Keputusan Peperiksaan Diumumkan

Adelaide, 4 Dis. – Musim peperiksaan telah lama berlalu. Saat paling mendebarkan pelajar universiti di Adelaide kini tiba apabila keputusan peperiksaan diumumkan di laman portal universiti masing-masing. Ada yang menerima keputusan satu persatu secara beransur-ansur, ada juga yang telah ditetapkan tarikh pengumuman keputusan.

Telah menjadi lumrah alam/sunnatullah, kegagalan dan kejayaan merupakan ketentuan dari Allah. Semuanya telah ditetapkan. Hanya manusia yang perlu merungkai takdir dengan takwa sebagai hambaNya. Subjek-subjek profesional seperti perakaunan dan perubatan merupakan subjek kritikal yang mudahnya menguji kesabaran para penuntut. Tidak kurang juga dengan subjek-subjek lain. Semuanya menuntut aplikasi tawakal dalam pengharapan kepadaNya.

Kebanyakan pelajar University of Adelaide menunggu waktu yang sesuai, iaitu selepas tarikh akhir ’supplementary test’ untuk terbang pulang bercuti atau pulang menamatkan pengajian ke Malaysia. Lain pula halnya dengan pelajar University of South Australia (Unisa) yang majoritinya pulang sejurus selepas peperiksaan tamat, berikutan tarikh ’supplementary test’ yang bermula selepas cuti musim panas.

Rata-rata pelajar telah pun menerima keputusan ujian masing-masing (kecuali pelajar Unisa dan Flinders University yang dijadualkan menerima keputusan pada pertengahan Disember). Para pelajar yang berjaya melepasi had ‘pass’ kini ceria menunggu waktu pulang ke Malaysia dengan perancangan-perancangan masa depan yang telah/sedang diatur. Para pelajar yang perlu menduduki semula peperiksaan (supplementary test), telah mula mengumpul semula bahan dan merancang jadual pembelajaran bersama rakan-rakan. Tak kurang juga para pelajar yang bekerja sambilan bagi menambah wang saku.

Bertanya kepada adik-adik yang pulang ke Malaysia tentang perancangan musim cuti, selain menghabiskan masa terluang bersama keluarga, ramai yang tidak sabar menghadiri majlis perkahwinan saudara-mara dan senior-senior.

Bagi pelajar yang tidak pulang ke Malaysia, pelbagai program telah diatur, bagi memanfaatkan masa yang ada. Jalan-jalan, bekerja sambilan, summer school dan pelbagai rancangan lagi telah diatur sebaiknya.

Biar apa sekalipun aturan perjalanannya, masa merupakan harta bernilai yang tak mampu dibeli hatta dengan apa sekalipun.Bak kata pepatah arab, masa ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, nescaya dia yang akan mencantas kamu. Selamat memanfaatkan masa!

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!