Ibu Bapa Stail Mana
Sudah lebih dua dekad saya hidup di muka bumi Allah ini. Dalam tempoh saya mematangkan diri saya bertemu dengan bermacam jenis anak-anak (atau adik-adik) dari pelbagai latar belakang. Hakikatnya, kita inginkan segalanya yang berlaku kepada kita hanya yang baik-baik sahaja, tidak yang buruk. Mungkin kerana kendali yang belum kuat dan teguh, ramai yang hanya bersama dalam lingkungan selamat. Namun, Alhamdulillah, Allah berikan saya peluang untuk berada bukan dalam lingkungan saya sahaja, tetapi lebih jauh dari itu.
Muqaddimah
Salah satu daripada tabiat tipikal guru-guru sekolah ialah melabel pelajar-pelajarnya. Bermacam-macam gelaran sampai ke telinga saya daripada mulut guru-guru ini, sehinggakan anak-anak murid mengikut sama memanggil dengan nama yang sama. Bagi saya itu satu perbuatan yang salah, kerana impak yang kita tidak nampak boleh berlaku kepada pelajar-pelajar ini ialah kepada psikologi mereka. Gelaran-gelaran tadi boleh menyebabkan pelajar tadi berasa inferioriti kompleks atau mula hilang keyakinan diri. Impak paling teruk ialah apabila mereka benar-benar menjadi seperti gelaran yang mereka panggil tersebut. Benar-benar jahat, benar-benar bahaya.
Di sebalik itu semua, ada beberapa hal yang kita perlu faham. Gelaran tersebut diberi atas simptom-simptom yang jelas pada mata kasar kita, lalu tanpa pendirian yang waras dan penaakulan yang mantap, kita terus melabel pelajar tersebut sebagai sekian-sekian. Mungkin kita perlu lihat lebih jauh lagi dalam memahami isu ini, seperti bertanya ‘mengapa mereka jadi begini?’ tidak dinafikan, kadang-kadang ianya berpunca daripada keluarga dan persekitaran ianya dibesarkan. Lebih spesifik, bagaimana ibu bapanya membesarkan anak-anak tersebut.
Stail keibubapaan
Dr. Diana Baumrind memperkenalkan empat jenis stail keibubapaan (parenting styles) yang boleh kita jadikan rujukan atau menambah pemahaman apabila mendidik anak-anak. Tidak perlu untuk kita pergi jauh mendalam memahami stail-stail ini, kerana memahami konsepnya sahaja mencukupi untuk kita menilai stail dan metod kita. Stail-stail yang berbeza ini berkemungkinan menjadi salah satu faktor kenapa anak-anak tadi menjadi seseorang seperti sekian-sekian. Seperti yang telah ditulis, menjadi salah satu faktor tidak menjadikan stail keibubapaan ini punca kepada kenapa anak-anak tidak menjadi dan sebagainya. Ada pelbagai faktor, dan stail ini hanya salah satu.
Authoritarian
Saya tidak dapat terjemahan yang paling sesuai dengan perkataan di atas, tetapi stail authoritarian ini ialah stail yang menekankan disiplin yang tinggi dan ketat daripada anak-anak. Anak-anak perlu mematuhi setiap undang-undang dan peraturan ibu-bapa. Apabila sesuatu keputusan dibuat, pandangan anak-anak ini tidak diminta, dan mereka hanya perlu patuh. Akibatnya anak-anak ini akan membenih sifat dan sikap memberontak. Mungkin dari kecil ianya tidak terlihat kerana dia tidak mampu melawan, namun apabila dia menjengah usia di mana dia mampu untuk membuat keputusan dan dia mempunyai sokongan rakan-rakan, dia mampu bertindak di luar jangkaan. Kanak-kanak ini juga akan gagal untuk bersosial (dalam erti membuat kawan) kerana tidak mampu untuk mengekspresikan diri, memberikan pendapat, dan lain-lain.
Permissive
Kadang-kadang kebebasan itu bagus, namun kebebasan tanpa had menjadikan manusia lupa batasan. Beginilah ibu-bapa yang memilih stail berikut, mereka mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak sehingga sanggup menunaikan apa sahaja permintaan anak-anak. Menyayangi anak itu perlu, tetapi sayang anak tangan-tangankan, apabila caranya tidak betul, maka anak akan jadi manja dan akan bertindak mengikut emosi yang tidak terhala dan terkawal. Kanak-kanak seperti ini mampu bersosial namun mempunyai sikap bangga diri yang melampau sehingga mahukan orang lain mengikut kehendak dan telunjuknya. Dia juga tidak akan bertanggungjawab di atas kesilapan yang dilakukan, malah akan mencari orang lain untuk disalahkan. Emosi dan amarah juga tidak terkawal, kerana merasakan dia mampu memiliki apa sahaja, maka dia juga mampu melepaskan apa sahaja, termasuklah kepada ibu-bapa sendiri.
