Aktiviti, Berita ISMA, Victoria — July 4, 2012 at 5:56 am

Menyelusuri Sejarah IM dan ISMA

by

MELBOURNE, 28 JUN :  Kembali mengamalkan ajaran Islam yang sebenar sama seperti apa yang diketengahkan oleh Rasulullah SAW 1400 tahun dahulu ketika mentarbiah para sahabatnya merupakan syarat untuk umat Islam akan kembali ke puncak kegemilangannya menurut kata Exco Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdul Halim Abdullah di dalam program Sejarah IM, ISMA dan ISMA Australia.

Ustaz Abdul Halim Abdullah sedang menceritakan sejarah IM

Beliau percaya umat Islam akan diberi kekuasaan oleh Allah SWT apabila mereka sudah bersedia setelah melalui proses perubahan yang mengambil masa bermula dari perubahan individu dan masyarakat ke arah memahami dan mengamalkan Islam. Semuanya terkandung  dalam Maratib Amal  yang digariskan oleh Imam Hassan al – Banna dalam manhaj Ikhwanul Muslimin (IM).

Sepanjang program berlansung, beliau turut menceritakan sejarah dan rahsia perjuangan dakwah IM yang bertapak selama 84 tahun dalam penuh dugaan di Mesir yang dimulakan oleh pengasasnya Hassan al- Banna di warung- warung kopi hinggalah ahli IM, Dr Muhammad Mursi ditabalkan selaku presiden baru Mesir pasca revolusi baru- baru ini.

Para peserta yang menghadiri program di Pelham Musolla

“Apa yang masyarakat nampak hanyalah kemenangan penuh dramatik IM dalam era baru demokrasi di Mesir. Namun, di sebalik itu tersembunyi rahsia keutuhan sebuah organisasi terbesar dan terkuat di dunia itu. Kejayaan IM dalam pilihanraya di Mesir membuktikan hanya tarbiyah dan dakwah yang berterusan dalam kalangan masyarakat mampu memenangkan yang haq ke atas kebatilan”, katanya di Pelham Musolla, The University of Melbourne.

“Oleh itu, ISMA yang mengikut manhaj IM memberi peluang kepada masyarakat Islam di Malaysia untuk bersama- sama menjayakan agenda ISMA dalam mendidik masyarakat berlandaskan kefahaman Islam sebenar dan tidak dipengaruhi oleh mana- mana fahaman politik kepartian, sesuai dengan moto Membina Generasi Harapan oleh ISMA”, kata beliau ketika mengulas serba ringkas tentang sejarah dan agenda ISMA.

Pengerusi ISMA Australia, Dr Ihsanuddin Abas berkongsi tentang penubuhan ISMA Australia

Selain itu, program turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi ISMA Australia merangkap Pengerusi ISMA Victoria, Dr Mohd Ihsanuddin Abas yang menceritakan sejarah dan misi penubuhan ISMA Australia. “Kita beri peluang kepada komuniti Malaysia di sini, khususnya pelajar – pelajar universiti untuk bersama- sama dalam program ISMA yang bertujuan membina jati diri setiap individu yang terlibat. Program kita seperti usrah, rehlah, mukhayyam dan program- program umum lain mampu mengisi masa setiap pelajar dengan perkara yang berfaedah sekaligus mempersiapkan diri pelajar untuk menjadi individu yang mampu menyumbang kepada komuniti di sini dan kepada negara apabila pulang ke tanah air kelak”, katanya di hadapan kira- kira 50 orang peserta.

Keseluruhannya, respon yang diterima sangat memberangsangkan dari setiap peserta dan mereka mengharapkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Share

Leave a Reply

— required *

— required *