Liputan Ketibaan Penuntut-penuntut Baru Australia
Bumi Australia meriah lagi tahun ini dengan kehadiran ratusan penuntut-penuntut baru dari segenap pelusuk Malaysia. Media ISMA Australia berpeluang menjejaki pengalaman manis mereka tatkala mula menjejakkan kaki di bumi kanggaru ini:
“Abang, boleh tolong angkatkan beg ni tak, pemegang nya dah patah, tapi hati-hati ya, 32 kg rasanya”.
“So far, flight kami okey, Cuma tak berapa boleh tidur. Nak pandang ke luar flight, dah malam. Agak boring lah. Tak sabar sangat nak jalan-jalan Sydney ”,
Begitulah sebahagian daripada luahan girang beberapa orang penuntut baru dari Malaysia.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kingsford Smith, Sydney meriah dengan kehadiran puluhan penuntut-penuntut baru bermula 13 Februari yang lalu. Rata-rata mereka yang selamat tiba pagi itu merupakan penuntut-penuntut tahun pertama tajaan JPA. Berbekalkan 2 buah bagasi yang sarat dengan muatan untuk setiap seorang, mereka disambut dengan penuh mesra oleh Penasihat Pelajar JPA di Australia, Puan Haslina Ab Hamid, Pegawai Pendidikan Attache MSDA, Encik Zaharuddin Shamsuddin serta beberapa petugas ISMA Australia (NSW). Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Malaysian Hall Sydney dengan bas yang disewa khas.
Sesampainya di Malaysian Hall, kesemua pelajar baru telah diberi taklimat oleh Puan Haslina berkenaan hal tuntutan bayaran dan jumlah wang peruntukan yang bakal diberikan. Kemudian, beberapa orang pelajar senior telah dijemput untuk memperkenalkan diri dan sedikit latar belakang pengajian. Aktivis ISMA NSW yang terdiri daripada lelaki dan wanita tidak ketinggalan dalam hal berkenaan. Buklet “Welcoming Kit” yang disediakan oleh ISMA NSW turut diedarkan ketika sesi berkenaan yang memuatkan segala info penting untuk pelajar-pelajar baru seperti “Halal Guide”, “Mosque in Sydney” dan “Contacts of MSDA Officers”. Untuk memudahkan urusan, pihak JPA telah menjemput Westpac Bank untuk hadir sama ketika sesi di Malaysian Hall, agar pelajar-pelajar berpeluang untuk membuka terus akaun bank sebaik sahaja sesi bersama penasihat pelajar JPA selesai.
Warga Sydney kali ini tampak sedikit berlainan kerana ada beberapa pelajar di bawah tajaan MARA telah dihantar ke University of Western Sydney dan Media ISMA difahamkan bahawa mereka adalah warga Malaysia yang pertama yang dihantar untuk belajar di universiti berkenaan.
Pada tanggal tarikh yang sama juga, Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne, Tullamarine juga tidak kurang meriahnya. Rata-rata yang tiba adalah dari kolej persediaan INTI dan KBU pelbagai tajaan. Ketibaan mereka disambut oleh beberapa pelajar senior termasuk petugas-petugas ISMA Australia (Victoria) yang turut menyediakan pengangkutan untuk pergi ke rumah masing-masing. Bagi yang belum lagi mempunyai rumah, mereka diajak untuk duduk menumpang sementara di rumah-rumah senior.
Tahun ini memberi sedikit kelainan bagi taburan pelajar di Melbourne apabila kebanyakan dari mereka yang datang ke sini merupakan pelajar-pelajar RMIT; mengambil jurusan Ukur Bahan (Quantity Surveying) dan Kejuruteraan Mekanikal. Terdapat juga mereka yang menyambung tahun kedua di sini setelah mengambil diploma di Malaysia.
Tanggal 14 Februari pula menyaksikan seramai lebih 50 orang penuntut baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Adelaide. Petugas-petugas ISMA Australia (South Australia) yang bertugas menyambut para penuntut baru agak terkejut dengan kehadiran warga baru yang amat ramai berbanding tahun-tahun lepas walaupun pihak penaja seperti MARA dan JPA sudahpun memberi figura penuntut baru melalui ISMA Pusat di Malaysia.
Kebanyakan daripada mereka yang tiba pada tarikh tersebut adalah tajaan MARA dan JPA dari pelbagai kolej persediaan. Mereka menggunakan khidmat pengangkutan yang disediakan oleh pihak universiti ke rumah senior yang sudah mereka hubungi. Namun begitu, para petugas ISMA pada pagi itu memang tidak menang tangan melayan kerenah mereka yang menghubungi ISMA untuk khidmat pengangkutan.
Pada pagi itu juga, Puan Nik Noraizah, Pegawai Pelajar MARA di Australia dan New Zealand turut tiba di Adelaide bagi meraikan para penuntut baru tajaan MARA, di samping mengadakan sesi taklimat ringkas bersama mereka. Sesi taklimat tersebut diadakan di kediaman SQ di Nailsworth.
ISMA Australia mengucapkan selamat dating ke Australia buat semua penuntut baru, dan mengharapkan agar kedatangan ke bumi kanggaru ini bukan sekadar untuk segulung ijazah, tetapi untuk menggarap diri agar menjadi individu yang cemerlang sahsiah dan peribadi demi menjadi generasi harapan.
Oleh:
Mohd Fauzi Bashir – Media ISMA Australia (NSW)
Mohammad Afiq Syazwan – Media ISMA Australia (Victoria)
Fakhruddin Afif Fauzi – Media ISMA Australia (South Australia)







