Mahasiswa Di Luar Negara Diseru Fahami Sejarah Dan Suasana Tanahair

Kaherah, 25 Okt. - Naib Presiden II ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni menyeru para mahasiswa di luar negara agar mempunyai gambaran dan kefahaman yang jelas tentang hakikat sejarah serta suasana yang berlaku di Malaysia. Hal ini penting supaya mereka dapat memiliki cita-cita yang besar untuk agama Islam apabila kembali ke tanahair kelak dan sedar akan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi untuk mencapai matlamat tersebut.

Menurut beliau, golongan mahasiswa perlulah memahami tabiat pertembungan aliran dan percaturan politik yang berlaku di Malaysia, di samping membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi senario ini dan seterusnya berusaha mengubahnya. Dalam konteks sebagai pendakwah pula, kita mestilah melihat masyarakat dengan penuh kasih sayang dan berdakwah dengan penuh hikmah serta perbanyakkan bersabar.
dsc0021bk1

Ustaz Fauzi berkata demikian dalam satu sesi ramah mesra bersama masyarakat mahasiswa di Mesir sempena lawatan beliau ke sini. Kehadiran Naib Presiden II ISMA ini telah dimanfaatkan sebaiknya oleh ISMA-Mesir untuk menggarap pengalaman beliau melalui penyampaian yang bertajuk ‘Peranan Mahasiswa Mesir di Malaysia, Antara Realiti dan Cabaran’ berdasarkan pengalaman serta pengamatan selama 10 tahun kembali ke Malaysia dari bumi Mesir.

Program yang telah diadakan di Dewan Malaysia Abasiyah, Kaherah ini telah dihadiri oleh lebih 300 orang mahasiswa dan mahasiswi dari seluruh Mesir yang merangkumi jurusan yang pelbagai. Turut hadir ialah Pengerusi ISMA-Mesir, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat.

Perkongsian Ustaz Fauzi dimulakan dengan penerangan ringkas tentang sejarah Malaysia yang menyentuh sejarah Islam di Tanah Melayu, penjajahan yang berlaku dan seterusnya kemerdekaan, serta kesan peristiwa-peristiwa ini terhadap kedudukan Islam di negara ini. Kefahaman yang jelas terhadap hakikat-hakikat ini akan membawa kepada cita-cita yang tinggi untuk mengembalikan kegemilangan Islam di tanahair kita, serta kesedaran akan cabaran-cabaran yang akan dihadapi.

Beliau turut menyentuh tentang fiqh dan qaedah amar makruf nahi mungkar, serta aplikasi yang sesuai di negara kita. Semua mahasiswa yang hadir juga diseru supaya sentiasa menitikberatkan tentang isu qudwah dan akhlak kerana dua perkara ini adalah asset utama bagi seorang pendakwah dan perlu diberi perhatian serius oleh semua.

Ustaz Fauzi sempat memberikan pesanan khas kepada mereka yang mengambil bidang agama, supaya amanah dengan ilmu mereka. Ini termasuklah berani untuk menyatakan tidak tahu sekiranya tidak arif tentang sesuatu perkara dan bukannya membuat andaian sendiri yang akhirnya boleh membawa kepada penyelewengan ilmu. Perkara ini menuntut supaya para mahasiswa lebih bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, dan menyediakan diri untuk menangani isu-isu yang pelbagai di Malaysia kelak.

Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni merupakan bekas graduan Universiti Al-Azhar yang berada di Mesir pada tahun 1990-an. Beliau merupakan seorang yang berpengalaman dalam arena dakwah di Malaysia dan banyak menangani isu-isu masyarakat melalui aktivisme dakwah bersama pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Tulisan-tulisan Ustaz Fauzi yang bernas dan kritis boleh diikuti melalui blog peribadi beliau: www.satuperkongsian.wordpress.com.

Comments

2 Responses to “Mahasiswa Di Luar Negara Diseru Fahami Sejarah Dan Suasana Tanahair”
  1. AN says:

    “Beliau turut menyentuh tentang fiqh dan qaedah amar makruf nahi mungkar, serta aplikasi yang sesuai di negara kita”.

    Kalau boleh berkongsi dengan orang OZ pun menarik jugak. Teringin nak dengar a.k.a baca. :D

    Tak silap kalau dekat website Ustaz Fauzi ada slide2 bahan2 bentangan. Menarik kalau di ISMA web boleh wujudkan benda2 camtu. Jadi kat mana2 pun kita, di pelosok ceruk mana pun, tetiba rasa nak baca/revise/bentang, boleh terus g ismaweb…. wah membayangkan satu storage ilmu pulak :)

  2. Ulun Nuha says:

    Salam wrt

    Ada recording tak?
    Berminat nk dengar

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!