Ketika itu, Turki memusuhi Britain kerana kebanyakan kawasan tanah jajahannya jatuh ke tangan Britain termasuk tanah suci orang Islam, Palestin. Selain itu, Turki Uthmaniyyah merupakan empayar Islam yang terakhir dan tempat orang Islam berlindung.

          Dalam serangan Tentera Bersekutu ke atas Turki, tentera Turki berjaya mematahkan serangan musuh. Islam masih lagi bertahan. Tentera Turki mengalami kematian sebanyak 250, 000 orang manakala Tentera Bersekutu sebanyak 302,000 orang. Namun, ini hanyalah sekadar anggaran.

Ketidakstabilan Empayar Uthmaniyyah Secara Keseluruhan

          Meskipun Turki menang dalam siri peperangan Gallipoli, Turki kalah bagi keseluruhan peperangan dunia pertama. Ketika itu, berlaku beberapa konflik yang penulis anggap sangat signifikan dalam konflik peperangan ini. Jeneral yang menjadi kunci kemenangan Turki Uthmaniyyah pada peperangan Gallipoli, Mustafa Kamal Attartuk di anggap sebagai hero oleh rakyat Turki dan di angkat sebagai dewa oleh para ekstrimis. Bermula dari sini, sistem khalifah mula hancur sedikit demi sedikit dan digantikan dengan sistem republik yang diterajui oleh Mustafa Kamal Attartuk.

          Perpecahan dalaman negeri-negeri di bawah pemerintahan Turki Uthmaniyyah menyebabkan Kerajaan Turki Uthmaniyyah menjadi lemah. Pemuda-pemuda Turki pada ketika itu mempunyai semangat nasionalisme yang membuak-buak namun kurang kefahaman dari segi agama. Mereka cuba dan berjaya menjatuhkan sistem khalifah yang pada ketika itu dipimpin oleh Sultan Abdul Hamid II. Sebagai contoh, Tentera Turki tidak berjaya mematahkan serangan Tentera Itali yang menakluki Libya. Kelemahan sistem khalifah bermakna negara-negara yang berada dibawah pimpinan Turki Uthmaniyyah  menginginkan kebebasan akibat hasutan dan ancaman penaklukan oleh kuasa Barat.

Ancaman golongan sekular juga merupakan faktor keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Reformasi yang dibawa oleh Mustafa Kamal Attartuk dilabel sebagai sekular kerana mengubah prinsip-prinsip asas Islam seperti larangan menutup aurat dan laungan azan. Fahaman ini dikenali sebagai ideologi Kemalist dibawa oleh golongan nasionalis yang tidak memahami fitrah dan kurang kefahaman agama Islam. Mereka cuba untuk memajukan Turki menerusi acuan Barat semata-mata. Setelah kejatuhan sistem khalifah, Islam dianak-tirikan di negara sendiri.

Kini dan Kehadapan

          Kini, di sebalik ceruk dinding-dinding sebuah memorial peperangan di Melbourne, terdapat satu artifak yang membawa seribu makna daripada secebis kemenangan hinggalah kekalahan secara keseluruhan. Dipijak dan dicarik, bendera Turki Uthmaniyyah yang dirampas ketika peperangan Gallipoli menjadi simbol perpecahan umat.

          Ini merupakan balasan bagi umat Islam yang mengabaikan tanggungjawab terhadap ummah secara menyeluruh. Ketika fahaman sekularisme meningkat, umat Islam lena dan terus lena.

           Kini, hampir genap 100 tahun Islam tanpa khalifah. Persoalannya, adakah anda sudah melakukan sesuatu untuk ummah? Atau anda hanya duduk sekadar melihat.

Irfan K Alias
Ketua Biro Penerangan ISMA New South Wales

Share

About Penerangan ISMA Australia