Adelaide, 15 April 2012 – Program Jalinan Musim Luruh atau lebih dikenali sebagai Autumn Gathering untuk tahun 2012 telah diadakan pada 6-8 April yang lepas bertempat di Longwood Camp, Mylor. Majoriti yang menyertai program ini terdiri daripada pelajar-pelajar yang baru sahaja menjejakkan kaki di bumi kangaroo pada awal tahun ini. Penyertaan pada tahun ini amat menggalakkan kerana hampir 90 orang pelajar dari pelbagai bidang bersama-sama menjayakan program ini. Program Autumn Gathering 2012 yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini membawakan tema yang berbeza berbanding program Jalinan Musim Luruh tahun-tahun yang lepas. Tema yang dibawa sepanjang program ini berlangsung ialah Man with a Mission.
Antara objektif program kali ini ialah memastikan setiap individu yang hadir dalam Autumn Gathering 2012 ini mempunyai misi peribadi yang selari dengan misi umat Islam. Program Autumn Gathering 2012 kali ini amat beruntung kerana dihadiri oleh 2 orang pembentang yang berkaliber iaitu Dr Rozanizam Zakaria selaku Ketua ISMA SA dan Dr Zaki Ibrahim selaku mantan pimpinan ISMA Australia. Dr Rozanizam Zakaria memulakan slot pertama beliau yang bertajuk My Mission. Pelbagai cerita dan pengalaman peribadi beliau kongsikan bersama-sama dengan para peserta yang hadir. Seterusnya, slot kedua dan ketiga dikendalikan oleh Dr Zaki Ibrahim. Slot kedua bertajuk Our Mission, My Mission dan slot ketiga bertajuk Our Mission, Their Mission. Pembentangan yang bertemakan Man with a Mission ini telah ditutup oleh Dr Rozanizam Zakaria.
Sepanjang 3 hari 2 malam di Longwood Camp, para peserta juga tidak ketinggalan untuk melakukan pelbagai aktiviti yang menarik yang bersifat indoor dan outdoor. Antara yang menarik perhatian dan kecekapan peserta ialah War Games dan Ekspresi Dirimu. Tidak ketinggalan juga, hadiah diberikan kepada kumpulan yang memperoleh mata tertinggi sepanjang aktiviti-aktiviti dijalankan. Bagi pihak lelaki, kumpulan yang mendapat tempat pertama dimenangi oleh kumpulan Red-Ho dan diikuti oleh kumpulan Good Boys. Bagi pihak perempuan, kumpulan yang mendapat pungutan mata yang tertinggi ialah kumpulan Nothing is Impossible (NI2). Peserta terbaik juga mendapat penghargaan daripada pihak penganjur. Peserta terbaik bagi pihak lelaki ialah Abdul Affan dan peserta terbaik bagi pihak perempuan ialah Nor Haslinda.
Semoga program Autumn Gathering 2012 yang telah dijalankan selama 3 hari 2 malam ini memberi seribu makna dan kenangan kepada para peserta serta ahli-ahli jawatankuasa yang bersama-sama menjayakan program ini dengan cemerlang. Semoga kita bertemu lagi dalam program-program yang akan datang seperti Winter Trip yang menjanjikan kenangan manis buat para peserta.
Disediakan oleh:
Wartawan Media ISMA Australia (South Australia)
Share







Komen Terbaru