Laporan Perkhemahan Survival ISMA-NSW

Pada tanggal 23 hingga 25 November 2009, 9 orang ahli ISMA-NSW telah terlibat dengan jayanya dalam perkhemahan Survival ISMA NSW yang berorientasikan bushwalking sejauh 28km di hutan Wollomeri National Park NSW. Antara Objektif yang ingin dicapai melalui perkhemahan ini ialah:

  1. Melengkapkan wasilah tarbiah = kesusahan
  2. Ketaatan, Disiplin dan jiddiyah (kesungguhan)
  3. Ukhuwwah dan tsiqah (kepercayaan)
  4. Menghidupkan Iman

Tema: “Tiada Bumi yang Menghalang, Tiada Kesusahan yang Menggerunkan”

Alhamdulillah, perkhemahan yang diketuai oleh kem komandan: Saudara Zafiq telah berjalan dengan baik dan lancar. Berikut merupakan laporan harian sepanjang perkhemahan berlangsung.

23 November 2009


Para peserta telah berkumpul di Rosberry pada malam sebelumnya. Setelah selesai solat Subuh, para peserta bertolak menuju ke Wollomi National Park sekitar jam 5.00 a.m. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit, dengan menggunakan 2 buah kereta, memberi sedikit ruang untuk para peserta berehat sambil bermesra sesama sendiri.

Para peserta tiba di Sams Way, pintu masuk ke Wollemi National Park-Colo Meroo Trail, sekitar jam 7.30 pagi. 15 minit digunakan untuk membuat persiapan terakhir dan mendengar taklimat daripada Commander. Bacaan doa sebelum memulakan perjalanan telah diketuai oleh saudara Anas. Para peserta memulakan perjalanan dengan penuh bersemangat.

Hujan renyai yang turun beserta suhu persekitaran yang rendah sedikit sebanyak mengurangkan rasa penat para peserta sepanjang perjalanan. Dalam perjalanan ke tempat perkhemahan yang pertama, para peserta berhenti berehat beberapa kali serta menunaikan solat Duha dan mendengar tazkirah pertama oleh saudara anas. Pemandangan alam yang memikat hati membuatkan para peserta merasa takjub dengan kebesaran alam ciptaan Allah SWT serta memberi ruang kepada para peserta untuk bermuhasabah.

Cabaran sebenar hari pertama bermula selepas sesi berehat. Laluan yang sepatutnya diambil menjadi tidak jelas sehingga para peserta telah mengambil jalan yang lain secara tidak sedar. Setelah meredah hutan beberapa ketika barulah disedari bahawa para peserta telah berjalan off-track. Berbekalkan kompas dan peta topografi, dihematkan jua tekad dan tawakal kepada Allah, para peserta terus meredah hutan menuju kearah sungai sehingga bertemu semula dengan laluan. Pengajaran yang bernilai dapat diambil melalui pengalaman ini iaitu hendaklah sentiasa peka dengan perubahan sekeliling dan berhati-hati dalam mengambil keputusan. Sikap sabar dan bertenang dalam membuat keputusan amat penting apabila berhadapan dengan situasi genting seperti ini.

Perjalanan diteruskan dengan lancar mengikut laluan yang tersedia. Setelah meredah semak, naik dan turun bukit beberapa kali, berjalan sejauh 12 km, para peserta dapat menarik nafas lega apabila bertemu dengan papan tanda To Colo Meroo yang menandakan tapak perkhemahan pertama telah ditemui. Para peserta menunaikan solat Jamak ta’khir Asar-Zohor setelah berehat untuk beberapa ketika, mendirikan khemah dan membersihkan diri. Seterusnya, makan malam dihidangkan dan tazkirah kedua diberi oleh saudara Anas setelah selesai solat Jamak Taqdim Maghrib-Isya dan bacaan ma’thurat. Lantaran keletihan meredah hutan di siang hari, para peserta masuk tidur seawal jam 9.00 p.m.

24 November 2009


Hari ke-2 bermula seawal jam 3 pagi. Para peserta digalakkan untuk qiamullail. Tidak bermakna pembinaan jasmani tanpa diiringi kebangkitkan ruh. Selesai solat Subuh dan bacaan ma’thurat, para peserta duduk mendiang diri mengelilingi unggun api. Para peserta kemudiannya bersiap-siap dan mengemas tapak perkhemahan untuk memulakan perjalanan ke tapak perkhemahan yang kedua. Para peserta mengorak langkah menuju ke destinasi ke-2 sekitar jam 7.45 a.m.

Perjalanan pada hari ini adalah perjalanan yang agak mudah kerana para peserta hanya perlu meredah sungai menuju ke arah  hulu sungai.Bentuk muka bumi sungai yang banyak beting pasir juga turut membantu memudahkan perjalanan. Cuaca mendung dan suhu yang sederhana memberi keselesaan kepada para peserta untuk berjalan sejauh lebih kurang 8-9 km. Pengalaman berjalan ditengah-tengah lembah bukit merupakan pengalamn baru untuk setiap peserta. Pemandangan yang menakjubkan membuatkan para peserta bersyukur denga nikmat yang disediakan oleh Allah SWT. Kesan tapak kaki haiwan liar berhampiran sungai menjadi bukti yang air adalah sumber kehidupan. Dapat disimpulkan betapa hebatnya kekuasaan Allah ‘Azzawajal dalam mentadbir alam, memberi rezeki kepada sekalian makhlukNya.

