Kenapa Perbankan Islam?

Sekali sebulan, kami dari BIJAK-ISMA akan kongsikan sebuah artikel berkenaan sesuatu perkara menarik yang dipelajari oleh para pelajar di bumi Australia ini. Untuk membaca artikel-artikel lain di dalam siri ini, sila klik di sini. Antara artikel yang telah diterbitkan ialah “Sebiru Hari Ini”, “Ada Apa dengan Farmasi” dan “Australia dan Rahsia Keunikannya”.

___________________________________________________________________________________

Setiap daripada penduduk dunia hari ini memerlukan perkhidmatan bank untuk memudahkan urusan hidupnya. Tentunya kita juga tidak terkecuali sebagai seorang individu yang memerlukan perkhidmatan bank. Namun, sebagai seorang Islam kita dituntut oleh Allah untuk lebih berhati-hati dalam mengurus wang dan harta kita.

“Tidak akan lepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya lima perkara: Tentang umurnya ke mana ia habiskannya, tentang kepemudaan dan kepemudiannya di mana digunakan, dan tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana dibelanjakan, dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya.” (Riwayat At-Tirmidzi, no 2416; Albani: Sohih)

Islam amat menuntut agar kita mengurus harta dengan baik dari sudut cara mendapatkan dan membelanjakannya kerana ia akan menjadi darah daging kita. Allah juga menggalakkan dan menghalalkan urusan jual beli tetapi mengharamkan riba yang sangat sinonim dengan sistem kewangan dan perbankan konvensional pada hari ini. Unsur-unsur riba terdapat dalam akaun-akaun simpanan, skim-skim insurans, pinjaman dan sebagainya.

“Jauhilah 7 dosa besar, syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi yang adil)”. (Riwayat Bukhari Muslim)

Secara jauh dari mata kasar, produk-produk perbankan Islam kelihatan seolah-olah sama dengan perbankan konvensional. Malah dalam banyak keadaan, kos perbankan Islam adalah lebih mahal dan pinjaman daripada bank-bank Islam adalah lebih sukar untuk diperolehi. Tetapi jika diteliti struktur produk-produk perbankan Islam tersebut, ia adalah sebenarnya lebih berhati-hati, teliti dan adil untuk semua pihak.

Perbezaan Perbankan Konvensional dan Perbankan Islam

Perbankan Konvensional Perbankan Islam
Fungsi dan operasinya didasari sepenuhnya oleh prinsip dan disiplin yang dibuat oleh aqal manusia “man-made principle” Fungsi dan operasinya dipastikan sedaya mungkin agar menurut kehendak Al-Qur’an dan As Sunnah
Dalam produk pelaburannya, pelabur dijanjikan dengan kadar faedah tetap. Ia sebenarnya aktiviti pinjam meminjam dengan riba. Dalam produk pelaburannya, bank Islam mempromosikan system perkongsian risiko dan untung di antara pelabur dan pengurus dana pelaburan. Tiada sebarang kadar keuntungan tetap dijanjikan. Keuntungan akan dibahagikan berdasarkan keuntungan sebenar.
Mensasarkan keuntungan tanpa had batasan agama dan moral Mensasarkan keuntungan yang menepati disiplin Islam yang terhad kepada sesuatu yang mendatangkan manfaaat kepada masyarakat sejagat.
Tidak mengendahkan persoalan zakat Terlibat dalam pembayaran zakat, ia merupakan tanggungjawab social yang diberikan oleh bank bank Islam.
Produk pinjaman penggunanya mengamalkan system pemberian pinjaman wang kepada pelanggan yang dikenakan faedah interest yang berganda. Produk penggunanya menggunakan transaksi jual beli atau sewa asset dan bukan akad pinjaman wang.
Mengenakan tambahan wang penalty yang compounding di atas wang pinjaman sekiranya terdapat kelewatan pembayaran. Mengenakan wang compensation ke atas kelewatan tetapi tidak dimasukkan ke dalam pendapatan bank sebaliknya disalurkan terus kepada kebajikan.
Kepentingan utama hanyalah menjaga kepentingan bank, tiada sebarang kepentingan untuk memastikan pembangunan ekuiti Memberikan penekanan kepada projek yang boleh memberikan manfaat kepada kepentingan masyarakat. Sasaran utama adalah memastikan pembangunan beserta ekuiti.
Pemberian pinjaman oleh bank konvensional adalah mudah, tanpa memerlukan sebarang asset. Konsep mereka wang boleh melahirkan wang. Wang tidak boleh melahirkan wang melalui pinjaman. Justeru itu, sebarang pembiayaan mestilah mempunyai asset yang dikenal pasti underlying asset.
Penilaian besar diberikan kepada kemampuan meminjam untuk membayar pinjaman sahaja, tanpa mengendahkan berkenaan apa berlaku dengan sesuatu projek yang dilakukan pelanggan. Penilaian besar juga diberikan terhadap potensi atau viability, prestasi dan prospek projek yang sedang dibiayai.
Bank mendapat pendapatan melalui kadar tetap faedah (fixed interest) yang dikenakan kepada pelanggan. Memperoleh pendapatan mengikut konsep kongsi untung dan rugi bersama pelanggan. Pihak bank memberi perhatian lebih kepada membiayai perkembangan projek.
Hubungan bank dan pelanggan adalah: memberi pinjam dan peminjam. Hubungan bank dan pelanggan adalah: penjual, pembeli atau rakan kongsi.

Menurut laporan Bank Negara, setelah 24 tahun industry perbankan dan kewangan Islam bertapak di Malaysia, industry perbankan dan kewangan Islam hanya mampu menguasai 12% daripada jumlah keseluruhan pasaran perbankan dan kewangan negara. Di Negara yang majoritnya adalah ummat Islam, peratusan penggunaan system kewangan dan perbankan Islam wajar lebih tinggi daripada 12%. Oleh itu, ummat Islam patut lebih disedarkan lagi akan tuntuan untuk mengurus kewangan mereka berdasarkan syarat demi keberkatan harta dan keredhaan Allah.

Rujukan:

“Wang, Anda dan Islam: Halal dan Haram dalam Kewangan dan Perbankan”, 2008, Zaharuddin Abdul Rahman.

oleh:
Thuaibah Abdul Ghani
Bachelor of Commerce
Australian National University

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!