Tidak fahami sejarah punca Melayu hilang jati diri – Ustaz Abdullah Zaik

By on October 29, 2010

BANGI, 17 Oktober – Ketiadaan pengetahuan mengenai asal-usul sejarah Melayu yang tepat merupakan satu isu atau masalah yang sangat jelas di kalangan orang Melayu sendiri dalam mempertahankan bangsa dan tanah air pada masa sekarang.

Demikian ujar Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman pada Program Perhimpunan Pimpinan Wanita ISMA Nasional (PIMPIN) 2010 di German Malaysian Institute, Bangi semalam.

Menurut beliau lagi, bangsa Melayu sekarang telah ditindas dan ditipu oleh penjajah yang ingin memusnahkan jati diri ummah dan bangsa Melayu. Akibatnya, bangsa Melayu sekarang tidak lagi ada semangat perjuangan yang tinggi dalam membina tamadun sendiri.

“Kita sebagai bangsa Melayu sepatutnya perlu ada rasa ‘izzah dengan bangsa kita sendiri. Itulah yang ingin dibawa oleh ISMA dalam membangkitkan semangat orang Melayu yang telah hilang harga diri kesan daripada penggelapan sejarah.”

Bagi ISMA, kejatuhan umat Islam bukanlah pada ketika jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924, tetapi sebaliknya perlu dilihat bermula sejak kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511. Terdapat pelbagai peristiwa yang berlaku di antara 1511-1924 yang perlu dikaji dan dijadikan rujukan.

Dalam tempoh tersebut, berlaku banyak peristiwa yang dilakukan oleh generasi terdahulu dalam menegakkan kegemilangan Islam kembali di Tanah Melayu seperti pergerakan Wali Songo, Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan banyak lagi. Namun, dalam tempoh 400 tahun ini, tiada sebarang kisah perjuangan orang Melayu dicatatkan secara terperinci dalam buku teks sejarah kita. Kesan daripada penggelapan sejarah ini menyebabkan kita terputus daripada tamadun kita seterusnya menjadikan kita umat yang hilang semangat perjuangan.

Noriah bt Mohammad Diah, salah seorang peserta daripada ISMA Kedah, menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan kata-kata Ustaz Abdullah Zaik di mana orang Melayu perlu mempunyai jati diri dan lebih menonjol ke hadapan kerana Melayu ini sebenarnya dahulu umat yang gemilang. Ini terbukti pada Kesultanan Melayu yang hebat dan diketahui ramai namun sedihnya masyarakat kita sendiri tidak berapa mengambil berat.

“Justeru, kita perlu membuka kembali sejarah Melayu yang telah lama mendokong perjuangan Islam sejak dari dahulu. Sebagaimana diungkapkan oleh Ustaz Abdullah Zaik, sepanjang tempoh 400 tahun, tidak pernah timbul isu murtad di kalangan orang Melayu tapi sejak akhir-akhir ini, di era yang moden ini, semakin ramai pula yang murtad.”

Oleh: Siti Farhana Fathy
Wartawan/Jurufoto
Media ISMA

Sumber: Web ISMA Pusat

Share

About Penerangan ISMA Australia