Cabaran pertama untuk hari ini adalah meredah (river crossing) sungai sedalam paras dada. Alhamdulillah, kesemua peserta berjaya meredah sungai dengan selamat. Para peserta berheti beberapa kali untuk menunaikan solat sunat duha, mendengar tazkirah ke-3 daripada saudara Anas dan untuk makan tengahari dan solat Jamak Taqdim Zohor-Asar. Perjalanan diteruskan dan para peserta bertemu dengan cabaran kedua iaitu berjalan meredah semak sambil menyusuri sungai. Setelah berjalan selama lebih kurang 8 jam, para peserta tiba di tapak perkhemahan yang kedua.

Tanpa melengahkan masa para peserta mendirikan khemah, mecari kayu api dan membersihkan diri sambil menunggu makan malam dihidangkan. Selesai makan malam, para peserta menunaikan solat Jamak Taqdim Maghrib-Isya’, membaca ma’thurat dan mendengar tazkirah daripada saudara Anas. Perjalanan yang kurang memenatkan memberi sedikit tenaga untuk para peserta berkongsi lebih masa untuk bermesra di tepi unggun api. Para peserta masuk tidur sekitar jam 9.30 p.m.

25 November 2009


Hari ketiga turut dimulakan dengan qiamullail seawal jam 3.30 a.m. Selesai solat subuh dan membaca ma’thurat, para peserta membuat aktiviti masing-masing. Ada yang membersihkan diri, menyediakan sarapan dan juga berehat sebelum memulakan perjalanan ubntuk hari yang terakhir. Setelah selesai mengemas tapak perkhemahan, para peserta mengambil gambar kenangan dan memulakan perjalanan mendaki bukit untuk pulang ke tempat letak kereta, yang dimulakan dengan bacaan doa. Para peserta memulakan perjalanan sekitar jam 8.40 a.m.

Perjalanan hari ketiga lebih mencabar berbanding hari sebelumnya kerana cuaca panas tatkala para peserta perlu mendaki bukit yang curam. Mengikut jangkaan Commander, berdasarkan jurnal yang ditulis oleh camper sebelum ini, perjalanan mendaki bukit hanyalah sejauh 500 meter. Ternyata jangkaan tersebut tidak tepat kerana para peserta terpaksa menempuh separuh daripada jarak perjalanan sejauh 8-9 km dengan mendaki bukit.

Cabaran pada hari ini bukanlah hanya disebabkan bentuk muka bumi yang berbukit sahaja. Para peserta turut tercabar tahap kesabaran dan kekuatan mereka lantaran kehabisan bekalan air minuman. Separuh perjalanan yang berbaki terpaksa ditempuhi tanpa bekalan air yang mencukupi. Pengalaman ini membuatkan para peserta terbayang keadaan yang terpaksa ditempuh oleh Nabi SAW dan para sahabat ketika melaksanakan ekspedisi perang Tabuk. Namun, situasi yang dialami oleh para peserta perkhemahan ini hanyalah sekelumit jika dibandingkan dengan keadaan padang pasir dan jarak perjalanan yang 9 kali ganda lebih jauh ditempuh oleh Nabi SAW dan para sahabat.

Setelah tamat menempuhi laluan berbukit, para peserta bertemu dengan papan tanda yang menunjukkan laluan tersebut telah tamat dan baki perjalanan adalah melalui laluan kenderaan berat. Ketika ini barulah para peserta menyedari laluan yang ditempuhi sebentar tadi hanyalah untuk Experienced Camper disebabkan oleh laluan yang sangat sempit dan mudah untuk camper tidak berpengalaman untuk sesat. Segala puji hanya bagi Allah yang telah memberi kemudahan kepada para peserta untuk menempuh perjalanan yang sukar dalam keadaan selamat.

Para peserta tiba ke tempat letak kereta sekitah jam 2 p.m. Setelah berehat seketika melepaskan penat lelah, sesi penutup dilaksanakan. Para peserta telah memberi maklum balas keseluruhan tentang program yang dilalui. Rata-rata peserta merasa tercabar dan mensyukuri nikmat kemudahan yang diperoleh selama ini.

Dapat disimpulkan di sini bahawa objektif perkhemahan kali ini tercapai secara keseluruhannya. Para peserta mula memahami bahawa perjalanan dakwah dan tarbiah bukanlah satu perjalanan yang mudah. Banyak cabaran yang perlu ditempuhi untuk sampai kepada kejayaan. Dalam kehidupan berjamaah, amat penting prinsip disiplin, jiddiyah(kesungguhan) dan ketaatan kepada pemimpin bagi memastikan kelancaran perjalanan. Banyak kepentingan individu perlu dikorbankan demi memastikan prinsip-prinsip tersebut dilaksanakan. Begitu juga dengan nilai ukhuwwah, dalam mengharungi perjalanan yang sukar ukhuwwah memainkan peranan penting dalam memastikan setiap ahli yang terlibat tidak ketinggalan. Juga, perjalanan jauh meluaskan pemandangan yang turut meningkatkan keimanan bagi mereka yang benar-benar berfikir dan beriman kepada Allah SWT.

Disediakan oleh
Iqbal Hakim bin Abdul Razak

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!