INFO MELBOURNE
Melbourne merupakan ibukota dan bandar yang mempunyai populasi yang paling padat di dalam State of Victoria, dan merupakan bandar kedua paling besar di Australia. Pusat bandar Melbourne (juga disebut sebagai “CBD” – “Central Business District”) merupakan pusat kepada lingkungan kawasan yang lebih luas, yang dikenali sebagai kawasan metropolitan Greater Melbourne – Melbourne ialah nama umum untuk Greater Melbourne. Antara kawasan-kawasan di luar CBD yang seringkali menjadi kawasan kediaman pelajar luar negara adalah seperti Brunswick, Parkville, Coburg, Carlton, Monash, dan North Melbourne. Penduduk Melbourne dipanggil Melburnian.
Selain mempunyai sejumlah universiti yang berkualiti, Melbourne juga merupakan bandar yang sering dikaitkan dengan stail, fesyen, makanan, senibina, teater, galeri, tram dan taman-taman rekreasi.
Antara universiti yang terdapat di Melbourne ialah:
- Deakin University
- Monash University
- Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT University)
- Swinburne University of Technology
- University of Melbourne
- La Trobe University
View Universities in Melbourne in a larger map
Melbourne terkenal dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Sedikit tip bagi sesiapa yang ingin ke Melbourne – bawa payung dan pakai baju berlapis-lapis yang boleh dipakai atau dibuka mengikut keperluan!
Walaupun Melbourne dikenali sebagai tempat yang sering hujan, bandar ini sebenarnya mempunyai kadar hujan yang sedikit berbanding Brisbane atau Sydney.
Melbourne juga merupakan tempat yang amat sesuai untuk melihat perubahan musim. Semasa musim panas, kebanyakan orang akan kelihatan bersiar-siar di pantai. Semasa musim luruh, anda akan menikmati landskap taman-taman stail Eropah yang banyak terdapat di CBD. Begitu juga musim bunga. Musim sejuk pula dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti bermain ski di kawasan-kawasan pergunungan.
- Musim panas (Summer) – Disember ke Februari, ~14°C – 25°C
- Musim luruh (Autumn) – Mac ke Mei, ~11°C – 20°C
- Musim sejuk (Winter) – Jun ke Ogos, ~7°C – 14°C
- Musim bunga (Spring) – September ke November, ~10°C – 20°C
State of Victoria terletak dalam Zon Waktu ACT (Australian Central Time) +10 (Malaysia +8.00). Seperti negara 4 musim yang lain, terdapat tempoh “Daylight Savings” di mana waktu diawal atau dilewatkan untuk disesuaikan dengan tempoh waktu siang dan malam semasa.
