Artikel, Karya Kreatif, Victoria, Wanita & Keluarga — April 27, 2011 at 12:22 am

JOM IBADAHKAN SUKAN!

by

Daun-daun mula kekuningan dan berguguran di laluan pejalan kaki sepanjang Royal Parade bersebelahan Princess Park. Sambil kaki melangkah tanpa henti, hati kecil Amirah berasa sungguh gembira kerana impian untuk merasai pengalaman musim luruh di bumi asing  sudah pun jadi kenyataan. Kalau dulu, Amirah cuma mampu menatap gambar-gambar negara empat musim ketika edisi Salam Perantauan diterbitkan oleh akhbar-akhbar.

Bukan Amirah berasa sahaja begitu, Anis juga rupanya serupa. Hatinya turut sama menikmati indahnya bumi Tuhan ketika musim luruh bertandang.

“Alhamdulillah.” ujar Amirah dan Anis serentak.

“Kenapa awak?” Anis cepat-cepat bertanya.

“Oh, tak ada apa-apa. Saya sedang berfikir tentang musim luruh ni. Rasa gembira sebab dah ada di sini, dan dapat rasai sendiri.”

“Samalah, saya pun. Alhamdulillah, sangat-sangat bersyukur juga.”

Amirah dan Anis sungguh riang. Pada masa yang sama, kaki mereka terus melangkah menuju ke universiti. Dalam setengah jam sahaja lagi kelas Biologi akan bermula inshaAllah.

“Mmm…awak tengoklah. Rajin betul orang-orang kat sini bersenam. Saya rasa setiap kali saya lalu di sini, susah nak jumpa satu masa yang memang tak ada orang tengah bersenam. Tengok tu, pak cik yang dah berumur tu pun masih lagi mampu jogging.”

“Betul cakap awak Anis. Saya pun kagum juga. Kalau masa kat sekolah berasrama dulu, sayalah antara pelajar yang paling jarang beriadah. Tiba-tiba rasa segan dengan mereka..”

“Eh, nanti ada Melbond masa cuti Easter ni kan? ”

Melbond? Apa pula tu? Tak pernah dengar pun,” Amirah kehairanan. Pertama kali dalam hidup dia mendengar perkataan itu.

“Tak silap saya, Melbond tu macam satu acara sukan dan permainan. Tahun ni inshaAllah akan ada beberapa acara macam badminton dan bola jaring. Baling selipar pun ada,” ujar Anis riang.

“Mana awak tahu semua ni?” soal Amirah pula.

“Masa saya pergi Kuliah Selasa hari tu, ada orang buat pengumuman tentang Melbond. Satu untuk pelajar lelaki. Satu lagi, inshaAllah 30hb April ni pula untuk pelajar perempuan sahaja. Seronok kan?”

“Apa lagi yang dia cakap?”

“Tak banyak pun. Dia cuma beritahu maklumat asas macam tempat, tarikh, jenis permainan yang dipertandingkan dan bayaran. Saya pun tak berapa ingat kalau ada hal-hal lain yang dimaklumkan masa tu. Tapi lepas tu, saya ada tanya beberapa perkara lagi kat Kak Noor. Dan Alhamdulillah, banyak jugalah ilmu yang Kak Noor kongsikan hari tu,” bilang Anis pada Amirah lagi.

“Maksud awak, Anis?”

“Begini. Kata Kak Noor, Islam sebenarnya amat menggalakkan penganutnya untuk menjadi seorang Muslim yang kuat. Dan Kak Noor ada kongsikan sebuah hadith yang berkaitan. Kejap ye, saya cuba cari balik.” balas Anis sambil membelek-belek helaian buku nota yang berada di tangannya. Anis memang begitu. Buku notanya sering dibawa ke mana-mana. Di dalamnya, Anis suka mencatat apa sahaja perkara yang dirasakannya penting dan berguna.

“Ok, dah jumpa. Kata Kak Noor, ada sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang antara maksudnya adalah seperti berikut:

“Seorang Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih disayangi oleh Allah berbanding seorang Mukmin yang lemah…”

Dan hadith ni diriwayatkan oleh Muslim.”

“Anis, boleh awak terangkan lagi tak?”

