Penulis adalah seorang doktor perubatan yang bekerja di Australia setelah menamatkan pengajiannya di Monash Univerity pada tahun 2008. InsyaAllah akan pulang ke Malaysia untuk berkhidmat di tanah akhir Mac ini. Berhasrat memanfaatkan cuti bersalinnya untuk membantu adik-adik yang bakal melanjutkan pelajaran ke Australia berbekalkan pengalaman lima tahun sebagai pelajar dan tiga tahun bekerja di Australia baik dari segi persediaan fizikal, mental, emosi dan kemahiran-kemahiran asas kehidupan untuk fasa transisi yang lebih baik setibanya di Australia nanti.
Satu kelegaan yang tidak dapat dinafikan. Setelah siri-siri penapisan demi penapisan bermula di peringkat UPSR, PMR, SPM, peperiksaan di kolej persediaan serta temuduga kemasukan ke universiti yang mendebarkan, akhirnya cita-cita untuk menuntut di luar negara hampir menjadi kenyataan. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar-pelajar pelbagai jurusan yang bakal terbang ke Bumi Australia untuk menyambung pengajian di universiti-universiti terbaik di sini. Setelah segala usaha yang tidak kenal erti jemu, anda layak untuk berasa bangga di atas kejayaan ini. Dan pastinya perasaan gembira turut dikongsi oleh ibu bapa dan ahli keluarga tercinta. Namun, tidak dapat dinafikan pasti banyak persoalan yang bersarang di minda menjelang tarikh penerbangan ke bumi Australia yang selama ini mungkin hanya dikenali melalui paparan-paparan gambar, movie dan dokumentari serta cerita-cerita rakan-rakan mahupun seniors yang pernah belajar di sini. Semoga perkongsian dari saya dapat membantu adik-adik semua untuk hijrah demi mengejar cita-cita anda seterusnya, menggenggam segulung ijazah dan menjadi modal insan yang berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.
Di sebalik kegembiraan ramai juga yang dibelenggu rasa kebimbangan. Perkara pertama yang sering difikirkan adalah sekitar keperluan asas seperti mencari rumah sewa dan mendapatkan makanan halal. Penulis teringat sewaktu menghadiri Program Semai Mesra Disember 2003, kakak-kakak seniors sentiasa cuba meyakinkan kami pelajar-pelajar baru bahawa makanan halal agak mudah diperolehi di sini. Tapi hakikatnya, selagi tidak sampai ke Australia anda mungkin tidak terbayang bahawa anda tidak perlu menukar selera anda kepada western food kerana dengan mudahnya anda boleh membeli makanan Melayu yang halal, atau memasak sendiri masakan Melayu kerana Australia secara amnya adalah negara yang sudah terdedah dengan kepelbagaian bangsa dan budaya termasuk masyarakat Melayu dan Indonesia. Justeru, bahan-bahan mentah yang sinonim dengan masakan Melayu sangat mudah untuk diperolehi. Jangan terkejut melihat cencaluk, belacan dan budu di kedai Asian Groceries yang berhampiran.
Pastinya pencarian rumah sewa akan menjadi pengalaman baru buat majoriti pelajar baru. Dari proses memilih housemates kepada proses memilih rumah, permohonan rumah sewa yang ingin disewa, persaingan dengan pelajar-pelajar baru yang lain, dan berurusan dengan Agent Rumah Sewa yang pelbagai karenah boleh menjadi agak merumitkan bagi yang kali pertama mengalaminya. Di sinilah peranan kakak-kakak dan abang-abang seniors sangat berguna. Menariknya belajar di luar negara, hubungan seniors dan juniors yang seolah-olah satu keluarga besar. Tradisi membantu pelajar-pelajar baru untuk settle down diwarisi sejak saya pertama kali menjejak kali ke bumi Australia lapan tahun lalu. Satu senario yang mungkin tidak terlalu dirasai di universiti-universiti tempatan. Malah kadang kala pelajar juniors dihantui pengalaman ‘buli’ oleh pelajar seniors. Di luar negara, lantaran bilangan kita yang mungkin sedikit hubungan menjadi lebih rapat dan bersifat kekeluargaan. Adik-adik boleh manfaatkan forum-forum soal jawab yang disediakan seperti Facebook Program Semai Mesra untuk terus bertanya seniors tip-tip penting sebagai persediaan sebelum berangkat.
Setelah mendapat rumah, bermulalah episod memindah barang, membeli alat keperluan asas, menguruskan internet, elektrik, gas dan air. Inilah erti berdikari yang sebenar. Sebelum ini mungkin segalanya telah tersedia bagi yang tinggal di rumah mahupun asrama kolej-kolej persediaan. Kita akan membuat jadual untuk bergilir-gilir memasak untuk seisi rumah. Dari hanya tahu menggoreng telur, insyaAllah kemahiran memasak akan terus diperbaiki hari demi hari. Mana tidaknya, masakan mulut kita mampu untuk makan menu yang sama setiap hari. Elok juga belajar beberapa resepi yang mudah dari ibu masing-masing sekarang sebagai permulaan. Jangan risau sekiranya kemahiran memasak anda tidak sejauh mana, kerana desakan perut dan mulut akan menjadikan anda berani mencuba resepi baru dan belajar untuk meningkatkan kepandaian memasak di dapur. Mengapa tidak beli sahaja makanan di luar? Di Australia, sekiranya ingin berjimat, tiada pilihan melainkan masak sendiri. Kos bahan mentah jauh lebih murah berbanding membeli makanan di kedai-kedai makan setiap hari.
Realitinya hijrah adik-adik ke bumi Australia akan mengubah diri anda, kalaupun tidak banyak, sedikit demi sedikit. Setiap cabaran akan menyerlahkan potensi diri sekiranya dihadapi dengan optimis dan positif. Hijrah ke Bumi Australia ini akan mengajar erti kedewasaan dengan menjadi seorang yang lebih berdikari. Jadi adik-adik, jangan risaukan apa yang anda tidak tahu sekarang. Yang paling penting kesediaan untuk belajar, dan bijak memanfaatkan pengalaman abang-abang dan kakak-kakak seniors untuk memastikan permulaan yang tidak terlalu sukar. Yang paling penting, pastikan perubahan yang berlaku perlu ke arah yang lebih positif seperti hadith berikut :
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
“Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung.
Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam, dia adalah orang yang rugi.
Penulis akan menyambung lagi artikel ini dengan sub topic yang lain pula di sekitar fasa transisi pelajar-pelajar baru di luar negara. Sekiranya adik-adik mempunyai sebarang isu yang dirasakan penting untuk dikongsikan oleh penulis, boleh email permintaan anda kepada baiebakrim@gmail.com.
Salam Ukhuwwah dari Bumi Kanggaroo,
Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim
MBBS Monash University 2008.
HMO Sunshine Hospital, Melbourne.
Mantan Ketua Wanita ISMA Australia 2010-2011.
Share




0 Comments
You can be the first one to leave a comment.