Mari Mendahsyatkan Diri!
Seringkali terjadi, ketika kita hampir berputus asa dari melakukan sesuatu lantaran rasa ketidakupayaan diri, mungkin sebenarnya pada ketika itu, kejayaan telah berada hanya selangkah di hadapan kita. Maka jangan cuba untuk berhenti dari berusaha; siapa tahu kejayaan bakal menjelma dalam sekelip mata. Namun saya pasti ramai yang berkata: ‘Kemampuan kita terbatas!’. Percayalah…itu bukan masalah. Kerana ketika di tengah keterbatasan itulah sebenarnya kita mampu mendahsyatkan diri untuk meraih prestasi yang lebih tinggi. Kata orang-orang lama, tekananlah yang menghasilkan berlian yang bermutu. Pengalaman bekerja pada saat-saat akhir menjadi bukti bahawa kita mampu bertahan dan berupaya untuk tidak menyerah pada keadaan. Cuma, untuk kejayaan yang berlipat ganda, perlu kepada kebijaksanaan dalam mengelola diri dan tidak membuat kerja di saat-saat akhir. Maka mari kita selami diri dan keluarkan segala potensi yang kita miliki, menukar ’peribadi biasa’ kepada ’peribadi luar biasa’.
Dengan bentuk fizikal yang sempurna-dilengkapi pula dengan pelbagai kepandaian (Surah at tin :ahsani taqwim= sebaik2 penciptaan, surah al bayyinah :khairul bariyah-sebaik2-fizikal) membuatkan manusia suatu subjek yang sangat unik dan hebat.Sejak ratusan tahun,para ilmuan tidak henti-henti untuk mengkaji dan memahami manusia. Pelbagai displin ilmu diwujudkan seperti psikologi, antropologi, sosiologi, linguistik, neorologi, dll. Ini selari dengan firman Allah SWT agar umat manusia memperhatikan diri sendiri (51:21) kerana memahami karekter dan sifat diri membawa kepada sifat taat akan perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya (2:44). Selain itu, dengan kurniaan akal juga manusia sentiasa berfikir untuk menjalani kehidupan yang lebih baik (2:31-32). Selayak dengan keistimewaan yang dimiliki manusia, ia diangkat oleh Allah menjadi khalifah bagi mentadbir alam ini berbekalkan aturan kehidupan yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan buat segenap manusia. Namun tidak semua dapat memahami hakikat keistimewaan dan jati diri sebagai manusia ciptaan Allah. Alangkah ruginya.
Bekalan kecerdasan dan keupayaan fisikal tidak selamanya menjamin hidup kita aman bahagia dan berjaya jika tiada kemahiran mengendali potensi hidup. Akan tetapi, bolehkah ianya berlaku secara automatik, dan selalukah ianya terjadi? Jawapannya ‘belum tentu’, malahan yang seringkali terjadi adalah sebaliknya; kecerdasan akal tenggelam dalam ketidakmampuan untuk mengendali potensi kehidupan yang dimiliki. Kita selalu gagal memenuhi keperluan secara benar dan tulus. Sebagai contoh, manusia berjaya merekacipta pelbagai kemajuan teknologi tetapi tidak berjaya dalam mengurus moral dan sosial.Internet –suatu teknologi canggih bagi mempermudahkan urusan manusia, namun dicemari jenayah penipuan dan pornografi sebaik pengunaannya diperluaskan.
Corak pemikiran dan prasarana kini jauh berbeza. Namun adakah taraf hidup yang dimiliki kini selari dengan peningkatan moral dan kebahagian sejagat?Apalah gunanya kecanggihan teknologi dan kemajuan fizikal jika manusia masih tenggelam dalam jurang kesengsaraan dan keruntuhan akhlak. Tika itu, keperluan materi yg dipenuhi tidak 100 peratus memberi manfaat malah merosak kehidupan peribadi.Oleh itu, bagi mengendali pontesi diri, kita perlu ada satu misi kehidupan yang jelas sebagai seorang manusia. Sebagaimana yang dituntut oleh Allah swt, beribadahlah kepadaNya dengan cara menjalani kehidupan sesuai dengan aturanNya. Dengan ini, seluruh emosi, nafsu dan keperluan jasmani mendapat aturan yang benar dan menghasilkan kebaikan untuk manusia seluruhnya. Kemudian barulah ‘peribadi luar biasa’ ini menjadi benar-benar bermakna.
Masih tidak yakin untuk melonjakkan potensi dirimu? Merasa diri kerdil dan tak mampu bersaing dengan peribadi yang hebat diluar sana? Jangan risau, kerana mempunyai darah keturunan tertentu tidak pernah tersenarai dalam kriteria untuk menjadi hebat.Telah ramai orang biasa menjadi luar biasa dengan berbekalkan keazaman dan usaha.Sekiranya kita hitung masa yang dimiliki oleh mereka ini pasti kita akan mendapatkan jumlah yg sama dengan apa yang kita ada, sehari 24 jam, 1440 minit dan 86400 detik dalam satu hari, 7 hari dalam seminggu, dan seterusnya. Menurut Imam Al-Ghazali, jika rata-rata umur manusia 60 tahun dan menjadikan 8 jam sehari untuk tidur, maka dalam 60 tahun ia telah tidur selama 20 tahun. Aduh, betapa singkatnya baki masa yang ada. Bagaimana dengan diri kita? Apakah prestasi yang kita miliki seimbang dengan umur kita?
Bagi yang berhasrat untuk mendasyatkan diri,tahniah…semestinya jalan yang bakal ditempuh akan berbeza. InshaAllah kita mampu jika kita mahu. Untuk mengubah keperluan fizikal, inisiatif mungkin boleh muncul dari orang lain, tetapi dalam mengubah hati dan nurani perlukan kepada tekad si peribadi itu sendiri.Mereka yang berjaya selalunya lahir di tengah himpitan kesulitan bukannya buaian kemanjaan. Mereka berjaya dengan mengurangi jam tidurnya, waktu bekerja dan kesibukan mengurusi duniawi untuk memenuhi keperluan akhirat. Menyedikitkan tidur malam untuk bisa bangun dan merasakan nikmatnya ibadah. Tak berlebihan dalam bergaul untuk merasakan lazatnya iman. Menahan diri dari maksiat supaya tubuh badannya tetap sihat. Adapun bagi mereka yang telah pun berada ditahap itu jangan cuba berhenti berusaha dan bersihkanlah jiwa agar tetap teguh dijalanNya. Semoga segala yang diusahakan oleh kita semua tidak sia-sia dan diganjari oleh Allah asSyakur.
allahu a’lam.


Jazakallahu khoir atas article yang menarik. Mari mendahsyatkan diri selari dengan tuntutan Allah SWT kepada kita.
dahsyat…
p/s: all d best to sahabat2 di melb yg sedang mendahsyatkan diri =)..May Allah bless..
Peringatan yang bermanfaat, insya-Allah.
InsyaALLAH…good reminder!
Betul 3x, jangan limitkan potensi diri. Manusia berjaya sentiasa berjaya memecahkan rekod yang manusia lain tidak pernah terfikir akan berjaya dipecahkan.
‘tekananlah yang menghasilkan berlian yang bermutu’ -setuju sangat!!!
nak seribu daya! artikel yg bermanfaat. jazakillahu khair
biasa kepada luar biasa..mampu, jika mahu insha Allah ~ jzklhkk