Negligent
Jenis ibu-bapa yang tidak ambil kisah atau ambil tahu perkembangan anak-anaknya. Perjalanan kehidupan anak-anak tidak diambil tahu, samada sihat, sakit, cemerlang dalam pelajaran ataupun gagal. Berkemungkinan ibu-bapa seperti ini ialah ibu-bapa yang kahwin di usia muda tanpa pekerjaan yang tetap dan mampu untuk menyara keluarga nukleus. Anak-anak diserahkan kepada orang lain untuk dijaga dan seumpamanya. Mereka ini apabila dewasa akan menghadapi tekanan emosi terhadap ibu-bapa mereka yang tidak mengambil peduli. Berkemungkinan tidak akan ambil tahu langsung mengenai ibu-bapa tadi. Sekiranya anak-anak tadi tidak mendapat sokongan daripada ahli keluarga terdekat atau saudara-mara, maka ia boleh mempengaruhi tindak-tanduk dan perilakunya. Boleh jadi dia akan membuat sesuatu yang drastik untuk mendapat perhatian daripada orang lain, kadang-kadang disalah tafsir, walaupun dia cuma mengemis untuk secebis kasih.
Authoritative
Stail yang paling ideal daripada tiga stail asas di atas. Ibu-bapa memberikan kasih sayang seada dan semampunya kepada anak-anak tanpa berlebih-lebih. Memberi anak-anak kebebasan untuk membuat pilihan, namun terhad kepada ruang-ruang dan tahap tertentu. Mereka juga memberi ruang untuk anak-anak berbincang, bertanya pendapat, dan membuat pilihan melalui konsultasi sesama mereka. Ibu-bapa yang optimis dengan anak mereka, memberi sokongan padu serta motivasi kepada anak-anak mereka atas pilihan dan komitmen yang mereka buat, hasil perbincangan dan konsultasi. Anak-anak juga sedar dan faham akan peraturan yang ditetapkan, juga hukuman yang akan diberi bagi setiap kesalahan. Anak-anak ini mampu menjadi seorang yang bertanggungjawab apabila memikul amanah, juga seorang yang optimis dengan peluang-peluang yang ada di hadapan. Mereka mampu untuk bersosial dengan baik dan memberi pendapat yang wajar dengan topik perbincangan.
Campur-campur
Ada daripada ibu-bapa yang mengamalkan campuran daripada stail-stail di atas yang mana kebanyakannya akan membawa kemudaratan yang lebih dahsyat kepada anak-anak seperti stail permissive ditambah dengan negligent, hasilnya ialah anak-anak yang kadar sosialisasinya melampaui batas, ciri-ciri ini selalunya digambarkan oleh drama Melayu sebagai anak-anak orang kaya yang ibu-bapanya terlampau obses dengan kerja.
Authoritarian dan negligent menjadikan anak-anak yang tidak mampu untuk berfikir untuk diri sendiri. Dalam masa dia perlu patuh kepada peraturan-peraturan keluarganya, dia juga tidak dihiraukan oleh kedua orang tua. Ini akan mengakibatkan anak-anak tadi lebih stress dan emosinya terganggu.
Stail Islami
stail yang paling ideal iaitu authoritative ialah yang paling hampir cirinya dengan nilai keluarga Islam. Cuma di situ tidak jelas penerapan nilai-nilai Islamnya. Maka ianya perlu dimurnikan dengan beberapa tambahan seperti, ibu-bapa mementingkan mengenal Islam dahulu daripada hal-hal lain yang tidak penting (boleh rujuk artikel saya sebelum ini). Seperti yang telah saya terangkan di dalam artikel sebelum ini, pendidikan anak-anak tidak berlu diajar secara terang di peringkat awal, cukup dengan kita membiasakan anak-anak dengan persekitaran Islami. Apabila anak-anak sudah mampu untuk bercakap dan bergaul, ketika itu kita boleh perlahan-lahan untuk mengajarkan nilai-nilai tadi secara terus dan terang supaya dia memahami tanggungjawabnya.
Pengecualian
Disebalik contoh-contoh yang dibawa diatas, tidak dinafikan bukan semua anak-anak akan menjadi sedemikian teruk. Saya telah bertemu dengan anak-anak yang tidak mendapat perhatian yang cukup tetapi masih mampu untuk membentuk dan membina pekerti diri mulia dengan akhlak Islami. Ini kerana faktor yang mampu merosakkan tadi telah disokong oleh faktor lain yang tidak akan menghampakan anak-anak tadi seperti sokongan daripada saudara-mara. Contoh-contoh tadi diambil secara umum tanpa merujuk kepada sesiapa secara spesifik. Ciri-cirinya diambil daripada bacaan juga hasil pemerhatian saya kepada anak-anak yang saya temui.
Apa stail anda?
Apa sahaja yang anda pilih, teknik dan metod apa sahaja yang anda gunakan untuk mendidik anak-anak, ingatlah bahawa ia akan menjadi salah satu faktor penentu siapa anak anda di masa hadapan. Dan anak-anak bukan bahan ujikaji yang kita boleh tukar-tukar skop dan teknik eksperimen. Anak-anak yang kecil pun punya perasaan dan mampu memberi reaksi terhadap tindakan dan percakapan anda, kalau sekali dia telah terluka, apakah akan ada harapan untuk dipulihkan kembali?
Oleh: Mohd Azmir bin Mohd Razli,
ISMA Shah Alam-Klang
Blog: Kalam Yang Berbicara



