Moments To Ramadhan: Bersediakah kita untuk Marathon ini?

By on May 23, 2017

20 MEI 2017, SYDNEY – Bersempena dengan sambutan bulan Ramadhan untuk tahun ini, telah berlangsung Qiamulail Moments To Ramadhan (lelaki) anjuran ISMA New South Wales di Masjid GSC, Sydney. Program ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat dalam menyambut bulan Ramadhan dan mempersiapkan diri untuk bulan yang mulia itu. Program tersebut dimulakan dengan agenda utama, iaitu slot ceramah yang bertajuk ‘Buyutuna Fi Ramadhan’ oleh Ketua Biro Penerangan ISMA New South Wales, Saudara Irfan Bin Alias.

Menariknya, penceramah mengumpamakan Ramadhan seperti sebuah marathon. Persediaan yang rapi perlu dilakukan sebelum bermarathon seperti menjaga disiplin diri, latihan yang intensif dan ‘mindset’ yang positif. Begitulah juga persediaan yang sepatutnya kita buat untuk menempuhi Ramadhan yang penuh ujian. Seperti marathon, kegagalan untuk membuat persiapan Ramadhan yang cukup akan mengundang bahaya dan penamat yang tidak baik atau lebih teruk lagi, berakhir dengan ‘kekalahan’.

Beliau mencadangkan bahawa antara persediaan yang berkesaan untuk menempuhi Ramadhan ialah berpuasa di bulan Syaaban, memperbanyakkan membaca Al-Quran, berdoa (seperti yang diajarkan oleh nabi), menginsafi kelebihan bulan Ramadhan dan menghidupkan suasana yang soleh di rumah.

Beliau menekankan kepentingan untuk menghidupkan suasana yang soleh di rumah sebelum menghadapi ramadhan untuk membina momentum dan suasana yang kondusif untuk beribadat kepada Allah. Ini termasuk saling ingat-mengingati antara ahli rumah dalam melakukan ibadat dan membuang segala bentuk jahiliyah yang akan melalaikan diri untuk beribadat. Usaha ini seterusnya boleh diluaskan skopnya kepada para jiran dan masyarakat setempat.

Antara komponen lain program ini ialah qiamulail jamaie, bacaan Matsurat dan tazkirah subuh di mana para peserta diharapkan untuk meneruskan amalan-amalan sebegini di bulan Ramadhan. Antara program ISMA New South Wales yang bakal berlangsung sepanjang bulan Ramadhan ialah agihan kurma, iftar jamaie, qiam jamaie yang bertujuan untuk menghidupkan dan mengekalkan momentum yang telah dibina sejak Program Moments to Ramadhan.

Imran Harith Bin Azmy
Ahli Biro Penerangan (BP)
ISMA New South Wales

Share

About Penerangan ISMA Australia