“Macam ni…apa yang saya faham, adalah penting untuk kita sebagai seorang Muslim menjadi seorang yang kuat, baik dari segi fizikal dan lain-lain. Lagipun, orang yang kuat tentu lebih bermanfaat sama ada untuk dirinya mahupun untuk manusia lain juga inshaAllah. Antara contohnya adalah kalau saya kurang menjaga kesihatan sama ada dari segi pemakanan yang tidak sihat mahupun kurang melakukan aktiviti fizikal seperti bersukan dan seumpamanya, badan saya mungkin kurang cergas dan boleh jadi, lebih mudah dapat penyakit dan jatuh sakit. Akhirnya, bila saya sering jatuh sakit ataupun kurang bertenaga untuk buat kerja, saya mungkin tak dapat tolong orang lain yang memerlukan bantuan masa tu. ”

“Betul juga. Minggu lepas, ingat tak ada satu hari kelas kita mula dari pagi sampai lewat petang? Habis sahaja kelas, saya rasa penat seluruh badan, dan malam tu saya rasa macam dah tak larat nak pergi mana-mana. And sadly I missed the fiqh class held that night.” tambah Amirah. Berbunyi sedikit kesal.

Anis cuma mengangguk. Anis juga sedar. Dia sendiri banyak terlepas peluang berbuat kebaikan gara-gara keadaan badan mahupun kesihatan yang kurang memuaskan.

“Anis, apa lagi yang Kak Noor cakap ye?” tanya Amirah selepas seketika.

“Oh, Kak Noor ada terangkan juga tentang cara sepatutnya untuk seorang Muslimah bersukan ataupun beriadah.”

“Maksudnya?”

“Tentang pakaian. Kata kak Noor, niat bersukan untuk menjaga kesihatan memang bagus. Tapi, niat kita tak menghalalkan kita untuk membuka aurat semata-mata untuk bersukan. Jadi, pentinglah untuk kita sebagai muslimah sentiasa memerhatikan pakaian bagaimana yang kita mahu pakai semasa bersukan nanti sama ada menutup aurat ataupun tidak.”

Ketika Anis menerangkan tentang pakaian, imej Roqaya al-Gassra yang lengkap berpakaian dengan tudung bermain-main di fikiran Amirah. Begitu juga imej Roqaya yang sujud syukur di atas trek larian selepas memenangi emas acara pecut 200 meter di Sukan Asia Doha tahun 2006 yang lalu.

Seketika, Anis bersuara lagi. “Awak tahu, rupanya Nabi s.a.w pun pernah berlumba dengan isterinya. Ini ada disebut dalam sebuah hadith yang diceritakan oleh Aisyah r.a. Antara maksudnya adalah seperti:

“Suatu ketika dia bersama Rasulullah saw dalam satu perjalanan. (‘Aisyah berkata, “Saat itu badan saya belum gemuk.”) Beliau menyuruh para sahabat-sahabatnya, “Kamu semua jalan ke depan dahulu! (Mereka pun mendahului Nabi).” Beliau kemudian berkata. “Mari kita lumba lari!” Saya pun lumba lari dengan beliau. Saya berjaya mengalahkan beliau. Beberapa lama kemudian saya keluar bersama beliau dalam satu perjalanan. Beliau menyuruh kepada para sahabatnya, “Kamu semua jalan dahulu.”. Beliau kemudian berkata kepada saya “Mari kita lumba lari!” Saya telah lupa peristiwa dulu. Badan saya pada saat ini sudah gemuk. Saya berkata, “Bagaimana saya boleh lumba lari dengan engkau, wahai Rasulullah, padahal badan saya sekarang begini?” Beliau berkata “Tidak mengapa lakukan sahaja.” Lalu saya pun lumba lari dengan beliau dan beliau berjaya mengalahkan saya. (Beliau tertawa) seraya berkata “Kemenanganku ini sebagai balasan kemenanganmu dulu”.

Hadith ni diriwayatkan oleh Al Humaidi, Abu Daud, Nasa’I, Ahmad, Thabrani dan Ibnu Majah.

“Comelnya, mereka suami isteri beriadah bersama-sama,” ucap Amirah sambil tersenyum.

“Betul, dan dari kisah tu juga kita boleh lihat kepentingan untuk menjaga kesihatan tubuh badan baik lelaki atau perempuan. Selain daripada pakaian, Kak Noor ada sentuh tentang adab-adab bersukan juga. Contohnya, dalam bersukan seharusnya tidak ada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan muhrim. Kalau dalam hadith tadi, dibolehkan sebab Rasulullah s.a.w dan Aisyah r.a adalah suami isteri.

