Masyarakat Akan Tahu Jika Anda Menyampaikan

Tugas kita hanya membuat perancangan, melaksanakannya dan berserah kepada Allah bagi menjayakan setiap usaha kita. Jika nisbah kejayaan kita 1:10 bermakna kita perlu berdakwah kepada 10 orang agar kita berjaya memasukkan seorang mad`u ke dalam proses-proses tarbiyyah.
Jika setiap orang daripada kita meletakkan matlamat peribadinya untuk membawa 3 orang setahun menyertai kafilah dakwah, maka beliau perlu berdakwah kepada 30 orang setahun atau sekurang-kurangnya 3 orang mad`u sebulan.
Berdakwah adalah dengan menyebarkan kasih-sayang, senyuman dan bertaaruf. Bentuklah persefahaman dengan berkongsi matlamat hidup sebagai seorang muslim, berkongsi kefahaman terhadap realiti umat Islam kini, berkongsi maklumat terkini mengenai umat Islam di seluruh dunia dan menanyakan perasaan dan pendapat mad`u. Jika mad`u menyedari apa yang disedari oleh pendakwah dan sama-sama merasai tanggungjawab sebagaiamana perasaan yang di rasai oleh pendakwah kongsikan fikrah dan manhaj perubahan yang diyakini oleh pendakwah.
Perkongsian ini boleh dilakukan secara hubungan peribadi pendakwah dengan mad`u atau dengan mengajak mad`u yang dikenali latarbelakangnya ke majlis-majlis penerangan yang dianjurkan.
Jika mad`u bersetuju dengan fikrah pendakwah dan meyakini jalan-jalan dakwah yang dipilih olehnya ajaklah dia bersama-sama menyertai kafilah dakwah ini.
oleh:
Ustaz Annuar Salleh
YDP ISMA Daerah Hulu Langat
Blog: Renungan2u


