Artikel, Wanita & Keluarga — May 20, 2011 at 7:37 am

Pengurusan peti sejuk

by

Bagaimanakah anda mengurus peti sejuk anda di rumah? Adakah anda biasa mengemas dan menyusun barang-barang makanan dan mengkategorikan barang-barang itu?

Atau adakah anda hanya ‘sumbat selagi muat’?

Kalau anda lebih kepada ‘sumbat selagi muat’, peti sejuk anda telah membazirkan banyak masa anda (ambil masa yang lama untuk mencari barang), membazir wang anda (anda selalu membuang makanan lama) dan menaikkan bil eletrik anda (pintu peti sejuk selalu dibiar terbuka terlalu lama). Peti sejuk yang sentiasa kemas bukan sahaja lebih effisien dan menjimatkan malah dapat membantu menjadikan makanan tahan lebih lama dan selamat untuk dimakan. Berikut adalah beberapa tip-tip mudah untuk mengurus peti sejuk:

Aras atas:

Saluran udara sejuk biasanya terletak di aras paling atas, oleh itu simpanlah makanan mudah rosak seperti telur dan hasil tenusu di sini. Simpan telur dalam karton supaya kekal segar lebih lama dan tidak menyerap bau dari makanan lain. Disebabkan aras ini adalah paling dekat dengan aras mata, tempat ini paling sesuai untuk menyimpan barang-barang yang selalu digunakan seperti jem dan kaya.

Aras tengah

Disini paling sesuai untuk menyimpan lebihan makanan dan bahan-bahan yang tidak habis digunakan. Bahan-bahan ini perlulah ditutup dengan baik atau disimpan dalam bekas kedap udara dan diletakkan di bahagian hadapan. Gunakan bahagian belakang aras ini untuk barang-barang yang jarang digunakan seperti buah zaitun atau coklat yang anda cuba sembunyikan dari kanak-kanak.

Aras bawah

Udara sejuk mengalir ke bawah, maka aras ini adalah paling sesuai untuk daging mentah, ikan, ayam dan makanan laut (selagi mana ianya digunakan dalam masa yang terdekat). Risiko makanan tercemar dapat dikurangkan dengan meletakkan makanan di aras bawah (bakteria berbahaya boleh mencemari makanan yang tidak perlu dimasak atau dipanaskan). Pastikan bahan mentah ditutup dengan pembalut plastik dan untuk keselamatan tambahan, lapikkan dengan bekas plastik untuk menakung sebarang cecair terutamanya dalam proses penyahbekuan.

Laci bahan segar

Sekiranya anda hanya memiliki satu laci bahan segar, gunakannya untuk sayuran dan masukkan buah-buahan ke dalam beg plastik dan diletakkan di aras tengah. Jangan letakkan sayur-sayuran dan buah-buahan di tempat yang sama kerana buah seperti epal dan pear menghasilkan gas yang boleh menyebabkan sayur layu dengan lebih cepat. Sayur-sayuran yang mudah layu dan kering akan tahan lebih lama jika disimpan di dalam beg plastik yang dikeluarkan udara. Jika anda memiliki dua laci bahan segar, gunakan satu untuk daging mentah (yang paling bawah jika bertingkat).

Bahagian Pintu

Bahagian pintu peti sejuk sentiasa mengalami perubahan suhu oleh itu bahagian ini sebenarnya tidak sesuai untuk menyimpan bahan yang sangat mudah rosak seperti telur, susu dan hasil tenusu (walaupun terdapat tempat telur yang sedia ada). Sebaliknya, gunakanlah bahagian tersebut untuk minuman dan perasa atau sos.

 

Empat tip mudah untuk penjagaan peti sejuk anda.

  1. Peti sejuk yang penuh menggunakan kurang tenaga berbanding peti sejuk yang separuh penuh. Namun pastikan udara masih dapat mengalir kesemua bahagian.
  2. Tutup semua bahan yang anda masukkan ke dalam peti sejuk untuk mengelakkan bau mencemari makanan lain (atau peti sejuk itu sendiri)
  3. Pastikan terdapat jarak 5cm di antara dinding rumah dan peti sejuk untuk mengelakkan motor  peti sejuk terlalu panas.
  4. Untuk peti sejuk yang sentiasa berbau segar, lap dinding dan rak peti sejuk dengan kain lembap yang dipercikkan dengan sedikit esen vanilla.

 

Rujukan: Majalah Super Food Ideas, April 2011, Issue 124, ISSN 1448-954

Share

Leave a Reply

— required *

— required *