Adelaide, 12 Julai – Majlis Malam Bersamamu Palestin II telah dianjurkan di sini, dan menampilkan Ustaz Abdul Halim bin Abdullah, Naib Presiden I Ikatan Muslimin Malaysia. Program bermula pada jam 7.30 malam dan berakhir jam 11.00 malam, bertempat di Eclipse Room, Adelaide University.

Program ini dianjurkan oleh ISMA Australia cawangan South Australia, melalui Biro Pembangunan Sumber Insan. Turut menganjurkan program ini ialah Aman Palestin Berhad, dengan kerjasama Malaysian Student Council of Australia (MASCA South Australia) dan Kelab UMNO Luar Negara South Australia.

Dalam slot khas bersama Ustaz Abdul Halim, beliau menegaskan pentingnya tarbiyyah dalam usaha memantapkan jiwa dan menyediakan umat Islam yang berkualiti melalui ukhuwah dan keimanan, sebagai usaha untuk menyatukan umat Islam dan melawan segala agenda musuh.

Turut diadakan dalam program ini adalah pameran-pameran tentang tokoh-tokoh Palestin, sejarah negara Palestin, kronologi Perang Israel Gaza, Aman Palestin dan sejarah pergerakan HAMAS dan FATAH. Poster-poster istimewa berkenaan Palestin yang dhasilkan sendiri pelajar-pelajar di sini turut dipamerkan.

Seusai slot bersama Ustaz Abdul Halim, satu klip video khas lakonan pelajar-pelajar di sini yang memaparkan “Apa Peranan Sebenar Kita” dalam menangani isu Palestin ditayangkan dan mendapat respons yang sangat baik daripada semua hadirin. Lakonan yang berbentuk spontan dan bersahaja tetapi berisi amat menyentuh hati hadirin kerana apa yang ditonjolkan amat relevan untuk dipraktikkan. kata beliau lagi, umat Islam kini jatuh kerana jiwa yang kecil dalam memperjuangkan agama Allah. Maka Palestin hanya boleh diselamatkan oleh umat yang besar jiwanya dan bersih akhlaknya.

Program ini diakhiri dengan bacaan qunut nazilah, diketuai Dr. Wan Muhd Ridhuan Wan jaffar. Sekali lagi hati para hadirin tersentuh dengan satu demi satu bacaan doa diaminkan bersama-sama, dengan penuh ikhlas mengharapkan Palestin sentiasa dalam lindungan Allah dan Zionis dihancurkan seteruk-teruknya.

Akhir kata, pihak penganjur mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir, dan mengharapkan agar isu Palestin bukanlah isu yang bermusim seperti bola sepak Piala Dunia, tetapi merupakan isu yang sentiasa hidup dan perlu diambil peduli setiap individu yang mengaku dirinya muslim, serta mengambil apa jua peranan yang patut dilaksanakan dalam menangani isu umat ini.

oleh:
Media ISMA Australia
Cawangan South Australia

Share
 

0 Comments

You can be the first one to leave a comment.

Leave a Comment