CLAYTON, 14 Januari – Melentur buluh biar dari rebung menjadi asas untuk membina generasi harapan yang diidamkan. Atas kesedaran tersebut jugalah dianjurkan program pendidikan anak-anak sempena cuti musim panas ini. Program yang dianjurkan bersama oleh Biro Wanita & Keluarga ISMA Victoria dan South Eastern Family (SEF).

Kehadiran seramai 40 orang peserta cilik, ibu bapa dan pemudahcara dialu-alukan oleh Dr Ihsanuddin bin Abas selaku koordinator program pendidikan kanak-kanak (SEF) yang juga merupakan Pengerusi ISMA Australia. Ustaz Burhan selaku Pengerusi SEF memulakan majlis dengan tazkirah mengenal Allah dan nikmat ganjaran syurga disertai bersama video menarik yang bersesuaian dengan golongan kanak-kanak.

Peserta kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut umur. Bagi peserta berumur 7 tahun ke bawah disediakan modul mengenal Allah manakala bagi anak-anak 7 tahun ke atas diajarkan cara-cara berwudu’ dan solat yang sempurna. Pemudahcara terdiri daripada golongan ibu bapa dan para pelajar yang menetap di sekitar kawasan South Eastern Victoria.

Dengan ciri-ciri asas sebagai seorang mukmin, diharapkan anak-anak ini akan tetap membesar dengan iman yang kukuh walaupun berada jauh dari persekitaran islam yang sempurna dalam usaha membina generasi harapan sebuah negara Islam. – MediaVic

Share

Tags

 

0 Comments

You can be the first one to leave a comment.

Leave a Comment