ISMA Teruskan Misi Dakwah Dan Kebajikan di Acheh

korbanismaaceh

Seperti Hari Raya Aidil Adha pada tahun-tahun yang sebelumnya, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) meneruskan misi dakwah dan kebajikan merentas sempadan dengan menghantar delegasi untuk menziarahi Pondok Anak Yatim Ar-Raudhah di Kota Lhokseumawe, Acheh dan melakukan ibadah korban di sana. Rombongan ISMA terdiri daripada tujuh orang ahli yang diketuai oleh Ustaz Wan Hisham bin Wan Embong daripada Biro Dakwah dan Kebajikan ISMA.

Objektif rombongan ziarah ISMA ke Acheh kali ini ialah melaksanakan ibadah korban serta menyambut Hari Raya Aidul Adha di sana bersama-sama penghuni Pondok Anak Yatim Ar-Raudhah dan penduduk setempat sekitar Perkampungan Blang Weu Panjoe, Kota Lhokseumawe, Acheh. Rumah anak yatim ini merupakan institusi kebajikan yang dikelolakan oleh Yayasan Ar-Raudhah dan ISMA.

Rombongan ISMA telah bertolak ke Acheh pada 28 November 2009 bersama dengan beberapa orang wakil daripada Yayasan Ar-Raudhah Malaysia. Di Acheh mereka menginap di Pondok Anak Yatim Ar-Raudhah di Perkampungan Blang Weu Panjoe yang terletak kira-kira 10km dari Kota Lhokseumawe.

Ibadah korban telah berlangsung selama tiga hari bermula hari pertama Aidil Adha hingga tiga hari berikutnya. Sebanyak 14 ekor lembu dan 20 ekor kambing telah disembelih untuk dibahagikan kepada anak-anak yatim dan golongan fakir miskin. Menurut Pengetua Pondok Anak Yatim Ar-Raudhah iaitu Encik Hamdani, haiwan-haiwan korban ini merupakan sumbangan bantuan daripada pelbagai pihak terutamanya dari Yayasan Ar-Raudhah Malaysia, ISMA dan PKPU Lhokseumawe.

Upacara menyembelih, melapah dan mengagihkan daging-daging korban tersebut telah dilaksanakan secara gotong-royong oleh rombongan ISMA, penduduk kampung serta pelajar-pelajar Pondok Anak Yatim Ar-Raudhah. Sepanjang berlangsungnya acara, Pondok Anak Yatim Ar-Raudah ini dibanjiri oleh penduduk-penduduk kampung di sekitarnya yang datang untuk mengambil bahagian daging masing-masing.

Selain melakukan ibadah korban bersama anak-anak yatim, rombongan ISMA juga telah berkesempatan untuk menziarahi tempat-tempat bersejarah peristiwa tsunami di Acheh yang telah meragut lebih dari 200,000 nyawa pada 26 Disember 2004. Setelah hampir 5 tahun berlalu, proses pemulihan akibat kesan-kesan bencana tsunami masih lagi berterusan di sana.

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!