Selain pergaulan, adab yang perlu dijaga termasuklah adab apabila menjadi penyokong. Jangan sebab menyokong pihak tertentu, kita jadi fanatik dengan kumpulan tertentu sehingga kita timbulkan fitnah atau perselisihan,” terang Anis panjang lebar.

Amirah mengangguk-angguk tanda setuju. Tapi pada masa yang sama, Amirah turut mengimbas kembali kisah silam sewaktu di bangku persekolahan. Dulu, Amirah adalah penyokong setia pasukan bola keranjang meskipun kebiasaanya Amirah memang liat untuk keluar beriadah. Ketika perlawanan berlangsung, Amirah juga adalah antara pelajar yang akan sentiasa berada di tepi gelanggang memberi sokongan. Baik kata-kata positif buat menyokong teman sekolah mahupun kata-kata negatif untuk menggoyahkan semangat pihak lawan. Pernah juga, Amirah berperang mulut dengan penyokong pihak lawan daripada sekolah lain semata-mata untuk mempertahankan satu gol yang dipertikaikan pihak lawan. Bukan sahaja perkataan, botol air juga pernah jadi alat untuk menyerang.

“Huh..malunya. Apalah yang aku fikirkan masa tu? Padahal semua tu sekadar permainan. Sepupu aku juga yang main untuk kumpulan sekolah tu,” monolog Amirah di dalam hati. Dia teringat akan peristiwa bermasam muka dengan sepupunya beberapa minggu lamanya gara-gara pergaduhan yang timbul rentetan perlawanan bola keranjang tersebut.

“Err…Amirah, awak ok tak ni? Awak senyap saja dari tadi.”

“Oh, tak ada apa-apa. Teringat cerita dulu-dulu. Lagi, apa yang Kak Noor beritahu awak?” ujar Amira sambil cuba menutup cerita silam. Biar yang lalu jadi teladan, bukan racun yang merosak kehidupan.

“Mmm..apa lagi ye? Oh, a’ah. Kak Noor pun ada cakap tentang kewajipan sebagai Muslim. Jelas Kak Noor, kita bukan sahaja mahu bersukan atau beriadah sebagai seorang Muslim, tapi kita juga tak akan mengabaikan kewajipan-kewajipan sebagai Muslim yang lain semata-mata atas nama sukan.”

“Maksud awak, kalau tiba waktu solat, kita harus mengutamakan solat daripada sukan?” tanya Amirah.

“Ya, itu adalah salah satu contoh yang kita boleh ambil. Selain solat, kita juga ada kewajipan lain untuk dilakukan. Misalnya, belajar, tanggungjawab atau tugasan sebagai ahli rumah dan macam-macam lagi.

Pendek kata, apa yang boleh saya simpulkan adalah, kita mahu bersukan dengan niat yang betul dan dengan cara yang betul. Kita mahu jadikan sukan atau riadah tadi sebagai ibadah yang mana kita lakukan ikhlas kerana Allah. Sepanjang bersukan juga, kita pelihara adab-adabnya dan kita penuhi tuntutan yang telah Islam gariskan untuknya. InshaAllah, dengan cara itu, kita akan dapat penuhi masa dengan betul, dapat cergaskan badan dan paling penting, moga Allah redha dengan apa yang kita lakukan.” ujar Anis bersungguh-sungguh. Ketika itu juga, mereka sudahpun menghampiri Union House di dalam persekitaran Melbourne University.

Amirah pula tersenyum. Rasa lapang. Dan riang. Perkongsian Anis selalu bermanfaat. Sebab itu jugalah Amirah tetap senang untuk kadang-kala berjalan bersama-sama Anis ke universiti meskipun rumah mereka agak jauh sedikit dan memakan masa kira-kira setengah jam untuk tiba di kelas.

“Kalau macam tu, saya pun nak mendaftar jugalah untuk Melbond tu nanti inshaAllah. Harap-harap kat sana nanti saya dapat praktikkan apa yang awak dah kongsikan tadi inshaAllah.” Kata Amirah.

“Alhamdulillah!”

Disediakan oleh,

Pena Che Wan

BIWANIS 2011

Share

Leave a Reply

— required *

— required *