Salah satu kelebihan yang ada di Adelaide ialah sistem pengangkutan awamnya seperti bas, tram, keretapi dan teksi yang sangat efektif. Kenderaan awam ini menjadi pengangkutan utama penduduknya untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Bagi pengunjung yang ingin bersiar-siar di sekitar kawasan bandar Adelaide, syarikat pengangkutan Adelaide Metro juga ada menyediakan pengangkutan bas secara percuma yang dikenali sebagai Adelaide Free Bus.
Dalam pada itu, Adelaide juga mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana mempunyai guided busway terpanjang di dunia dan perkhidmatan bas sub-bandar paling cepat yang dikenali sebagai “Adelaide O-Bahn”. Para penumpang boleh menikmati pemandangan hijau Torrens River sepanjang berada di atas laluan ini. Selain itu, basikal juga turut menjadi pilihan kebanyakan penduduknya dan laluan khas bagi kenderaan ini turut disediakan.
Bagaimanapun, para penuntut di Adelaide rata-ratanya memilih untuk menaiki pengangkutan awam ke universiti kerana perkhidmatannya cukup sistematik dan sangat menepati masa. Tambahan pula, para pelajar ditawarkan harga tiket yang lebih murah berbanding yang lain (concession for student) dan keistimewaan ini hanya terdapat di Australia Selatan. Ada juga pelajar yang memilih untuk berbasikal ke universiti kerana kenderaan ini agak mudah untuk digunakan, menyihatkan tubuh badan dan lebih murah. Untuk maklumat lanjut mengenai pengangkutan awam di Adelaide, anda boleh melayari ke laman web Adelaide Metro.
Disediakan Oleh:
Nur Fauziana Abu Bakar




















0 Comments
You can be the first one to leave a comment.